Topik utama yang disentuh oleh buku ini adalah mengenai perlunya umat Islam di Malaysia menolak sepenuhnya fahaman yang cuba diterapkan oleh golo­ngan liberalisme dan pluralisme agama.

Golongan itu walaupun mengakui beragama Islam dan percaya adanya Allah SWT tetapi telah membuat tafsiran ajaran agama berkenaan berdasarkan hawa nafsu semata-mata.

Turut terpengaruh dengan fahaman liberalisme dan plura­lisme agama adalah sesetengah komuniti dakwah dan cendekiawan Islam di Malaysia.

Pada mulanya mereka ini sentiasa melaungkan slogan untuk memperjuangkan Islam sebagai satu cara hidup dan menegakkan negara Islam Di Malaysia.

Bagaimanapun, dengan taktik licik pihak tertentu dari Barat, aktivis dakwah berkenaan perlahan-lahan menjadi rapat de­ngan pemikiran dan falsafah yang sama sekali berbeza dengan ajaran Islam sebenar.

Untuk menunjukkan kesetiaan kepada pemikiran dan falsafah baharu yang dianuti itu, para aktivis dakwah berkenaan sedikit demi sedikit meninggalkan slogan-slogan seperti Islam yang syumul (menyeluruh), Islam satu cara hidup dan Negara Islam.

Mereka menggantinya dengan slogan-slogan baharu seperti Islam Demokrat dan Demokrasi Liberal.

Mereka mengusung ideologi baharu itu dengan penuh bangga masuk ke dalam masyarakat Islam di Malaysia yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Antara ciri-ciri golongan liberalisme itu adalah percaya setiap individu memiliki kemampuan untuk berfikir dan membuat tafsiran terhadap ajaran agama tanpa perlu bergantung kepada pandangan yang diberikan oleh ulama.

Golongan pluralisme pula meyakini bahawa semua agama di dunia ini sama taraf, sama benar dan diterima oleh Allah SWT belaka.

Tokoh Maal Hijrah 2005 itu menulis, untuk menangkis serangan golongan berkenaan, umat Islam perlu mempunyai ilmu pe­ngetahuan mengenai usuluddin.

Usuluddin merujuk kepada ilmu yang membicarakan mengenai akidah (kepercayaan) agama Islam yang berhubung kait de­ngan ketuhanan, kenabian dan perkara-perkara ghaib seperti hari akhirat, syurga dan neraka.

Akidah yang dipegang adalah berdasarkan tafsiran yang dibuat oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada aliran Asyairah dan Maturidiyah.

Aliran yang dipegang oleh majoriti umat Islam itu diketuai oleh dua ulama besar yang pakar dalam bidang usuluddin, Imam Abu Hasan al-Asyari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

Akidah yang dimaksudkan adalah menyentuh mengenai Rukun Iman yang mengandungi enam perkara iaitu percaya akan Allah SWT, malaikat-malaikat, kitab-kitab, para nabi dan rasul, hari akhirat serta takdir yang baik dan buruk.

Menurut Muhammad, fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada aliran itu tetap relevan dan mesti menjadi pegangan umat Islam sampai sekarang dan seterusnya sehingga ke akhir zaman.

“Hanya huraian-huraiannya mungkin memerlukan tambahan-tambahan maklumat dan contoh-contoh untuk menjelaskan isu-isu yang dibicarakan.

“Kebenaran-kebenarannya (tafsiran akidah aliran Asyairah dan Maturidiyah) terus diperlukan untuk menyelamatkan manusia secara hakiki.

“Ringkasnya, doktrin aliran ini mesti kekal menjadi pegangan umat (Islam) dengan huraian-huraian tentang soal-soal ketuhanan, kerasulan dan alam ghaib,” tulis beliau.

Jelas beliau, perbezaan akidah yang dipegang oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan golongan liberalisme dan pluralisme agama adalah fahaman yang dijadikan sandaran oleh majoriti umat Islam itu telah menentukan bahawa erti-erti dalam akidah kekal tidak berubah daripada dahulu sampai sekarang.

Tulis beliau lagi, fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah juga berbeza dengan pendirian golongan li­beralisme dan pluralisme agama yang menolak perkara-perkara yang mempunyai kaitan dengan alam ghaib dan mukjizat atau kejadian luar biasa yang menunjukkan kelebihan seseorang nabi.

“Pendirian mereka berbeza kerana menolak kebenaran-kebenaran yang kekal abadi, sebab kata mereka, semuanya berubah-ubah mengikut imaginasi sosial,” jelasnya.

Dalam pada itu, penulis turut memberi penjelasan mengenai isu bertawassul iaitu berdoa kepada Allah SWT melalui suatu perantara, baik perantara itu berupa amal baik kita ataupun melalui orang soleh yang dianggap mempunyai kedudukan lebih dekat dengan Allah SWT.

“Dalam ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah bertawassul adalah harus, sama ada pada orang yang hidup atau sudah meninggal dunia.

“Tidak perlu dijadikan ma­salah bila ada setengah kalangan yang menganggap itu adalah syirik, sebab yang diminta (secara bertawassul) adalah daripada Allah SWT.

“Berdoa di makam (orang soleh) adalah amalan yang bukan dilarang dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah walaupun ada pihak-pihak yang melarangnya seperti Muhammad Abdul Wahab (pengasas fahaman Wahabi),” tulis beliau.