Ini juga mencerminkan dasar luar kerajaan baharu Malaysia yang mahu memastikan rantau ini kekal sebagai zon yang aman dan bebas serta berkecuali daripada sebarang persengketaan.

Mengapa kenyataan seumpama itu dibuat?

Ramai yang menganggap ke­nyataan itu dikeluarkan kerana ASEAN selama ini dilihat telah memberi terlalu banyak ruang kepada kapal perang ‘negara sahabat’ bergerak bebas di kawasan yang mempunyai tuntutan bertindih khususnya di perairan Spratly. Perlu ditegaskan, isu pertindihan tuntutan di kawasan kepulauan Spratly adalah sesuatu yang masih belum dirungkai.

Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei adalah antara penuntut hak ke atas gugusan pulau dan terumbu di kawasan perairan Laut China Selatan, yang dicabar oleh China. Paling lantang di antara negara penuntut ialah Filipina yang telah mengemukakan bantahan ke Mahkamah Timbangtara Antarabangsa di The Hague, Belanda. Bantahan dan tuntutan ini dibuat apabila kapal peronda Tentera Laut Filipina kerap kali mendakwa kapal Tentera Laut China menceroboh perairan negara itu.

Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana kapal Tentera Laut Diraja Malaysia juga sebelum ini pernah dilaporkan terserempak dengan kapal tentera China atau melakukan pe­nyamaran sebagai kapal nelayan, di kawasan perairan negara sehingga ke Sabah dan Sarawak.

Dalam perebutan wilayah ini, Republik Rakyat China kini sedang giat mempromosikan inisiatif One Belt One Road, mewujudkan semula laluan sutera daripada negara tembok besar itu menerusi laluan darat dan laut.

China menawarkan pelbagai ‘bantuan’ dan menyediakan ‘pinjaman mudah’ untuk menjayakan inisiatif laluan sutera yang sedang giat dipromosikan termasuk kepada negara-negara yang terkait dengan tuntutan Spratly. Dalam diam, ketika yang sama, kawasan terumbu karang sudah bertukar menjadi pulau. Pulau-pulau ini pula didakwa telah menjadi pangkalan tentera China yang menempatkan pelbagai senjata dan sistem radar dan pertahanan.

Cerapan imej satelit tentera Amerika Syarikat (AS) pula ko­nonnya mengesan aktiviti ketenteraan di pulau-pulau yang baru diwujudkan ini. Keadaan ini mengundang kehadiran kapal perang AS di kawasan Laut China Selatan dengan alasan untuk me­lakukan latihan tetapi sebenar­nya memantau pergerakan dan aktiviti Tentera Laut China.

Bagaimanapun di bawah pentadbiran semasa, Filipina dilihat tidak lagi serius untuk meneruskan tuntutan yang dikemukakan ke atas terumbu karang di Kepulauan Spratly. Malah pada Sidang Kemuncak ASEAN yang diadakan di Manila tidak lama dulu, Fi­lipina selaku tuan rumah tidak langsung menyebut me­ngenai ancaman China di perairan Laut China Selatan. Pernyataan bersama yang dikeluarkan pada akhir sidang kemuncak itu hanya menyebut ASEAN mahu memastikan laluan perkapalan yang selamat bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serantau.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte hanya menyatakan kebimbangan ASEAN terhadap ujian peluru berpandu nuklear yang dijalankan oleh rejim Pyongyang (ketika itu). Pencerobohan tentera laut China dan aktiviti kerja-kerja tebus guna kawasan terumbu karang untuk dijadikan pulau tidak disebut langsung walaupun Filipina adalah negara yang terdekat dengan aktiviti penerokaan dan pencerobohan itu.

Berbalik kepada pengumuman kerajaan mengenai dasar tiada kapal perang di Selat Melaka dan Laut China Selatan, ia boleh disifatkan sebagai bertepatan dengan keadaan semasa. Tuntutan ke atas terumbu karang di kepulauan Spratly telah menjadi seolah-olah sesuatu yang dilupakan dan status keutamaan mungkin telah pudar.

Tidak dapat dipastikan berapa banyak kapal perang dan dari mana mereka datang, yang sentiasa me­ronda Laut China Selatan ketika ini, tetapi kehadiran mereka bukan sesuatu yang dialu-alukan. Adalah menarik untuk mengetahui dasar luar Malaysia berhubung isu ini.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang baru dilantik akan memberi rakyat Malaysia satu perspektif yang lebih jelas pendekatan kerajaan baharu Malaysia terhadap tetangganya, dasar luar negara dan isu-isu berbangkit yang masih belum selesai.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dilaporkan sebagai berkata, Malaysia mengambil berat me­ngenai aktiviti ketenteraan di kawasan terumbu yang diduduki oleh China. Kehadiran mereka ini, katanya, mewujudkan rasa curiga dalam kalangan negara berhampiran dan berkepenti­ngan di Asia Tenggara.

Malaysia bagaimanapun, tegas beliau, mahu apa juga isu ditangani secara aman dan menolak sebarang bentuk tindakan ketenteraan yang boleh mencetuskan konflik dan ketidakstabilan di rantau ini.