Sememangnya hari mengundi yang jatuh pada hari bekerja akan menyukarkan sedikit tetapi ia tidak boleh dijadikan sebab untuk menghalang seseorang itu keluar mengundi. Dalam sejarah PRU Malaysia yang bermula pada 1955, hari mengundi pada hari bekerja sudah lima kali berlaku dan sebab itu pada kali ini tiada sesuatu yang luar biasa mengundi pada Rabu.

Begitu jua dengan tempoh berkempen selama 11 hari dikatakan tidak memadai berban­ding dengan PRU pada 2013 ia diperuntukkan sebanyak 15 hari berkempen. Sekali lagi angka 11 hari berkempen itu bukan satu perkara luar biasa kerana PRU 1999 dan 2004 masing-masing hanya mempunyai sembilan dan lapan hari waktu berkempen.

Tambahan pula dengan tek­nologi komunikasi pada masa kini, maklumat yang hendak di­sampaikan kepada pengundi ti­dak lagi hanya bergantung semata-mata melalui pertemuan secara bersemuka. Malah diandaikan lebih efektif jika maklumat disalurkan melalui penggunaan teknologi komunikasi kerana perkara yang hendak di­sampaikan boleh ditapis mengikut kesesuaian sasaran pengundi.

Dalam menyampaikan maklumat atau dalam bahasa mudah untuk memujuk pengundi supaya memilih calon daripada parti politik atau calon tanpa parti sekali pun, satu perkara yang tidak dapat dipisahkan adalah manifesto atau pun deklarasi perkara yang akan diperjuangkan jika dipilih menjadi wakil rakyat.

Kandungan manifesto adalah janji-janji parti atau individu yang akan dilaksanakan selepas PRU dan sama ada janji tersebut mampu atau boleh dilaksanakan adalah perkara kedua. Ini adalah kerana janji dalam manifesto tidak terikat dengan apa-apa bentuk perundangan kerana pihak yang menabur janji itu belum lagi dilantik sebagai wakil rakyat atau pun membentuk kerajaan.

Pada PRU-14 kali ini manifesto paling menarik perhatian adalah daripada tiga kumpulan utama iaitu Barisan Nasional (BN), gabungan pembangkang PKR dan Gagasan Sejahtera yang diketuai oleh Pas. Tidak kira sama ada manifesto BN, gabungan pembangkang PKR atau Pas kesemuanya mengandungi janji-janji yang sedikit sebanyak mampu meraih simpati pengundi ketika membuat keputusan apabila tiba hari mengundi.

Tetapi tidak dapat dinafikan manifesto BN mempunyai kelebihan dari segi kekuatannya kerana bukan sahaja kerana BN adalah kerajaan penyandang tetapi oleh kerana ia begitu komprehensif dan teliti. Jika manifesto gabu­ngan pembangkang PKR dan Pas boleh ditakrifkan sebagai janji tetapi manifesto BN dianggap sebagai dasar pembangunan melam­paui lima tahun akan datang.

Manifesto BN dianggap begitu komprehensif bukan kerana tebalnya 220 muka surat atau pun ia merangkumi 364 inisiatif yang mencakupi kesemua 14 tema utama berbanding dengan manifesto gabungan pembangkang PKR yang menjanjikan 66 perkara kesemuanya, tetapi kerana manifesto BN perlu dibaca bersama-sama dengan tiga program utama kerajaan BN iaitu Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan juga Program Transformasi Nasional (TN50).

Sebab itu ditekankan manifesto BN mempunyai kelebihan agak ketara berbanding apa yang dikeluarkan gabungan pembangkang PKR atau Pas kerana ia boleh disandarkan kepada dasar yang sedang dilaksanakan. Jikalau manifesto PH dan Pas boleh dianggap sebagai janji pilihan raya semata-mata yang belum tentu akan dilaksanakan, manifesto BN mempunyai kaitan dengan RMK-11, GTP dan TN50. Ditambah pula janji manifesto PRU-13 yang pada ketika ini lebih dari 99 peratus telah berjaya dilaksanakan, maka sebab itu manifesto BN bukan sahaja komprehensif tetapi juga berpijak di bumi nyata.

Jika diteliti matlamat RMK-11 yang mempunyai enam teras strategi iaitu inklusiviti, kesejahteraan, modal insan, daya saing, infrastruktur dan ekonomi, kesemuanya itu boleh dikaitkan dengan 14 tema manifesto BN. RMK-11 bermula pada 2016 dan tamat pelaksanaannya pada 2020.

Begitu juga dengan GTP adalah program persiapan kerajaan BN dalam menuju dan mencapai status negara maju pada 2020. Pada ketika ini GTP berada dalam fasa pelaksanaan ketiga bermula 2015 hingga 2020 iaitu selari dengan pelaksanaan RM11.

Sementara itu, kaitan manifesto BN dengan TN50 adalah begitu rapat apabila Manifesto Pemuda BN yang merangkumi lapan jaminan dilancarkan kelmarin khusus untuk orang muda yang antara lain menggariskan strategi memperhebatkan golongan ini dalam masa lima tahun akan datang. Manifesto khusus ini adalah selaras dengan kehendak dan idea orang muda yang terkandung dalam laporan TN50.

Ketika rakyat menilai ketiga-tiga manifesto ini sama ada daripada BN, gabungan pakatan PKR atau Pas buatlah dengan hati terbuka dan saksama. Jangan jadi seperti rakyat Britain ketika pungutan suara untuk menentukan sama ada untuk kekal atau sebaliknya dalam Kesatuan Eropah (EU) pada 2016 telah dijanjikan berbagai manfaat jika berada di luar EU.

Tetapi ternyata 51.9 peratus yang telah termakan janji tersebut untuk keluar dari EU merasa tertipu kerana janji itu tidak mampu dilaksanakan. Begitu jua apabila Donald Trump menjanjikan kawalan sempadan lebih ketat dengan pembinaan tembok sepanjang sempadan Amerika Syarikat dan Mexico, rakyat negara itu teruja tetapi ternyata sekarang janji Trump hanya tinggal janji.