--

Walaupun ditulis khusus untuk ahli akademik, ba­nyak kemahiran kepimpinan yang dinyatakan dalam buku ini boleh digunakan dalam mana-mana bidang pekerjaan sekalipun.

Antara yang disentuh penulis adalah mengenai tiga gaya kepimpinan utama yang boleh digunakan. Kaedah berkenaan berubah mengikut keadaan.

Menurut penulis, pemimpin harus melihat adakah mereka termasuk dalam kalangan individu yang akan memberitahu kakitangan perkara perlu dibuat dan bagaimana harus dilakukan.

Ketua yang bertindak sedemikian mengamalkan gaya kepimpinan autokratik yang sebenarnya kurang berkesan. Kaedah itu sesuai untuk keadaan tertentu sahaja.

Sebenarnya, terdapat dua kaedah lain yang lebih sesuai diamalkan termasuk gaya kepimpinan participatory (penyertaan) yang merujuk kepada langkah pemimpin mengajak kakitangan agar turut sama dalam pro­ses membuat keputusan. Bagaimanapun, ketua masih mengekalkan haknya untuk membuat keputusan akhir.

Kaedah ini menunjukkan kepada kakitangan bahawa ketua menghormati mereka dan pada masa sama mereka juga diharapkan dapat menghormati pemimpin.

Satu lagi adalah gaya kepimpinan laissez-faire (kebebasan penuh). Menerusi kaedah ini, pemimpin membenarkan orang bawahan untuk membuat keputusan. Bagaimanapun, ke­tua masih bertanggungjawab terhadap keputusan yang diambil kakitangan.

Gaya ini digunakan apabila kakitangan mampu mem­buat penilaian sendiri dan menentukan apa yang perlu dilakukan dan bagaimana melaksanakannya. Sese­orang pemimpin bo­leh menggunakan gaya berkenaan jika sanggup menurun­kan kuasa kepada orang bawahan.

Dalam pada itu, penulis menasihatkan individu dilantik menjadi pemimpin supaya sedar bahawa jawatan berkenaan tidak harus digunakan untuk mencari populariti.

Populariti hanya penting untuk pemimpin dalam parti politik, industri hiburan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Bagi syarikat, universiti dan agensi kerajaan, pemimpin hanya diharapkan untuk melakukan perkara betul pada setiap masa dan bukan untuk mencari publisiti.

Jadilah pemimpin hebat dengan cara memberi lebih tumpuan kepada tindakan betul dan terbaik bagi membolehkan organisasi maju ke hadapan sekalipun segala keputusan itu bersifat tidak popular.

Tambah penulis, pemimpin terbaik akan mendapatkan maklum balas daripada kakitangan mereka. Walaupun sukar dilakukan kerana ramai pemimpin tidak suka dikritik atau dinilai, tetapi manfaat cukup banyak untuk individu itu serta organisasi yang dipimpin.

Meminta maklum balas akan membantu pemimpin mengenal pasti kelemahan dan kekurangan yang terdapat pada diri mereka. Ketua perlu ada sikap ingin tahu terhadap maklum balas berkenaan dan tidak mengambilnya sebagai terlalu peribadi atau bersikap defensif.

Perasaan ingin tahu persepsi orang lain terhadap gaya kepimpinan adalah satu cara terbaik untuk belajar dan memperbaiki diri.

Elakkan sikap tidak suka mendengar maklum balas negatif. Ingatlah, jika sikap itu diamalkan, kakitangan akan hanya menyampaikan perkara positif sahaja dan menyebabkan ketua tidak mengetahui keadaan sebenar yang berlaku dalam organisasi.

Penulis turut menyentuh mengenai sikap yang se­ring ada pada ketua iaitu mahu diri mereka dihormati oleh orang dipimpin. Satu hakikat yang harus diketahui setiap pemimpin adalah perasaan hormat tidak akan wujud secara automatik tetapi mesti diusahakan. Hal itu bermula dengan ketua terlebih dahulu menghormati orang bawahan.

Menghormati orang dipimpin tidak cukup dengan sekadar melafazkan ‘saya menghormati anda’ atau me­ngucapkan penghargaan atas sumbangan mereka, tetapi perlu disusuli dengan meminta pandangan dan nasihat khususnya dalam kalangan orang bawahan lebih tua atau telah lama berkhidmat dengan sesebuah organisasi.

Sementara itu, penulis menekankan mengenai perlunya keseimbangan masa yang diluangkan di tempat kerja dan bersama keluarga.

Persepsi salah yang sering ada dalam kalangan pe­mimpin adalah mereka amat diperlukan di tempat kerja dan jika mereka tiada, sesuatu tugas tidak dapat dilaksanakan.

Pandangan itu adalah salah kerana jika pemimpin tidak dapat menjalankan tugas kerana hal-hal peri­badi, kerja berkenaan boleh diambil alih oleh orang lain.

Sebaliknya, jika seseorang itu mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa, peranan itu tidak boleh diambil alih oleh isteri, bapa saudara atau datuk.

Oleh itu, elak meluangkan terlalu banyak masa bagi menyiap­kan kerja sehingga terpaksa menggunakan waktu malam dan semasa cuti hujung minggu yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga.