Pantang ada saja produk baharu yang diiklankan, dia akan mencubanya. Konon untuk memutihkan muka, menguruskan badan dan merawat macam-macam jenis penyakit. Tetapi setelah beberapa lama menggunakannya, kulit muka­nya begitu juga, tidak cerah mana pun, badan tetap berisi macam biasa dan penyakit tidak sembuh juga.

Harga-harganya? Bukan murah. Satu produk men­cecah ratusan ringgit. Tetapi macam biasa penjual dalam pengenalan atau promo produk berkenaan akan ­menggunakan macam-macam ayat untuk menarik perhatian. Guna produk yang dijualnya kulit boleh jadi cantik dalam tempoh yang singkat, boleh kurus, konon ubat berkenaan boleh menyembuhkan segala jenis penyakit dan pada masa yang sama penjual turut menekankan bahawa dia sangat simpati dan ingin menolong pesakit yang mempunyai penyakit-penyakit kronik yang sukar sembuh walaupun telah berulang-ulang kali ke hospital.

Tetapi kalau betul-betul mahu tolong dan kasihan kenapa jual dengan harga yang mahal pula? Pembeli juga dinasihatkan penjual supaya membeli dengan kuantiti yang banyak atau mengulang beli beberapa kali untuk men­dapatkan hasil yang lebih berkesan. Itu yang peliknya.

Kali terakhir rakan saya itu membeli secara online adalah ubat untuk menyembuhkan sakit lutut ibunya. Dalam iklan yang dipenuhi testimoni yang mengujakan itu, dikatakan dalam masa seminggu sahaja menggunakan ubat itu, yang solat di atas kerusi boleh solat ber­diri macam biasa dan yang bertongkat dah boleh berlari! Tetapi hakikatnya, setelah berbulan-bulan menggunakan ubat itu, sehingga terpaksa membeli berbotol-botol lagi, masih tiada perubahan apa-apa.

Akhirnya, rakan saya itu pun berhenti membeli dan tidak mahu lagi menjadikan muka dan tubuh badannya bahan eksperimen produk palsu dan tidak mahu juga memberi harapan palsu kepada ibunya.

Tetapi itulah bila kita sentuh hal-hal sebegini, pasti ada yang akan cakap, kita mahu membunuh perniagaan ­seperti ini. Juga akan dikata, tidak boleh tengok orang lain senang dan kaya sikit, mulalah hendak tabur pasir dalam periuk nasi orang dan kalau tidak mahu tolong duduk diam-diam sajalah.

Yang ingin ditekankan di sini adalah elemen-elemen penipuan dan keselamatan pengguna. Kita bukan hendak halang sesiapa pun untuk menjadi peniaga atau usahawan. Itu kerja yang baik. Tetapi janganlah menipu orang ramai.

Pernahkah peniaga seperti ini terfikir, dia sudah memberi harapan yang tinggi menggunung kepada pesakit-pesakit kronik seperti pesakit kanser, diabetes, darah tinggi atau seorang tua yang sukar berjalan untuk sembuh dan menjadi kuat semula. Dan ada dalam kalangan mereka ini bukan berduit sangat, tetapi tiada pilihan terpaksa juga membelinya kerana mengharapkan pulih seperti sedia kala. Jangan mainkan perasaan orang yang sedang sakit.

Pesakit-pesakit kronik ini tentu saja akan mencari ubat alternatif untuk sembuh selain mendapatkan rawatan di hospital. Maka, apabila membaca iklan-iklan dalam laman sosial yang seolah-olah memberi jaminan mereka akan sembuh dalam tempoh yang sekejap, tentu ini menggerakkan hati untuk mencuba dan mereka menghabiskan wang yang banyak untuk itu.

Memanglah bukan semua pengusaha produk-produk ini menipu. Ada yang produknya benar-benar berkesan dan memberi manfaat kepada pengguna. Ini pun kita tidak menafikannya. Tetapi dalam memilih antara yang berkesan dan yang palsu itu, penggunalah yang menjadi mangsa.

Justeru diharapkan pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan memantau setiap produk kecantikan, kesihatan dan ubat-ubatan alternatif yang diiklankan di laman-laman sosial. Dedahkan kepada umum dengan segera nama-mana produk yang mengandungi bahan yang membahayakan nyawa dan kesihatan pengguna.

Hendak meniaga, meniagalah betul-betul. Jangan menipu. Tak baik.