Perhubungan ini akan berada pada tahap yang tertinggi apabila sesuatu pihak amat mempercayai antara satu sama lain. Misalnya, perhubungan antara suami dan isteri. Pada tahap yang lebih tinggi, perhubungan antara sebuah kerajaan dengan sebuah kerajaan yang lain. Jika pada asalnya, sesuatu perhubungan itu tidak begitu akrab, namun akan menjadi lebih akrab apabila masing-masing berusaha untuk menjaga perhubungan itu sehingga mencapai satu tahap yang tertinggi.

Sebab itulah negara kita mudah berurusan dengan negara-negara lain kerana dasar Malaysia yang sentiasa berusaha untuk bersahabat dengan mana-mana negara di dunia ini. Tidak kira sama ada negara tersebut adalah negara kurang maju, sedang memba­ngun mahupun sudah maju ke hadapan berbanding Malaysia, semuanya akan dilayan dengan baik. Menjaga perhubungan ini mendatangkan pelbagai manfaat. Misalnya, pelaburan langsung a­sing (FDI) akan banyak masuk ke dalam negara, manakala urus­an eksport dan import bakal di­tingkatkan pada nilai yang lebih tinggi.

Kita lihat kebelakangan ini FDI sedang dan bakal memasuki negara dalam pelbagai bentuk. Ada dalam bentuk kerjasama dan tidak kurang juga pelaburan yang boleh membuka peluang-peluang pekerjaan yang baharu kepada rakyat Malaysia. Minggu lalu, terserlah betapa perhubungan akrab Malaysia dengan negara Arab Saudi bakal merealisasikan pelbagai bentuk manfaat yang bukan setakat menguntungkan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat tetapi juga rakyat Malaysia itu sendiri. Hasil pelaburan sebanyak RM31 bilion di Pengerang sahaja boleh mendatangkan keuntu­ngan ekonomi buat negara. Sudah tentulah bukan setakat peluang pekerjaan baharu bakal diwujudkan tetapi juga pelaburan ini bakal menggerakkan ekonomi Malaysia melalui perkongsian kepakaran dan sumber pendapatan negara boleh ditingkatkan yang akhirnya rakyat Malaysia akan menikmatinya.

Hal inilah yang berlaku semasa era 1990-an yang tatkala itu FDI negara telah membuka peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia. Daripada hanya sebuah negara berasaskan pertanian, ekonomi Malaysia telah beralih kepada sebuah negara yang berasaskan perindustrian. Pelabur-pelabur berani untuk melabur ke dalam negara atas faktor ke­upayaan negara untuk menyediakan pelbagai bentuk insentif kepada mereka. Kesannya cukup ketara apabila Malaysia telah mencatatkan kadar pertumbuhan yang cukup memberangsangkan dalam beberapa tahun sebelum krisis kewangan Asia 1997/98.

Semasa krisis kewangan Asia, ramai pelabur menarik pelaburan mereka ekoran berasakan ekonomi negara kita berada pada tahap yang kurang meyakinkan. Dalam hal ini, situasi menang-menang perlu dititikberatkan. Apabila pelabur berasakan tidak dapat menjana keuntungan semasa krisis kewangan, maka sudah tentu mereka beralih ke pasaran lain. Adakah ketika itu kita boleh katakan negara kita telah gagal? Sudah tentu tidak. Tiada negara mampu kekal pada tahap ekonomi yang baik. Hatta, negara maju sekalipun dilanda krisis ekonomi atau kewangan.

Jadi, atas hubungan akrab dengan pelbagai negara lain, Malaysia bangun untuk keluar dari krisis kewangan Asia. Begitu juga dalam konteks individu, jika seseorang itu sedang mengalami masalah kewangan, adakah wajar kita katakan bahawa dia telah gagal? Tidak! Ini kerana apa yang sedang dialaminya boleh memberi kebaikan untuk masa hadapannya, misalnya bangkit semula untuk lebih kuat. Kebangkitan ini akan lebih cepat dilakukan apabila ramai yang sanggup membantu. Hanya dengan perhubung­an akrab dengan keluarga dan juga rakan-rakan, maka bantuan mudah disalurkan. Inilah yang dikatakan perhubungan akrab itu cukup penting sehingga boleh mendatangkan pelbagai manfaat.

Namun demikian, perhubung­an ini boleh sahaja berada pada tahap yang kurang baik atau lebih teruk lagi jika mana-mana pihak tidak berusaha untuk menjaga perhubungan tersebut. Misalnya, sengaja membuat pihak lain terasa dengan mengeluarkan kata-kata yang mengguris perasaan individu mahupun mengguris perasaan rakyat sesebuah negara. Setiap perhubungan itu pastinya ada sempadan yang tidak boleh dilangkau sehingga boleh memudaratkan sesuatu perhubungan. Lebih-lebih lagi melibatkan perhubungan antara sebuah negara dengan negara yang lain. Setiap negara memiliki kedaulatan ma­sing-masing yang negara lain perlu menghormati, menghargai dan menjaganya. Jika tidak dihormati, maka boleh mengeruhkan perhubungan antara sebuah negara dengan negara lain. Sebab itulah perlu sentiasa menjaga keakraban hubungan agar tidak mendatangkan kemudaratan terhadap perhubungan tersebut.

Dalam konteks individu, persahabatan dan persaudaraan perlu sentiasa dijaga. Ini termasuklah hubungan antara kaum agar semua pihak menghormati sensitiviti kaum-kaum lain. Manakala dalam konteks umat Islam, sila­turahim perlu sentiasa dijaga. Sebab itulah, agama Islam melarang sama sekali umatnya terlibat dengan fitnah, mengumpat, mencaci dan mencela pihak lain. Ini kerana boleh menyebabkan pergaduhan yang berpanjangan.

Adakah kehidupan sesebuah masyarakat itu akan kekal aman jika asyik bergaduh sesama sendiri? Tepuk dada tanya selera. Pepatah Melayu ada menyebut kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana. Satu lagi pepatah Melayu iaitu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya, mengajar kita agar berfikir sebelum bercakap.

Hanya orang bijak sahaja akan sentiasa berfikir sebelum berbicara agar tidak menyebabkan mana-mana pihak terasa dan terguris hatinya. Semuanya ini untuk menjaga keakraban hubungan sesama manusia yang akhirnya membawa kebaikan dan manfaat untuk membentuk kehidupan yang aman dan harmoni.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.