- Man, Kuala Lumpur

UKE: Haram bagi seseorang pelajar meniru ketika peperiksaan. Perbuatan meniru itu termasuk dalam dosa-dosa besar.

Nabi SAW bersabda, “Sesiapa menipu, maka bukan daripada kalangan kami.”

Ini kerana hasil daripada perbuatan meniru, dia akan berjaya dalam peperiksaan dan diberikan slip peperiksaan, sedangkan dia tidak layak menerimanya.

Lebih malang dia akan mendapat pekerjaan sedangkan jawatan itu tidak layak diberikan kecuali kepada orang yang memperolehi sijil dengan cara betul.

Jika sijil yang diperolehinya adalah hasil daripada perbuatan meniru, maka dibimbangi gaji yang diperolehi juga adalah harta haram atau syubhat.

Sabda Nabi SAW; “Sesungguhnya Allah apabila telah mengharamkan sesuatu maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil daripada yang haram). (Ar-Rawdu Al-Murabba’ 2/30; Riwayat Ibn Hibban, 11/312).

 

Mandikan pesakit bukan mahram

Kawan saya mempunyai adik ipar lelaki yang merupakan pesakit sindrom down. Suami kawan saya pula ada masalah jantung.

Masalahnya, kawan saya yang mandikan adik iparnya berusia 40 tahun dalam keadaan bertelanjang disebabkan dia tidak mahu memakai kain basahan.

Kawan saya cakap keadaan darurat diharuskan. Apa yang saya tahu adik iparnya masih mempunyai adik perempuan yang merupakan muhrimnya.

- Sal, Kuala Lumpur.

UKE: Pertama, anda ada sebut muhrim sebenarnya perkataan yang benar ialah mahram. Kedua, saya rasa orang yang ada masalah sindrom down tidaklah perlu sampai kena mandi bertelanjang jika dididik dengan cara yang betul.

Adakah dia terlalu gemuk, uzur atau apa-apa sampai mandi pun kena orang mandikan? Bukan semua alasan boleh dikatakan darurat. Saya rasa perlu dikaji setakat mana tahap sindrom down lelaki tersebut.

Ketiga, jika sudah tidak ada sesiapa yang hendak uruskan pesakit sindrom down itu, maka saya nasihatkan agar kawan anda menyuruh dia memakai kain basahan atau seluar.

Kalau dia tak nak pakai itu, maknanya saja-sajalah dia tak nak pakai. Saya bimbang dia ada helah lain seperti mungkin rasa seronok dimandi dalam keadaan Maka jika keadaan begitu, mintalah si suami yang mandikan.

Keempat, bincanglah dengan elok agar saudara mahramnya lebih memainkan peranan dalam menjaga orang kelainan upaya tersebut.

Kalau boleh saya rasa belum terlambat untuk ahli keluarga belajar memahami psikologi pesakit sindrom down agar mudah menguruskan mereka.

 

Terlupa rukun solat

Saya pernah terlupa melakukan duduk antara dua sujud semasa solat tetapi saya juga terlupa untuk melakukan sujud sahwi pada solat itu. Apakah keadaan solat saya itu ustaz?

Soalan kedua, guru ada memberi buku kepada saya, tetapi saya tidak membayarnya lagi sedangkan saya telah berpindah ke sekolah baharu. Adakah jika saya bersedekah seperti di surau pada nilai yang sama harga dengan buku itu, saya tidak lagi berhutang dengan guru tersebut?

- Muaz, Johor.

UKE: Duduk antara dua sujud merupakan salah satu rukun fi’li (perbuatan) yang pendek. Menurut jumhur ulama, duduk antara dua sujud adalah wajib dan tidak sah sembahyang jika ditinggalkan dengan sengaja. (Al-Majmuk: 3/367).

Menurut ashab mazhab Syafie dan jumhur ulama, wajib tumaninah ketika rukuk, sujud, iktidal (bangkit daripada rukuk) dan duduk antara dua sujud.

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Nabi SAW bersabda: “Apabila engkau berdiri untuk menunaikan sembahyang hendaklah bertakbir, kemudian bacalah yang mudah olehmu daripada ayat al-Quran. Kemudian rukuk dengan tumaninah, kemudian bangkit sehingga berdiri tegak (iktidal), kemudian sujud dengan tumaninah, kemudian bangkitlah daripadanya dengan tumaninah, dan lakukanlah yang sedemikian itu dalam setiap sembahyangmu.” (Hadis riwayat Al-Bukhari).

Bila anda dah ingat itu, maknanya anda tidak lupalah maka qadalah semula solat tersebut.

Untuk soalan kedua, guru tersebut masih hidup dan anda mengetahui pula dia berada di mana, maka pergilah bayar kepadanya. Minta nombor akaun bank dia dan silalah bank in, bukankah lebih senang. Kirim melalui orang dan pos pun boleh.

 

Tidak dapat harta pusaka

Sebelum bapa mentua saya meninggal dunia, dia telah membuat Surat Wasiat di Amanah Raya Berhad sebagai persediaan mengagihkan harta untuk anak-anaknya.

Selepas dia meninggal dunia, abang sulung menuntut harta pusaka dan mengagihkan kepada adik-adik yang lain namun isteri saya yang merupakan anak ketiga arwah hanya diberikan hibah. Bolehkah isteri saya menuntut haknya sebagai anak?

- Atok Alang, Alor Gajah.

UKE: Jika isteri anda anak kandungnya si mati, maka dia berhak menuntut harta pusaka bapanya. Silalah tuntut di mahkamah dan lantik peguam untuk menguruskan hal ini.