Mat Sabu yang duduk di sebelah kanan Dr. Mahathir semasa sidang media memperkenalkan barisan kepemimpinan Pakatan Harapan itu hanya tertawa sebagaimana hadirin lain. Tentu sekali Mat Sabu dan pemimpin Pakatan Harapan bersangka baik terhadap apa sahaja yang keluar dari mulut Dr. Mahathir. Keadaan sudah berubah 360 darjah.

Dr. Mahathir secara rasmi telah diangkat sebagai Pengerusi. Kedudukan itu setakuk lebih rendah, kalau tidak pun setaraf dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diletakkan hierarki paling atas sebagai Ketua Umum. Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula dikekalkan dalam ‘kuasa’ di kedudukan Presiden.

Dr. Mahathir yang selama ini diangkat sebagai sekejam-kejamnya manusia telah disucikan. Politik menjanjikan yang mustahil menjadi nyata. Begitu mudah bertukar angin umpama menbalikkan telapak tangan.

Khamis lalu menjadi hari sejarah kepada Pakatan Harapan. Bangkit daripada puing-puing Pakatan Rakyat; blok pembangkang yang satu ini mahu tampil persis lawannya BN. Mereka mahu bergerak dalam satu struktur, satu manifesto dan satu logo.

Yang musykilnya di mana DAP? Parti yang sedang berhadapan dengan isu penipuan dalam pemilihan pimpinan ini hanya diberi kuota kedudukan Timbalan Presiden bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mat Sabu.

Dalam majlis itu kelibat dua beranak Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng pun tidak kelihatan. DAP hanya diwakili Pemangku Pengerusinya, Tan Kok Wai.

Inilah strategi mereka. Strategi tidak mahu DAP dirujuk sebagai ketua. Rujukan itu berbahaya untuk meraih undi Melayu. Kali ini mereka hendak wujudkan tsunami Melayu selepas pilihan raya lepas berjaya menggerakkan tsunami Cina. Jadi, lebih elok identiti sebenar ketua yang dilabel anti-Melayu dan anti-Islam disorok.

Apa nak diheran, pakatan ini sarat ilusi. Mereka berjanji menghapuskan GST, cukai yang menjadi ikutan seluruh dunia. Janji yang sangat tidak masuk akal. Cukai pintu yang relatif kecil pun tidak pernah diturunkan malah terus naik di negeri yang mereka tadbir.

Sama juga pendidikan percuma, tidak pula dilaksana dalam institusi pendidikan milik kerajaan negeri Selangor. Mereka turut gah mengehadkan jawatan Perdana Menteri sekadar dua penggal tetapi lihatlah Guan Eng tetap juga bertekad mengekalkan jawatan yang disandang sejak 2008. Bapanya, Kit Siang malah memegang gelar diktator politik paling lama dengan rekod 51 tahun.

Apa nak heran, sudah begitu tabiat mereka. Di peringkat nasional Pas adalah musuh. Di Selangor mereka boleh pula berhubung secara songsang. Di tangan Pakatan Harapan, semuanya ada. Semuanya pun boleh.


Keutamaan

Kali ini DAP benar-benar berjaya memanfatkan perpeca­han orang Melayu. Tak kisahlah walaupun terpaksa bertindak anomali dengan meletakkan tiga nakhoda Melayu dalam satu kapal. Lagi bagus dan berkesan.

Seperti yang mereka sen­diri sebut, keutamaan se­baik menawan Putrajaya sa­ngat bersifat individu iaitu membebaskan Anwar. Janji sangat berisiko kerana yang me­menjarakan dan percaya An­war makhluk sangat ber­bahaya selain peliwat ialah Dr. Mahathir.

Dari segi ketrampilan gimik, Pakatan Harapan seperti sudah mempersiapkan segalanya. Mereka memang kelihatan jaguh dalam hal ini. Trak kempen Bina Semula Negara telah mula digerakkan dengan jelajah dimulakan di Johor Bahru, Ahad lalu.

Sasaran trak ini ialah kawasan marginal. Mengikut kiraan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli ada 50 kawasan Parlimen yang dimenangi tipis UMNO/BN. Pakatan Harapan sedang menyasarkan kerusi-kerusi marginal ini.

Menurut hasil kaji selidik yang mereka sendiri buat dan umumkan, dengan kempen tersusun di kerusi-kerusi tersebut Pakatan Harapan yakin boleh memenangi PRU-14. Strategi yang digunakan sama - menjual risiko.

Walaupun kempen hapuskan kleptokrasi di seluruh negara tidak bermaya tetapi mereka tetap berkata sebaliknya. Tidak bermaya kerana tiada sambutan orang ramai. Kempen yang sepatutnya bermula gegak-gempita di Pulau Pinang hanya dihadiri tidak lebih 300 orang.

Dalam waktu yang semakin terdesak, struktur risiko yang diumumkan Khamis lalu merupakan pilihan terbaik yang mereka ada. Mereka kelihatan gembira dengan struktur tersebut. Terlihat seperti ada beban yang terlepas.Soal seterusnya itu belakang kira.

Cabaran paling besar selepas ini ialah mengurus struktur baharu Pakatan Harapan kerana kepentingan diri dan kelompok begitu kental.

Kemungkinan paling dekat yang akan berlaku ialah sebagaimana keluhan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Saifuddin Abdullah “ letih melalui proses bertindih penuh dalih sehingga menyebabkan organisasi bertatih dan khalayak jerih lalu kemenangan seakan tak mampu diraih”.