Kemenangan ini disambut gembira oleh rakyat yang telah menolak BN secara besar-besaran. Rakyat gembira bukan sahaja kerana Pakatan Harapan berjaya membentuk Kerajaan Pusat malah menyambut baik pengumuman-pengumuman beberapa dasar susulan selepas menguasai Putrajaya yang dikatakan sebagai menepati manifesto parti itu dalam PRU-14.

Antara pengumuman yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan adalah menyusun semula agensi-agensi kerajaan yang didapati menjalankan peranan, fungsi dan tugas yang bertindih sekali gus mengurangkan jumlah penjawat awam yang dikatakan untuk menjimatkan kos pengurusan negara. Pakatan Harapan turut mengumumkan akan membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Laluan 3 MRT (MRT3), malah cukai perkhidmatan dan barangan (GST) yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini turut dimansuhkan.

Dalam hal ini, Pakatan Harapan yang dilihat sedang ghairah menepati janji-janji manifestonya, haruslah memastikan bahawa tindakan yang diambil itu tidak sama sekali menimbulkan ‘persepsi negatif’ dalam kalangan rakyat serta pelabur asing.

Misalnya, pendedahan kononnya hutang negara mencecah RM1 trilion (AS$251 bilion) oleh Menteri Kewa­ngan baharu kerajaan Pakatan Harapan baru-baru ini, Lim Guan Eng dilaporkan telah menimbulkan pelbagai respon daripada rakyat dan pelabur asing malah menimbulkan keresahan da­­lam kalangan pelabur asing yang menyebabkan mereka bertindak mengeluarkan stok mereka ber­nilai RM3 bilion dari Malaysia serta bond bernilai AS$800 juta daripada pasaran bond.

Pelabur asing dilapor­kan hilang keyakinan ter­hadap daya tahanan eko­nomi Malaysia kerana cu­­kai barang dan perkhid­matan (GST) dilaporkan men­datangkan hasil negara sejumlah RM 43.76 bilion atau 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Justeru kita mengharapkan kerajaan sekarang ­me­nerapkan kebijaksanaan pemikiran Dr. Mahathir dalam me­ngurus negara. Beliau yang sebelum ini mengambil alih kepemimpinan pentadbiran negara pada 1981 berjaya dalam melaksanakan pelbagai dasar dan program pembangunan dalam mengubah landskap negara daripada negara pertanian kepada negara industri.

Meskipun setengah pihak mendakwa kononnya sebahagian langkah dan tindakan beliau termasuk pelaksa­naan pelbagai projek mega di bawah pentadbirannya selama hampir 22 tahun kurang mendatangkan hasil, malah merugikan negara, sebaliknya kedudukan ekonomi negara pada zaman beliau dilihat lebih memberangsangkan, kukuh dan stabil.

Dalam pada itu, negara turut dihormati seluruh dunia. Malah, dunia menyanjung tinggi serta kagum dengan kebijaksanaan beliau dalam menangani krisis ekonomi dan kemerosotan nilai ringgit yang melanda Malaysia pada lewat 1990-an.

Menurut bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, sebahagian besar rakyat menolak kerajaan BN kerana mereka beranggapan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin UMNO terlibat dalam penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa. Maka menjatuhkan pentadbiran Najib telah menjadi ‘keseronokan’ bagi sebahagian besar pengundi muda, terutamanya pengundi Cina dan India.

Justeru, kerajaan Pakatan Harapan yang menang PRU-14, hendaklah memastikan segala langkah dan tindakan mereka sejajar dengan janji-janji serta bersandarkan kepada undang-undang sedia ada, terutamanya Perlembagaan Persekutuan, supaya rakyat tidak mentafsir tindakan mereka sebagai hanya untuk meraih ‘faedah politik’ semata-mata dan pada masa sama merugikan negara.

Sebaliknya, rakyat mengharapkan atau menaruh harapan tinggi kerajaan sedia ada sekarang lebih telus, berhemah dan prihatin dalam membela kepentingan semua kaum, terutamanya golongan pendapatan rendah.

Dalam usaha terus mengekalkan malah melestarikan sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan serta menjayakan visi dan misi kerajaan, disarankan kerajaan Pakatan Harapan mendapatkan nasihat mengenai pengurusan persepsi rakyat (pendapat awam), daripada bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang mempunyai pengalaman luas dan mahir dalam selok belok komunikasi dan kebudayaan serta undang-undang.

Pengurusan persepsi rakyat terhadap kerajaan perlu ditangani secara berkesan, sama ada melalui media cetak atau media sosial. Ini kerana pengurusan persepsi yang bijak dijangka dapat melanjutkan hayat dan menghebatkan pentadbiran setiap kerajaan di seluruh dunia.

DATUK M. PERIASAMY ialah penganalisis politik dan pensyarah komunikasi strategik.