Membaca risalah itu jelas me­nunjukkan masih terdapat permintaan tinggi ke atas pinjaman ceti haram ini. Kata-kata seperti faedah terendah, kelulusan segera tanpa penjamin dan mereka yang disenaraihitam pun boleh membuat pinjaman boleh membuatkan sesiapa saja yang terdesak akan terpengaruh untuk berurus niaga dengan ‘ah long’.

Sudah tentu tanpa ada permintaan, mana mungkin ada penawaran dalam kalangan lintah darat ini. Pastinya ramai yang mengharap­kan bantuan kewangan sebegini maka tidak menghairankan ceti ha­ram ini bertukar modus operandinya.

Isu penawaran ceti haram ini sukar dibendung meskipun umum mengetahui pelbagai kesan negatif bakal ditanggung jika membuat pinjaman dengan pihak ‘ah long’ ini. Namun, bagi mereka yang sangat memerlukan wang, inilah jalan terakhir yang lebih mudah. Seteruk mana implikasinya terpaksalah tidak diambil peduli. Dalam hal ini, sudah tentu sukar untuk membendung aktiviti ceti haram sebegini jika kita tidak serius untuk membendung punca utama orang ramai membuat pinjaman dengan mereka. Punca utama tidak lain tidak bukan desakan ekonomi dek kerana tidak memiliki wang mencukupi.

Dengan kata lain, isu ekonomi dan kewangan adalah isu paling utama yang perlu diambil kira oleh mereka yang berkuasa terutamanya pemimpin politik. Kalau kita benar-benar amati, tahun 2015 yang sedang menghampiri ke penghujungnya, banyak didominasi oleh isu-isu ekonomi. Masakan tidak, pada tahun ini sahaja banyak isu ekonomi yang menyebabkan rakyat bawahan terpaksa menanggung kos kenaikan sara hidup yang semakin tinggi.

Yang terkini kos pengangkutan awam yang dinaikkan di Lembah Klang. Sebelum ini, kadar tol dinaikkan. Ini belum termasuk kesan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terhadap harga barangan. Sememangnya Malaysia amat memerlukan GST, itu memang tidak dapat dinafikan. Namun, apa yang berlaku sedikit sebanyak tempiasnya terasa oleh rakyat bawahan ekoran kenaikan kos sara hidup.

Setakat ini, kerajaan telah mengumumkan pelbagai kaedah untuk menangani isu kos sara hidup rak­yat. Dalam Bajet 2016 pun kerajaan ada mengumumkan kaedah untuk meringankan beban rakyat. Sudah tentu ini sedikit sebanyak membantu rakyat bawahan. Tetapi di sebalik pelbagai mekanisme membantu meringankan beban rakyat, di satu sudut, berlaku pula kenaikan harga bagi produk-produk rakyat sebagaimana kenaikan harga pengangkutan awam.

Ini langsung tidak selari dengan pengumuman-pengumuman kerajaan untuk meringankan beban kewangan rakyat. Hilang terus apa yang telah diumumkan oleh kerajaan untuk meringankan beban rakyat apabila pengumuman-pengumuman kenaikan harga produk rakyat bawahan pula dilakukan.

Jadi, dalam hal ini, pemimpin politik perlulah segera mengambil perhatian terhadap isu-isu ekonomi rakyat ini. Usahlah terlalu sibuk berpolitik sehinggakan isu utama rakyat dikesampingkan. Fikirkan cara jangka masa panjang bagaimana untuk menangani isu-isu ekonomi rakyat ini.

Dalam hal ini, Perhimpunan Agung UMNO 2015 antara tempat yang paling sesuai untuk dibahaskan isu-isu ekonomi ini. Tumpuan perlu diberikan terhadap isu ini sejajar dengan keperluan bagi rak­yat. Apa yang penting di sini, setiap pemimpin politik sewajarnya sedaya upaya menjuarai isu ekonomi rakyat.

Jika isu ekonomi keperluan rakyat ini dapat ditangani sebaik mungkin, maka sasaran kerajaan untuk merealisasikan kehidupan rakyat yang lebih sejahtera, Insya-Allah akan tercapai. Itulah yang sebenarnya diharapkan oleh rakyat agar pemimpin politik bersatu untuk menjuarai isu ekonomi keperluan rakyat ini yang cukup dekat di hati mereka dewasa ini.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah 
Pensyarah Kanan Perakaunan 
dan Kewangan Pusat Pengajian 
Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.