Bezanya, enam penggal sebelum ini kerajaan negeri di bawah Pas yang menjadi pembangkang kepada Kerajaan Persekutuan boleh ‘bergantung harap’ kepada pemimpin-pemimpin UMNO negeri, yang ada antaranya merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk ‘memudahkan’ urusan dan perhubungan dengan pihak di Putrajaya.

Misalnya, sebelum ini ada menteri berasal dari Kelantan seperti bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Beliau juga adalah bekas Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Kelantan. Juga terdapat tokoh-tokoh lain seperti bekas Timbalan Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Jazlan Yaakob.

Jasa mereka bukan sedikit untuk rakyat Kelantan. Sudah ada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan wujud Kampus Cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Machang. Kemudahan-kemudahan asas lain dilaksanakan secara berterusan sebelum ini termasuk rangkaian jalan, bekalan elektrik, hospital, klinik dan sekolah-sekolah di bandar dan luar bandar.

Sebab itu, bagi kebanyakan rakyat Kelantan, mereka sering menganggap: “Pas dan UMNO memerintah pun sama saja, tak ada beza...”. Maksud mereka, kedua-dua pihak Pas dan UMNO adalah terdiri daripada Melayu dan Islam selain meletakkan keyakinan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) tetap berfungsi dalam membawa pembangunan dan kemudahan Kerajaan Persekutuan ke Kelantan.

Kenyataannya, kedua-dua parti Pas dan UMNO kini adalah pembangkang kepada Kerajaan Persekutuan. Tergambar ‘kekoknya’ kerajaan Pas Kelantan ketika ini untuk berurusan atas hal-hal mendapatkan peruntukan dan bantuan secara mudah dan lancar dengan pihak Kerajaan Pusat kerana mereka langsung tiada lagi ‘pengantara’.

Di Kelantan, kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen dikuasai oleh wakil-wakil Pas dan UMNO (BN). Ertinya, tiada sebarang kerusi yang mewakili komponen Pakatan Harapan (PH) yang merupakan kerajaan di peringkat Persekutuan di Kelantan.

Apakah rakyat negeri itu boleh terus selesa dengan slogan Kelantan tetap tidak dianak-tirikan? Itu yang berlegar di benak fikiran rakyat Kelantan ketika ini. Mereka khuatir, konsep ‘federalisme’ tidak lagi berjalan seperti biasa.

Khabar terkini, kelancaran pengurusan JPP tidak se­perti dulu. Penyaluran peruntukan bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri terbantut. Malah, semua JPP di 10 jajahan di Kelantan sudah ditutup.

Atas alasan lantikan politik, lebih 3,000 Penggerak Masyarakat di bawah JPP di seluruh negeri telah ditamatkan perkhidmatan. Mereka ini pernah berkhidmat menyam­paikan maklumat tentang hal ehwal semasa negara di peringkat ‘akar umbi’ selain menyumbang tenaga dalam bidang keagamaan.

Khabarnya juga, bantuan ‘wang ihsan’ yang pernah disalurkan ke negeri itu sejak 2010 melalui JPP dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) pun sudah ‘digantung’. Kata sumber, jumlah yang disalurkan dalam tempoh itu sekitar RM270 juta. Wang itulah dibelanjakan untuk kebajikan rakyat seperti untuk pelajar cemerlang, menampung perbelanjaan pelajar memasuki pusat pengajian tinggi, baik pulih rumah uzur, mereka yang terkena bencana banjir, ribut atau kebakaran dan lain-lain.

Menoleh ke kiri dan kanan, rakyat Kelantan terus mencari jawapan apakah ada istilah ‘batal’ atau ‘tangguh’ bagi projek-projek besar yang sudah diluluskan sebelum ini? Ini termasuklah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, tebatan banjir dan pembinaan kompleks Wisma Persekutuan baharu.

Dan mereka pun semakin ‘tertekan’ kerana tidak dapat membayangkan betapa ‘ruginya’ jika projek-projek ber­kenaan tergendala. Pastinya, hasrat membawa lembaran baharu bagi memajukan kehidupan mereka yang sekian lama tidak berubah itu masih sukar. Kegiatan ekonomi di negeri ‘Serambi Mekah’ itu dikatakan semakin ‘malap’.

Apa pun, demikian kenyataan yang harus diterima oleh rakyat Kelantan. Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa lawatan rasmi ke China baru-baru ini mengesahkan, projek ECRL dibatalkan. Ada yang melihat tindakan itu seolah-olah ‘menghukum’ negeri-negeri di bawah pembangkang di Pantai Timur.

Sukar untuk mencari jawapan tepat, walaupun ada yang bertanya: “Mengapa sebelum ini sudah dilulus dan hanya menunggu pelaksanaan saja? Lalu ada yang menelah: “Rakyat di negeri-negeri dikuasai pembangkang terutama Kelantan perlu belajar hidup susah di bawah situasi politik yang ada ketika ini...”.

Antara langkah terbaik bagi Pas dan UMNO ketika ini adalah menyemak semula dengan serius kepentingan aspek perpaduan demi kebaikan ummah dan tanah air. Dalam apa jua keadaan, keperluan rakyat perlu diberi keutamaan. Dan hikmah terbaik bagi Islam adalah penya­tuan!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.