Apapun penulis berpendapat demi ketenteraman awam dan moral sepatutnya permit atau kebenaran terhadap penganjuran mana-mana pesta arak tidak wajar dibenarkan. Tidak kiralah di mana-mana tempat sekalipun. Kesan bahaya kepada keselamatan mereka di sekeliling seharusnya menjadi satu faktor penolak kepada penganjuran pesta yang dianjurkan semata-mata untuk arak. Tanpa pesta arak sekalipun, sudah banyak insiden berlaku terutama melibatkan kemalangan disebabkan kecuaian pemandu mabuk sehingga ada yang mengakibatkan kematian.

Arak atau mana-mana minuman yang beralkohol masih boleh dijual atau didagangkan dengan syarat mematuhi garis panduan yang dibenarkan oleh undang-undang. Permit untuk menjual arak juga diperlukan oleh peniaga. Cara penjualan minuman yang memabukkan ini telah diberikan melalui garis panduan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 (Peraturan Makanan).

Jika dilihat dalam Peraturan 361 sehingga 386A Peraturan Makanan, telah dinyatakan garis panduan mengenai minuman beralkohol termasuklah mengenai standard am bagi alkohol, pembungkusan minuman alkohol serta kandungan bagi minuman alkohol. Malah sekiranya diperhatikan di bawah Peraturan 361(2A) misalnya, pembungkusan minuman alkohol perlu diletakkan perkataan ‘Meminum Arak Boleh Membahayakan Kesihatan’ dengan menggunakan huruf tidak kurang daripada 12 poin.

Menerusi Peraturan 361(4) Peraturan Makanan pula menetapkan halangan bagi menjual apa-apa minuman beralkohol kepada individu di bawah umur 21 tahun. Di bawah Peraturan Makanan ini juga dinyatakan bahawa penjualan arak di kedai-kedai runcit atau kaunter jualan hendaklah dipamerkan di kabinet atau rak yang berasingan daripada rak yang digunakan untuk makanan.

Seterusnya sub-peraturan 8 menyatakan kegagalan mematuhi peraturan ini adalah satu kesalahan dan boleh apabila disabitkan kesalahan didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun.

Ini menunjukkan dalam aspek kesihatan pelbagai garis panduan telah ditetapkan sekaligus membuktikan bahawa mengambil minuman beralkohol bukanlah sesuatu yang mudah. Sekalipun terdapat garis panduan mengenai penjualan minuman beralkohol, tetap terdapat minuman keras yang tidak memenuhi tatacara peraturan dan perundangan. Ini telah mengundang banyak masalah sehinggalah ada yang menyebabkan kemalangan jiwa. Contohnya insiden baru-baru ini yang melibatkan minuman alkohol beracun.

Malahan, mabuk sehingga mendatangkan masalah kepada orang lain merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM25 atau dipenjara untuk tempoh tak melebihi 14 hari dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dihukum denda tidak melebihi RM100 atau dipenjara tidak melebihi tiga bulan penjara atau kedua-duanya.

Di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, memandu dalam keadaan mabuk membolehkan seseorang pemandu itu didenda maksimum RM20,000 dan juga dipenjara maksimum 10 tahun.

Tuntasnya, penolakan terhadap pesta arak tidak bermakna masyarakat Islam menafikan pilihan masyarakat bukan Islam untuk mengambil minuman alkohol. Tiada undang-undang bertulis yang melarang mereka daripada melakukan sedemikian. Yang menjadi kesalahan adalah sekiranya peminum arak mengambil keputusan untuk memandu dalam keadaan mabuk atau mabuk sehingga mengganggu ketenteraman awam. Maka kebenaran untuk menjual dan membeli arak tidak seharusnya dianggap sesuatu yang boleh dibenarkan sewenang-wenangnya.

PENULIS ialah pengamal undang-undang sivil dan syariah.