Apa visi dan misi badan kehakiman tahun ini?

RAUS: Visi yang diangkat pada tahun ini adalah untuk memastikan perkhidmatan diberikan badan kehakiman sentiasa bertunjangkan kecekapan, keadilan dan ketelusan.

Berkaitan dengan misi pula, badan kehakiman dalam me­ngharungi zaman teknologi ser­ba canggih ini perlu bergerak se­cara seiring dengan pemba­ngunan teknologi semasa dan dise­babkan itulah sistem e-Court diperluaskan secara berperingkat-peringkat. Misalnya, sistem e-Filing yang dahulu diguna pakai di Mahkamah Rendah dan Mah­kamah Tinggi kini telah diperluaskan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Selain itu, sistem e-Lelong bagi kes lelong awam harta tak alih di Mahkamah Tinggi Malaya juga telah dilancarkan pada Julai 2017 di Mahkamah Tinggi Kuantan. Sistem ini telah mendapat sokongan dan pujian daripada banyak pihak kerana pelaksanaan sistem ini adalah lebih telus dan efisien. Pembida (orang awam) tidak perlu lagi hadir ke mahkamah untuk mendaftar dan menyertai sesi lelongan se­perti sebelumnya dan ini membantu daripada segi penjimatan masa dan kos pembida. Tambahan pula, identiti pembida dirahsiakan untuk membolehkan pembida membuat bidaan tanpa tekanan dan gangguan serta meningkatkan ketelusan dan integriti proses lelongan awam. Ini sekali gus menjadikan harga jualan hartanah juga akan menjadi lebih kompetitif.

Sejak dilantik menjadi Ketua Hakim Negara pada 1 April 2017, apakah cabaran yang Tun hadapi sepanjang tempoh sembilan bulan ini?

Alhamdulillah, sudah sembilan bulan saya menjalankan tugas sebagai Ketua Hakim Negara. Terasa begitu cepat masa berlalu. Tanggungjawab sebagai Ketua Hakim Negara ini amatlah besar, cabarannya sama besar.

Cabaran pertama ialah mengenai pelantikan saya sebagai Ketua Hakim Negara bagi tempoh tiga tahun lagi melalui lantikan sebagai hakim tambahan di bawah Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Banyak komen dan panda­ngan berbeza telah disuarakan me­­ngenai perkara ini. Komen-komen tidak menyeronokkan juga dilemparkan kepada saya dan ini sendiri menjadi cabaran kepada saya. Pada asasnya terdapat dua perbezaan pendapat. Pihak kerajaan berpendapat bahawa pelantikan saya untuk tempoh tiga tahun lagi adalah mengikut perlembagaan, namun Majlis Peguam berpendapat sebaliknya dan telah memfailkan tindakan di mahkamah. Oleh itu, saya tidak boleh mengulas perkara ini. Biarlah mahkamah menentukannya.

Cabaran kedua ialah saya memegang jawatan ini dalam persekitaran penggunaan media sosial yang meluas yang mana keputusan mahkamah dikritik dan kadang kala dicemuh tanpa had. Ia bukan sahaja menjadi cabaran kepada saya tetapi juga menjadi cabaran kepada hakim-hakim yang membuat keputusan setiap hari.

Saya akui, hakim-hakim memang tidak dapat lari daripada kritikan atas keputusan mereka buat. Tetapi, apa yang saya harapkan ialah supaya kritikan itu perlulah berpandukan kepada undang-undang dan fakta betul. Apa yang saya harapkan, pengkritik di luar sana supaya membaca alasan penghakiman sebelum membuat kritikan.

Cabaran ketiga ialah untuk meneruskan kecemerlangan badan kehakiman yang telah dimulakan oleh Tun Zaki (Tun Zaki Tun Azmi) dan kemudiannya diteruskan oleh Tun Arifin Zakaria. Semua maklum bahawa sejak Tun Zaki menjadi Ketua Hakim Negara, prestasi mahkamah memang mendapat sanjungan terutamanya daripada segi pelupusan kes dan menjadi satu cabaran buat saya supaya kecemerlangan itu dapat dipertahankan dan dipertingkatkan.

Cabaran keempat ialah untuk melupuskan kes-kes lama yang masih tertunggak. Walaupun kita telah mencapai pelupusan kes antara 85 hingga 95 peratus meng­ikut jadual tapi masih ada antara 10 hingga 15 peratus kes pra-2017 iaitu kes 2016, 2015 yang masih tertunggak dan kebanyakan kes ini adalah di mahkamah Se­langor dan Kuala Lumpur. Cabaran saya ialah supaya kes-kes ini dapat di­selesaikan dalam tempoh terdekat. Dalam hal ini saya telah mengatur beberapa strategi untuk mengatasi masalah ini.

Sebenarnya, sebaik sahaja saya mengambil alih tugas sebagai Ke­tua Hakim Negara pada April lalu, sasaran pertama saya ialah untuk menyelesaikan kes-kes lama yang masih tertunggak di Mahkamah Shah Alam. Pada perjumpaan de­ngan hakim-hakim di Shah Alam pada pertengahan April 2017, saya telah memberi arahan supaya kes-kes pra-2017 dapat diselesaikan segera. Penghujung tahun lalu, saya mengadakan mesyuarat dengan hakim-hakim sama dan didapati antara 50 hingga 70 peratus kes tertunggak telah dapat dilupuskan. Bakinya diharap akan dapat diselesaikan pada akhir Mac 2018.

Dalam tempoh tiga tahun selaku pemegang jawatan Ketua Hakim Negara, apakah penambahbaikan yang ingin dilakukan bagi meningkatkan keyakinan orang awam kepada institusi kehakiman?

Banyak perkara ingin saya lakukan dalam tempoh tiga tahun ini. Pertama, saya mahu melihat perjalanan sesuatu kes tidak tertangguh sewenang-wenangnya. Apabila sesuatu kes tersebut didaftar dan telah ditetapkan tarikh untuk perbicaraan, saya ingin pastikan kes didengar dan diputuskan tanpa pe­nangguhan.

Sebelum ini, banyak kes la­ma tertangguh sebab kita (mah­kamah) selalu beri penangguhan. Pada masa itu, terdapat kes tertangguh sehingga 10 ke 20 tahun. Alhamdulillah pada masa kini hal itu tidak berlaku lagi.

Kedua, saya sentiasa berharap dan mahu melihat diri saya serta hakim lain meningkatkan kualiti penghakiman. Saya ingin melihat alasan-alasan bernas, penuh de­ngan hujah-hujah bermutu tinggi. Alasan penghakiman ini penting kerana melalui penulisan alasan penghakiman, masyarakat akan dapat mengetahui dan memahami intipati kenapa sesuatu kes diputuskan sedemikian.

Ketiga, saya ingin memastikan sistem penyampaian keadilan negara ini berada pada tahap efisien yang boleh dibanggakan. Salah satu penanda aras dalam menilai sistem penyampaian keadilan adalah tempoh pelupusan kes yang cepat atau dalam tempoh masa disasarkan.

Oleh itu, saya mahu semua kes didaftarkan di mahkamah sentiasa dipantau, didengar dan diputuskan mengikut tempoh ditetapkan iaitu antara enam hingga sembilan bulan bagi kes sivil dan jenayah di peringkat Mahkamah Majistret, sembilan hingga 12 bulan bagi kes sivil dan jenayah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.

Bagi Mahkamah Rayuan, tempoh masa tiga hingga enam bulan diberikan bagi kes membabitkan kebenaran merayu dan rayuan interlokutori, sembilan bulan bagi kes Dagang, Muamalat, Hak Cipta Terpelihara, Admiralti dan Pembinaan; enam hingga sembilan bulan bagi kes rayuan jenayah dari mahkamah rendah termasuk membabitkan kes rasuah serta sembilan hingga 12 bulan bagi kes jenayah membabitkan hukuman mati.

Di peringkat Mahkamah Persekutuan pula, masa antara tiga hingga enam bulan diberikan bagi permohonan kebenaran me­rayu dan habeas corpus, sembilan bulan bagi kes rayuan sivil dan enam hingga sembilan bulan bagi kes rayuan jenayah.

Keempat, saya berhasrat untuk menambah pengetahuan orang ramai tentang kerja hakim yang sebenar. Orang ramai hanya mengetahui kerja hakim melalui laporan kes yang mereka lihat, dengar dan baca di akhbar atau melalui kes-kes sensasi di te­levisyen atau drama atau filem yang merupakan cerita rekaan. Tetapi saya pasti, masyarakat tidak mengetahui dan memahami budaya sebenar kerja hakim.

Orang ramai patut tahu bahawa hakim terpaksa membuat banyak keputusan setiap hari dan bukannya satu keputusan sahaja. Kalau di Mahkamah Persekutuan akan ada lebih kurang 40 kes dalam seminggu, lima hingga enam kes yang perlu diputuskan setiap hari dalam minggu tersebut.

Tetapi yang dilaporkan di akhbar cuma satu kes sahaja, jadi orang ingat hakim kerja senang sahaja buat satu kes, satu keputusan dalam satu hari. Sebenarnya, hakim bukan sahaja mendengar satu kes tetapi ada kes-kes lain. Untuk tujuan itu, hakim perlu baca rekod dan buat persediaan. Lepas buat keputusan, perlu buat alasan penghakiman. Jadi tugas hakim, bukan hanya mendengar kes, tetapi hakim perlu meneliti fail, menulis penghakiman bukan sahaja di pejabat tetapi kebanyakannya dibawa ke rumah. Ini semua tidak diketahui oleh masyarakat umum.

Saya terima, hakim memang boleh dikritik atas keputusan dibuat. Tetapi, kritikan yang adil adalah berbeza dengan kritikan melulu terutamanya tuduhan-tuduhan dan komen dibuat di media sosial. Sekiranya tidak diben­dung, tuduhan-tuduhan tidak ber­­asas ini boleh memusnahkan sistem keadilan negara kita.

Adakah Tun berpuas hati de­ngan prestasi para hakim yang ada sekarang?

Pada keseluruhannya, saya berpuas hati dengan prestasi para hakim yang ada sekarang. Tetapi masih ada ruang yang boleh diperbaiki. Sebab itulah kursus diadakan sepanjang tahun. Latihan kehakiman sememangnya menjadi antara matlamat tunjang dalam wawasan saya bagi membawa institusi ini ke persada lebih tinggi. Untuk itu, kita telah menubuhkan Akademi Kehakiman yang saya sendiri menjadi Pengerusi dan dianggotai oleh hakim-hakim kanan lain.

Sejak ditubuhkan, pelbagai kursus dan seminar telah dianjurkan oleh Akademi Kehakiman pada 2017 yang merangkumi pelbagai aspek undang-undang dan kursus ini dikendalikan oleh tenaga pengajar daripada kala­ngan hakim kanan di Mahkamah Persekutuan dan hakim Mah­kamah Rayuan. Teknik pengendalian kursus ini bercirikan teori dan praktikal dan kursus ini dijalankan secara intensif di hujung minggu bagi mengelakkan gangguan kepada jadual pendengaran kes di mahkamah.

Perlu diketahui masyarakat umum juga bahawa hakim terpaksa menghabiskan masa hujung minggu mereka untuk menghadiri kursus se­perti ini dan tenaga pengajarnya, hakim-hakim kanan akan hadir untuk memberi kursus kepada hakim-hakim lain. Kita panggil kursus ini Judges Training the Judges. Daripada soal selidik dijalankan, hakim-hakim yang menghadiri kursus anjuran Akademi Kehakiman menyatakan mereka mendapat banyak manfaat boleh diaplikasikan dalam menjalankan tugas harian mereka.

Tetapi Akademi Kehakiman ini tertumpu kepada melatih hakim-hakim Mahkamah Tinggi. Bagi ha­kim Mahkamah Sesyen dan Majis­tret, kursus-kursus dan latihan me­reka dikendalikan oleh Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di Bangi, Selangor. Tetapi, modul dan pengisian kita berikan kepada tenaga pengajar di sana.

 

Ramai memuji usaha Tun Zaki menyelesaikan kes-kes tertunggak dan kini hasilnya peratusan kes tertunggak semakin berkura­ngan. Apakah langkah yang akan diambil untuk mengekalkan momentum ini?

Sekarang, kebanyakan kes didengar adalah kes-kes semasa iaitu didaftarkan pada 2017. Ha­nya terdapat antara 10 hingga 15 peratus kes pra-2017 yang tertunggak. Pencapaian di Mahkamah Sesyen dan Majistret adalah lebih baik iaitu di Mahkamah Majistret hampir 100 peratus adalah kes semasa manakala di Mahkamah Sesyen, 90 peratus kes didengar adalah kes semasa.

Saya akan meneruskan dan mengekalkan momentum positif yang telah dicorakkan dan saya sendiri akan memantau prestasi hakim-hakim di semua pe­ringkat, termasuk majistret dan hakim-hakim Mahkamah Se­syen. Di samping itu, sejak memegang jawatan ini, saya telah membuat lawatan secara berkala bagi melihat dan berbincang dengan hakim-hakim serta mendengar sendiri permasalahan dihadapi mereka dan pegawai kehakiman dalam pentadbiran kes-kes di mahkamah. Saya telah pergi me­lawat dan bermesyuarat di semua mahkamah negeri di seluruh Malaysia dan lawatan ini saya buat secara mengejut tanpa notis.

Sebenarnya saya terlibat secara langsung dalam pembaharuan yang telah dijalankan oleh Tun Zaki pada 2008. Jadi, saya sangat faham apa yang telah dibuat dan apa yang perlu saya lakukan sebagai Ketua Hakim Negara.

MENINGKATKAN AKSES KEADILAN