Temasya empat tahun sekali ini, paling dinanti-nantikan lebih mengatasi Sukan Olimpik. Inilah sukan paling diminati di dunia, kecuali Amerika Syarikat (AS) dan wilayahnya di Alaska dan Hawaii.

Inilah masa untuk hantu bola, kaki bola, tahi bola dan pelbagai gelaran lagi untuk menikmati perlawanan di waktu subuh hening, dan lena di waktu siang selama empat minggu. Andai pasukan disokong tewas awal, mungkin ada yang berhenti menonton awal. Hello, England!

Sebagaimana pembaca Merrepak tahu, saya penyokong tegar Liverpool. Tidak semestinya saya sokong England kali ini. Biasanya spesies saya ini akan mengikuti pasukan negara yang ada pemain kelab di dalamnya. Jadi tidaklah dituduh taksub kepada sesebuah pasukan sahaja, atau merana bila kecundang.

Dalam konteks Liverpool, ada Mohamad Salah mewakili negaranya, Mesir. Beliau adalah pemain paling popular bagi musim 2017/18 setelah menjaringkan 44 gol dalam semua jenis kejohanan. Walaupun dinafikan aksi dalam perlawanan akhir Piala Juara Eropah setelah 'digusti' oleh Sergio Ramos, Mohamad Salah dijangka pulih untuk beraksi bersama skuad.

Selain itu, Liverpool juga ada wakil Brazil iaitu Roberto Firmino dan Sadio Mane bersama Senegal. Begitu juga anda penyokong Manchester United akan pastinya menyokong England kerana dua penyerang berbisa kelab ada di dalamnya. Perancis juga.

Dimana-mana pun kalau kita baca mengenai Piala Dunia, ramai penulis suka melagakan dua pemain superstar iaitu Lionel Messi dari Argentina dan Cristiano Ronaldo dari Portugal. Kedua-duanya tidak bertembung dalam Piala Juara-Juara Eropah. Pasukan Ronaldo memenangi piala itu yang lebih diingati kerana kekasaran Ramos terhadap Mohamad Salah, bukan kerana kelicikan Ronaldo.

Mari kita lihat Piala Dunia ini dari sudut sedikit lain. Fakta ini saya temui dalam laman web energywatch.com.my yang khusus membicarakan isu-isu di dalam industri tenaga bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Tentunya bila muncul artikel berkaitan sukan, ia pantas menarik perhatian saya untuk dikongsi bersama di dalam Merrepak hari ini:

1. Lari kuat

Pemain bola sepak profesional berlari antara 11 hingga 15 kilometer setiap perlawanan. Ia berlipat ganda lagi jika taktik amalan pengurus ialah serangan pantas (seperti Jurgen Klopp). Ini memerlukan pemain bola sepak yang cukup mantap dari segi stamina, terutamanya.

2. Sangat sihat

Purata pemain bola sepak di dalam satu perlawanan membakar 1,091 kilometer kalori (kcal) di dalam 90 minit. Ini bermakna seorang pemain yang bermain setiap perlawanan dari Pusingan Pertama hingga ke Perlawanan Akhir akan berlari sejauh 105 kilometer dan 7,600 kcal dibakar.

3. Tenaga kuat

Ia bermakna bila dua pasukan bermain sengit dalam setiap perlawanan Piala Dunia, jumlah keseluruhan tenaga digunakan adalah lebih 24,000 kcal sementara dunia menontonnya. Dan bila dikira lebih 64 perlawanan, pasukan Piala Dunia membakar 1,536,000 kcal (tanpa mengira masa tambahan)

4. Superpower Dunia tak layak

Sama ada perasan atau tidak, negara-negara Superpower iaitu AS dan China, tidak layak ke Piala Dunia kali ini, walaupun masing-masingnya memiliki penduduk seramai 325 juta dan 1.38 bilion. Ada yang mengatakan sukan utama AS ialah bola keranjang dan bola lisut. Jadi ketiadaannya di dalam Piala Dunia tidak diratapi penduduknya. Bagaimana dengan China? Ini ada sedikit sedih sebab negara ini sedang membangunkan liga tempatannya bagi menyaingi Korea Selatan dan Jepun yang kedua-duanya bagaikan sudah menjadi wakil tetap rantau ini ke Piala Dunia.

5. Apa kes dengan India?

Negara ini memiliki 1.32 bilion penduduk. Nombor dua terpadat di dunia selepas China. Samalah kedua-duanya. Negara besar, rakyat ramai tetapi masih gagal layak ke Piala Dunia. Seorang rakan menepis pernyataan ini: India kuat dalam Piala Dunia Kriket dan hoki.

6. Iceland menggaum

Iceland hanya memiliki 334,000 penduduk. Selama ini, orang mengetahui penduduknya memiliki susur galur daripada puak Viking dan juga bencana Gunung Berapi Eyjafjallajökul yang mengakibatkan penerbangan di Eropah banyak kali terjejas.

Mengulangi pencapaiannya dalam Euro 2016 di mana Iceland berjaya melangkah sehingga ke suku akhir, kehadirannya dalam Piala Dunia di Rusia ini, memang dinanti-nantikan. Dalam Euro 2016 juga, Iceland mengejutkan dunia apabila menewaskan England, dan mula mendapat pengiktirafan atas kemahiran dan kesungguhan yang dimiliki oleh para pemain.

7. Apa kes dengan Malaysia?

Negara besar seperti disebut di atas pun belum tentu mampu melahirkan pemain berkaliber, apatah lagi negara kecil seperti Malaysia. Itu kata orang. Kalau kita bersabar dan mematuhi jadual yang ditetapkan dalam kalendar pembangunan bolasepak, mungkin kita akan layak Piala Dunia dalam 10 atau 20 tahun lagi.

Kalau tidak sabar, kita boleh tawarkan kerakyatan kepada Mohamad Salah, contohnya untuk menyarung jersi kebangsaan. Apa nak malu? Singapura buat. Indonesia buat. Hong Kong ada pemain Afrika, tidak kisah pun. Itu kalau kita tidak sabar.