Apabila tiba bulan Ramadan maka kesemua syaitan akan dirantai yang mana ketika ini umat Islam mempunyai kekuatan untuk melakukan ibadah sebagai latihan untuk menahan hawa nafsu. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya: “Apabila masuk bulan Ramadan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekalian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.”( Riwayat Bukhari dan Muslim)“

Allah memaklumi bahawa manusia tidak terdaya untuk menghindarkan diri daripada hasutan syaitan yang boleh mendorongkan mereka melanggar perintah Allah kerana kebijaksanaan syaitan dan juga keupayaannya menyelami hati nurani manusia secara menyelinap saluran darah manusia menjadikannya makhluk yang paling berkuasa un­tuk merosakkan manusia dan menderhakai Allah. Amalan yang boleh mengawal keaktifan syaitan menguasai manusia adalah berpuasa sepertimana sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya syaitan itu bergerak dalam diri anak Adam melalui saluran darah. Maka sempitkanlah perjalanannya dengan berlapar.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila syaitan dirantai pada bulan Ramadan maka umat Islam dapat menilai tahap kebaikan dan keburukan mengenai dirinya adalah hasil daripada kehendak hati nuraninya sendiri bukan daripada dorongan syaitan. Ketika ini muhasabah diri amat perlu untuk memperbaiki dirinya supaya tabiat dan tingkah laku yang buruk itu dijauhi dan tahap keimanan dipertingkatkan lagi. Saidina Umar al-Khattab berkata: “ Hisablah diri mu sebelum kamu dihisab. Timbanglah amal mu sebelum kamu ditimbangi. Kerana akan lebih mudah bagi mu kelak pada waktu dihisab itu apabila kamu menghisab sekarang diri mu sendiri. Dan berhiaslah untuk menghadapi hari yang mana kamu akan ditampilkan di muka umum tanpa ada sedikit pun yang tersembunyi dari mu”.

Umat Islam sepatutnya memahami bahawa diri mereka tidak sempurna dan suci supaya mereka dapat menghindari diri daripada mencerca dan menghina orang lain lantaran terlalu angkuh dengan kehebatan diri sebagai orang yang bertakwa. Rasulullah SAW menyeru umat Islam supaya menjadi orang yang tawaduk dan merasai diri sentiasa melakukan kesalahan. Sabda baginda: “ Setiap anak Adam banyak me­lakukan kesalahan atau dosa, dan sebaik-baik orang yang berbuat salah adalah orang yang bertaubat.” (al-Tirmidzi).

Umat Islam perlu membatasi diri mereka daripada perbuatan yang menghina orang lain sehingga ke tahap yang keterlaluan kerana nasib seseorang itu di hari akhirat adalah ditentukan oleh Allah. Di dalam Islam konsep bertaubat dan memohon ampun kepada Allah adalah salah satu cara untuk mengembalikan semangat orang berdosa memperbaiki diri mereka. Allah menjelaskan perkara ini dalam Surah 53 (al-Najm): 32 yang bermaksud: “ Sesungguhnya Tuhan mu Maha luas ampunan-Nya. Dan Dia lebih mengetahui (tentang keadaan) mu ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu masih janin dalam perut ibu mu. Maka janganlah kamu mengatakan diri mu suci. Dialah yang paling me­ngetahui tentang orang yang bertakwa”.

Setiap kesilapan dan dosa ­ya­ng­ dilakukan usah diulangi supaya tahap keimanan bertambah setiap kali menjalani kesucian diri dalam bulan Ramadan. Cercaan dan penghinaan terhadap saudara sesama Islam sehingga ke tahap menjatuhkan maruah dan kewibawaan diri individu-individu tersebut perlu dihentikan supaya memberi ruang kepada mereka untuk bertaubat dan membersihkan diri mereka daripada dosa-dosa yang dilakukan selama ini. Allah menyeru manusia supaya memperbaiki diri jika melakukan kesilapan dan dosa . Berusaha untuk memperbaiki diri itu adalah satu kegiatan yang mulia di sisi Allah.

Perselisihan faham sesama u­mat Islam sama ada dalam aspek politik dan seumpamanya sepatutnya dihentikan supaya persaudaraan sesama Islam dapat diperkukuhkan kerana konsep berpuasa dan menyambut hari raya adalah untuk menjalin dan memupuk perpaduan sesama umat Islam demi mempertahankan kekuatan dan kewibawaan umat. Fahamilah bahawa setiap manusia tidak akan dapat mempertahankan kesucian diri daripada dosa selama mana syaitan masih wujud dalam dunia ini. Oleh itu, umat Islam perlu awasi hasutan syaitan dan bekerjasama antara satu sama lain bagi memperkukuhkan keimanan dan perpaduan umat. Buang yang keruh ambil yang jernih.

PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN berkhidmat di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).