Itu situasi yang perlu dilalui jemaah muassasah apabila nama dipilih untuk mengerjakan haji. Dengan kuota bagi jemaah haji Malaysia berjumlah 30,200 orang, sudah tentu aspek menguruskan kemudahan untuk mereka menjadi cabaran besar bagi Tabung Haji.

Di Madinah dan Mekah, jemaah perlu berkongsi bilik dengan kapasiti tiga hingga tujuh orang. Berhadapan dengan kerenah rakan sebilik dan dalam masa sama berjauhan dengan keluarga bagi tempoh agak lama sedikit sebanyak memberi tekanan kepada mereka. Menggunakan bilik air terlalu lama, lambat bersiap untuk ke masjid, kurang menjaga kebersihan dan mementingkan diri antara asam garam yang dilalui sesama jemaah.

Walaupun ada yang menganggap itu perkara kecil, namun jika dibiarkan berlarutan akan menimbulkan perasaan tidak senang sekali gus memberi kesan kepada ibadah masing-masing.

Itu belum dikira hubungan tegang antara suami isteri yang perlu diselesaikan dengan cepat supaya tidak berlarutan apabila pulang ke tanah air nanti atau dalam kes paling teruk membawa kepada perceraian. Ada juga jemaah yang menerima berita sedih kematian sanak saudara di tanah air di samping terpaksa meninggalkan anak atau ayah ibu yang sakit untuk dijaga oleh orang lain.

Perkara tersebut diakui oleh Pengurus Unit Perkhidmatan Ka­unseling di Abraj Al Janadriyah, Mekah, Rashidah Ahmad apabila memberitahu tekanan emosi adalah kes yang paling banyak dikendalikan oleh unit berkenaan setiap tahun sepanjang musim haji.

Sebab itu katanya, setiap jemaah perlu membuat persediaan terutama kaedah menguruskan diri sendiri untuk berhadapan dengan kerenah rakan sebilik yang pelbagai.

Ini kerana, jika pe­rasaan marah dan ben­ci bersarang dalam dada, bagaimana untuk beribadat dengan khusyuk dan tenang sedangkan matlamat akhir apabila ke tanah suci adalah untuk mendapatkan haji mabrur.

Sebab itu, antara tugas pertama unit ber­kenaan apabila jemaah sudah memasuki Madinah dan Mekah adalah membuat ziarah silaturahim ke bilik-bilik bagi memastikan proses penyesuaian antara mereka berjalan lancar.

Program ziarah sila­turahim turut memberi penekanan kepada jemaah sakit dan uzur kerana mereka mungkin berasa tertekan apabila tidak dapat keluar bilik untuk ke Masjid Nabawi dan Masjidilharam seperti jemaah-jemaah lain.

Di setiap maktab, borang juga disediakan kepada jemaah untuk membuat aduan dan sesi kaunseling akan diatur mengikut ke­sesuaian.

Berikutan pentingnya proses penyesuaian antara jemaah dan aspek pengurusan tekanan emosi yang dihadapi mereka, seramai tujuh orang kaunselor disediakan oleh Tabung Haji berpusat di Abraj Al Janadriyah.

Bagi Muhammad Izuddin Gha­zali yang berpengalaman selama 12 tahun sebagai kaunselor, masalah tekanan emosi berlaku kerana jemaah tidak memberi peluang dan ruang kepada perkara baru berlaku dalam hidup mereka.

Walaupun sudah diterangkan berkali-kali tentang situasi yang mereka akan hadapi di tanah suci semasa kursus haji, namun bila sudah sampai lain pula jadinya.

Dalam hal ini, katanya, kaunseling tidak membantu menyelesaikan masalah, sebaliknya jemaah diajar cara untuk berkawan.

“Kadang-kadang perkara pelik kita kena ajar jemaah cara untuk berkawan. Contohnya rakan sebilik kita suruh mereka pegang tangan masing-masing supaya kurang rasa janggal sesama mereka,” katanya.

Konsep yang ditekankan terhadap jemaah adalah menerima orang lain seadanya kerana dalam ramai-ramai rakan sebilik ada yang kurang bercakap atau ada jenis yang bercakap tidak henti-henti.

Beliau mengakui proses ber­kawan dalam kalangan jemaah memakan masa, justeru kaunselor sentiasa membuat lawatan susulan bagi kes-kes terlibat.

Beliau memberi contoh kes terbaharu di Madinah pada musim haji ini apabila seorang jemaah dari Selangor meminta ditukarkan bilik kerana mendapat empat rakan sebilik dari Kelantan.

“Jemaah berkenaan hendak berkawan tapi tidak faham dialek pekat Kelantan. Jadi kita ingatkan dia semula bahawa datang ke Mekah bukan nak belajar dialek Kelantan tetapi nak beribadah.

“Kita rasionalkan semula pemikirannya dan selepas tiga hari kita buat susulan, jemaah tersebut sudah dapat menerima ke­adaan tersebut,” katanya.

Menurutnya, 90 peratus kes yang dikendalikan berjaya diatasi, namun perlukan susulan selalu kerana tabiat manusia tidak boleh diubah dalam masa sehari.

Katanya lagi, masalah tekanan emosi turut berlaku dalam kalangan jemaah haji negara lain, namun cara mereka menghadapinya adalah berbeza mengikut ketahanan diri masing-masing.

Bagi jemaah Malaysia, kes yang berlaku lebih banyak di Mekah berbanding di Madinah yang keadaannya lebih selesa.

Dalam hal ini, jemaah sentiasa dinasihatkan supaya menghabiskan ibadah haji dengan sempurna, masalah lain tolak tepi kerana itu semua mungkin dugaan yang Allah beri dalam mendapatkan haji mabrur.