Saya merakamkan sekalung tahniah dan terima kasih kepada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara atau NCIA dan pihak-pihak yang terlibat kerana telah berjaya menyediakan Blueprint 2.0 ini.

Blueprint 2.0 ini bukan sahaja amat penting bagi masa depan Koridor Utara, bahkan ia akan menjadi rujukan dan panduan kepada semua kementerian serta jabatan dan agensi serta sektor swasta dalam usaha untuk merancang serta membangunkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara ataupun NCER ini.

Saya telah dipertanggungjawabkan untuk terus menyambung legasi seorang tokoh negara yang kita hormati, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah mewujudkan Koridor-koridor Ekonomi termasuklah NCER untuk merancakkan pembangunan ekonomi wilayah-wilayah ketika pentadbirannya.

NCER ditubuhkan 10 tahun lalu pada tahun 2007 untuk memastikan kelestarian usaha pembangunan luar bandar setaraf dengan pembangunan di kawasan-kawasan bandar. Ia diilhamkan atas dasar tanggungjawab terhadap para petani yang membanting tulang di sawah-sawah, penat lelah pekerja ladang dan tanaman kecil-kecilan, mengangkat cita-cita golongan usa­hawan-usahawan kecil dan sederhana serta aspirasi anak-anak kita yang mahu maju ke hadapan.

Dalam kepantasan kita mencapai dan mengecapi kemajuan dan pertumbuhan ekonomi, kita tidak boleh melupakan sebahagian golongan rakyat di negara ini yang masih tercicir, baik dari sudut pencapaian ekonomi, tahap pendidikan, kemahiran dan mobiliti sosial.

Apatah lagi apabila kepesatan ekonomi dan teknologi dunia akan memberi cabaran besar kepada tenaga kerja generasi kini dan masa hadapan. Sebagai contoh, Revolusi Industri 4.0 yang menekankan aspek keupayaan pembuatan termaju (advanced manufacturing system), penawaran cloud computing, peranan penting digital dan robotik, serta artificial intelligence, bakal memberi perubahan yang amat besar dalam kehidupan masyarakat kita.

Jika ketidakseimbangan ini tidak diatasi, maka rakyat yang berada di kelompok B40 terutamanya akan terus ketinggalan dan tidak dapat memenuhi potensi kehidupan mereka dengan sewajarnya.

Sesetengah wilayah juga me­ngalami pembangunan ekonomi pada kadar yang berlainan berbanding wilayah-wilayah lain. Jurang ini harus dirapatkan supaya setiap wilayah dapat mencapai potensi masing-masing dan memanfaatkan setiap lapisan rakyat.

Setiap negeri di Wilayah Utara ini juga mempunyai kekuatan dan keunikannya yang tersendiri. Jika digabung, ini akan membawa kemajuan yang lebih pesat dan lebih teratur kepada semua warga NCER. Inilah konsep yang menjadi falsafah di sebalik penubuhan NCER. Inilah konsep di sebalik falsafah penubuhan NCER.

Rangka Tindakan Sosioekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Uta­ra telah dilancarkan pada tahun 2007 yang melibatkan anggaran pelaburan kira-kira RM177 bilion sehingga tahun 2025. Ia meliputi rancangan pembangunan komprehensif untuk mencapai tahap kesejahteraan yang lebih tinggi bagi lebih empat juta penduduk di negeri Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang.

Penubuhan NCER merupakan sebuah inisiatif di bawah Ranca­ngan Malaysia Kesembilan. Hasil kesinambungannya dapat dilihat menerusi RMK-10 dan kemudian melalui RMK-11 yang merupakan fasa terakhir rancangan pemba­ngunan lima tahun negara ke arah mencapai status negara maju.

Rangka Tindakan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara 2016-2025 atau Blueprint 2.0 adalah sambungan kepada rangka tindakan terdahulu yang dilancarkan 10 tahun yang lalu.

Mengangkat tema Pertumbuhan Berteraskan Kesaksamaan Sosial atau Growth With Social Equity, Blueprint 2.0 ini me­ngandungi inisiatif berterusan untuk merangsang pembangunan sosioekonomi di empat nege­ri terlibat.

Dalam rangka tindakan ini, usa­ha akan dipertingkatkan me­lalui penyampaian strategi-strategi yang lebih tertumpu termasuk melaksanakan inisiatif serta usahasama ke tahap seterusnya.

Sebagai contoh, usaha-usaha setempat bagi menutup jurang pembangunan dan pendapatan di kawasan bandar dan luar bandar semakin diperkuat dengan perancangan membangunkan tujuh projek bersifat catalytic dan berimpak tinggi atau growth nodes di sekitar wilayah ini.

Projek-projek ini yang melibatkan pembinaan pusat penyelidikan, perkembangan teknologi, institusi-institusi pendidikan, ka­wasan perindustrian bernilai tinggi dengan potensi limpahan ekonomi, bakal menguntungkan rakyat setempat dengan menambah peluang pekerjaan dan perniagaan kepada mereka.

Tujuh growth nodes ini adalah:

Kedah Science And Techno­logy Park dan Kedah Rubber City di Kedah;

Manjung-Aman Jaya Maritime City dan Greater Kamunting Conurbation di Perak;

Chuping Valley Industrial Area dan Perlis Inland Port di Perlis; dan

Batu Kawan Development di Pulau Pinang.

Menerusi Blueprint 2.0 ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) NCER dijangka mencecah RM300 bilion menjelang tahun 2025 dengan purata pendapatan isi rumah meningkat kepada RM12,964. Manakala purata pendapatan isi rumah golongan B40 pula akan dilonjakkan sehingga mencapai RM6,043.

Kajian terbaharu Jabatan Sta­tistik Negara turut menunjukkan pertumbuhan KDNK memberangsangkan di Koridor Utara yang meningkat pada kadar 5.4 peratus setiap tahun dari tahun 2010 hingga 2014, iaitu 0.8 peratus lebih tinggi dari kadar pertumbuhan KDNK negara.

Blueprint 2.0 ini diasaskan kepada pembangunan modal insan dan kesaksamaan sosial. Suka­cita saya kongsikan bahawa dasar dan projek yang bakal dilaksanakan menerusi rangka tindakan ini akan mencipta lebih 161,197 peluang pekerjaan menjelang tahun 2025 dalam pelbagai bidang utama seperti perindustrian, pertanian, pelancongan, perkhidmatan, pembuatan dan sebagainya.

Setakat akhir tahun 2015 yakni pada akhir Rangka Tindakan atau Blueprint yang pertama, NCER telah mencatat jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM71.6 bilion. Insya-Allah, pada tahun 2025 pula nanti, NCER bakal merealisasikan jumlah pelaburan terkumpul sehingga mencecah RM146.5 bilion.

Bertindak sebagai pemudah cara dalam membawa pembangunan dan pembaharuan berimpak tinggi di setiap empat negeri di wilayah ini, kerajaan telah bertindak meluluskan insentif cukai istimewa buat syarikat-syarikat yang layak yang ingin merebut peluang dan mengambil bahagian dalam usaha kerajaan untuk mencungkil potensi wilayah ekonomi ini. Syarikat-syarikat yang melibatkan diri dalam bidang-bidang utama wilayah utara seperti, pembuatan, pertanian, industri-bio dan perkhidmatan akan menerima kelebihan utama berbanding yang lain.

Dengan dedikasi yang telah diberikan oleh NCIA dan kerjasama erat agensi-agensi peringkat persekutuan, negeri dan juga pihak swasta, saya yakin bahawa visi untuk menjadikan NCER sebagai destinasi bertaraf dunia akan menjadi kenyataan seperti yang terkandung di dalam Blueprint 2.0 ini.

Ingin saya ingatkan tuan-tuan dan puan-puan sekalian bahawa sesebuah idea yang bernas ha­nyalah sebaik pelaksanaannya. Jika pelaksanaannya pincang, ma­ka rosaklah segala harapan dan cita-cita. Adalah harapan saya untuk melihat rakyat di empat negeri ini memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan pelaksanaan rangka tindakan ini.

Kepada pihak NCIA, adalah harapan saya untuk meneruskan legasi dan merealisasikan impian kerajaan untuk menyelesaikan isu seperti jurang pendapatan dan ketidaksamaan sosial dan memastikan masyarakat Malaysia maju dari segi ekonomi dan sosial.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak terutamanya pihak NCIA dan kerajaan-kerajaan ne­geri dalam usaha mentransformasikan Wilayah Utara ke satu tahap yang lebih tinggi supaya rakyat di sini dapat menikmati kekayaan negara secara saksama.

Insya-Allah, dengan berkat ker­jasama padu antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensi-agensi berkaitan, saya yakin projek-projek di bawah NCIA akan berjaya memberi manfaat dan merubah lanskap ekonomi dan kesejahteraan warga Wilayah Utara dan sekali gus untuk rakyat Malaysia secara amnya.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya menyempurnakan Majlis Pelancaran Rangka Tindakan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara 2016-2025 atau Blueprint 2.0

Sekian, terima kasih.