Bertemakan Cities 2030, Cities for All: Implementing the New Urban Agenda, persidangan itu dihadiri 25,000 peserta (termasuk 14,000 rakyat negara ini) dari 165 negara dan perwakilan daripada 30 agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mengandungi lebih 800 acara berasingan, persidangan ber­ke­naan akhirnya melahirkan Dek­larasi Kuala Lumpur Mengenai Bandar 2030 (Kuala Lumpur Declaration on Cities 2030).

Dokumen penting ini menyatakan, antara lain bahawa bagi me­ningkatkan lagi pelaksanaan Agenda Perbandaran Baru (New Urban Agenda, NUA) ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals, SDG), langkah-langkah berikut hendaklah diambil, antaranya:

l Memperkasa peranan kerajaan tempatan dan sistem tadbir urus bandar bagi memastikan dialog berterusan antara pelbagai lapisan kerajaan dan penyertaan semua pihak yang berkepenti­ngan, sambil meningkatkan koordinasi antara pelbagai sektor, ­ketelusan dan akauntabiliti,

l Menggalakkan penyelesai­an yang kreatif dan amalan yang inovatif yang boleh membawa kepada perubahan mindset semua pihak yang terlibat,

l Membina perkongsian yang inklusif bagi memastikan penglibatan oleh semua pihak di semua lapisan,

Seterusnya deklarasi itu me­ngambil kira pelbagai cabaran yang kini dihadapi oleh bandar dan penempatan manusia, iaitu antaranya:

l Akses yang tidak seimbang untuk mendiami dan bekerja di ban­dar termasuklah masalah men­dapatkan pekerjaan, perumahan mampu milik, sekuriti pe­megangan tanah, kemudahan awam dan sistem mobiliti, infra­struktur dan lain-lain perkhidmatan asas dalam bandar,

l Perlindungan hak asasi yang tidak sempurna termasuklah ma­salah pengusiran secara paksa, kemiskinan bandar, orang kurang upaya dan kumpulan penduduk lain yang belum terbela dan masih dalam kedaifan,

l Ketidaksamaan gender da­lam bidang ekonomi bandar dan ke­pemimpinan.

Deklarasi itu turut mengambil kira beberapa isu kritikal lain se­perti isu penghijrahan penduduk dari desa ke bandar yang berterusan yang memberi impak kepada peluang ekonomi untuk pendu­duk bandar, isu teknologi baharu dan data terbuka (yang memerlukan sistem tadbir urus lebih mantap), sasaran agar ‘tidak ada seorang pun yang ketinggalan’ (no one is left behind) dan isu degradasi alam sekitar dalam bandar.

Dalam fokusnya berhubung ge­rak kerja di masa depan, Dek­larasi Kuala Lumpur memperakui tiga tindakan utama untuk menjayakan Agenda Perbandaran Baru (NUA) iaitu melibatkan bidang kerangka (frameworks), tad­bir urus dan perkongsian (go­vernance and partnership) dan penyelesaian yang inovatif (innovative solutions).

Dalam bidang kerangka, dek­larasi tersebut memperakui satu kerangka pelaksanaan NUA (termasuk mekanisme pemantauan) dibentuk di semua peringkat ke­rajaan dan masyarakat agar ruang dapat diwujudkan bagi se­mua stakeholders (pihak yang ber­ke­pentingan) menyumbangkan tenaga, pemikiran dan usaha me­reka ke arah mencapai Agenda 2030. Deklarasi itu juga memperakui diwujudkan platform dialog antara semua lapisan kerajaan, pembuat dasar dan stakeholders.

Perlu ditegaskan bahawa berbeza dengan satu perjanjian ras­mi antara kerajaan (dipanggil ‘triti’) yang mengikat dan berkuat kuasa sepenuhnya di sisi undang-undang (misalnya perjanjian per­khid­matan kereta api laju antara kerajaan Malaysia dan Singapura yang dimeterai baru-baru ini), satu deklarasi yang dizahirkan di penghujung suatu persidangan atau forum tidak ada kuatkuasa undang-undang dan tidak mengikat mana-mana pihak.

Satu deklarasi adalah hanya satu pernyataan niat atau hasrat untuk melakukan sesuatu tindakan atau mengambil satu langkah di masa depan. Selepas ini terserah kepada kerajaan Malaysia (dan mana-mana kerajaan lain yang menghantar perwakilan mereka menyertai WUF9 ini) untuk memutuskan sama ada semua atau hanya sebahagian daripada apa yang disebutkan dalam deklarasi tersebut akan dilaksanakan. Dan jika begitu, bila masanya.

Yang pasti adalah sebelum apa-apa langkah seterusnya diambil untuk mencapai matlamat deklarasi itu, kita perlu melihat semula (antara lain) dasar sedia ada berkaitan isu per­ban­daran ini (iaitu Dasar Perbandaran Ne­gara 2006 (DPN) dan Dasar Per­bandaran Negara Kedua 2016-­2025 (DPN2), serta undang-un­dang yang ada (seperti Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976) bagi menentukan apakah ia perlu dipinda agar memboleh­kan dan memudahkan (tidak me­nghalang dan menyusahkan) pencapaian matlamat tersebut.

Pakar meramalkan bahawa pa­da 2050 nanti, lebih 70 peratus penduduk dunia akan tinggal di bandar. Mengikut portal PLANMalaysia, kita kini ada lebih 280 bandar di seluruh negara. Mampukah semua bandar ini menjadi bandar mampan yang memberi kesejahteraan rakyat?

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Profesor Tamu Universiti Teknologi 
Malaysia (UTM) Skudai, Johor.