Dalam konteks Malaysia, ­ke­­­­­­dua-dua definisi ini terpakai, na­­mun definisi al-Qaradawi lebih de­­­kat dan tepat dalam menggambarkan sikap kita terhadap demokrasi. Ini kerana konsep kepentingan umum bukan semata-mata meraikan pandangan majoriti dan menafikan secara mutlak pandangan minoriti.

Sebaliknya, keputusan yang dibuat dalam rangka kebebasan bersuara adalah keputusan yang memberikan manfaat yang bersifat mapan dan berpanjangan. Inilah semangat yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan yang dizahirkan dalam peruntukan-peruntukan berkaitan kebebasan asasi, pembangunan dan pengurusan negara.

Oleh itu, perkara yang mesti diberikan perhatian oleh rakyat Malaysia demi menunjukkan ra­sa penghargaan dan hormat kepada demokrasi yang telah kita bina bersama seawal pilihan raya umum pertama Persekutuan pada 1955 ialah kesedaran bahawa rakyatlah, yakni kitalah yang mengisi serta menjayakan demokrasi ini.

Tanpa suara rakyat, maka Mala­yan Union mungkin akan dilaksanakan. Tanpa suara rakyat mungkin kita tidak dapat merdeka. Terkini, gagasan Transformasi Nasional 2050 mungkin tidak berjaya tanpa suara dan aspirasi rakyat Malaysia.

Signifikan penyertaan rakyat se­cara menyeluruh dalam proses pilihan raya dibuktikan melalui pe­ristiwa-peristiwa sejarah yang cu­kup memberikan kesedaran kepada kita. Kesedaran bahawa penyertaan rakyat dalam pilihan raya menentukan jatuh bangun peme­rintahan adil atau zalim; efisien atau lemah; rasuah atau bertanggungjawab dan elitis atau benar-benar memahami denyut nadi rakyat.

Pada 5 Mac 1933, Pilihan Raya Persekutuan Jerman diadakan. Ini adalah pilihan raya terakhir sebelum tercetusnya Perang Dunia Pertama. Hitler yang menjadi pengatur utama pilihan raya ketika itu menjangkakan partinya akan menang dengan majoriti besar.

Keyakinan disandarkan kepada segala agenda menuai budaya takut dalam kalangan rakyat - pe­ng­haraman, pemenjaraan dan tin­­dakan ganas. Namun, rakyat mem­buktikan satu undi mampu membawa perubahan yang besar. Hitler hanya mampu mendapat 43.91 peratus undi, tidak cukup bagi membentuk majoriti.

Walaupun akhirnya Hitler te­tap mampu memutar kekalahan itu dengan bersusah-payah menjadi kelebihan kepada partinya, fakta tetap membuktikan bahawa undi rakyat mampu memberikan mesej yang jelas mengenai aspirasi rakyat jelata.

Pada 3 Mei 1979, pilihan raya umum United Kingdom menyaksikan pertukaran pemerintahan daripada Parti Buruh kepada Parti Konservatif. Konservatif memenangi pilihan raya tersebut dengan pe­ningkatan kerusi yang dimena­ngi sebanyak 62 kepada 339 daripada 365 kerusi yang dipertandingkan (dengan kelebihan 21 kerusi untuk membentuk kerajaan majoriti).

Sebab rakyat memberikan 43.9 peratus undi popular kepada Margaret Thatcher, yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri wa­nita pertama Britain adalah kerana kelemahan dan ketidakupayaan kerajaan Parti Buruh da­lam menjamin pembangunan negara yang sejahtera untuk rakyat keseluruhan selain kemunduran ekonomi, polisi yang tidak efisien dan ketidakadilan sosial yang melarat.

Mungkin kita tidak bersetuju sepenuhnya dengan dasar Konservatif namun pokok pengajarannya ialah undi rakyat menentukan masa depan negara - sama ada ke­kal dengan nasib yang tiada manfaat atau memilih parti peme­rintah yang mampu memberikan jaminan kesejahteraan untuk rakyat.

Sebagaimana Thatcher yang menjadi Perdana Menteri Bri­tain wanita yang pertama kerana keupayaannya memberikan harapan kepada rakyat. Begitulah juga dengan Barack Obama yang memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada 2008. Rakyat menyokong dan mengangkat pemimpin yang memahami keperluan rakyat, antara lain adalah inisiatif Obama Care yang mendapat perhatian rakyat.

Obama menjadi pilihan 52.9 peratus rakyat Amerika pada 2008 dan 51.1 peratus undi popular pada 2012. Nilai kepimpinan dan manifesto yang meyakinkan menjadi sebab rakyat Amerika berjaya melawan stereotaip dan status quo pemilihan presiden dalam kalangan orang berkulit putih. Pi­lihan ini dibuat oleh rakyat Amerika sendiri dan dimanifestasikan melalui undi dalam pilihan raya. Kerana undi dalam pilihan raya jugalah Presiden Donald Trump mendapat mandat bagi me­mim­pin Amerika pada 2016.

Kesimpulannya, menjelang Pi­lihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia, tua dan muda, bandar dan luar bandar, pro dan kontra parti politik untuk turun mengundi. Ini kerana me­ngundi bukan semata-mata me­ngundi parti politik tetapi lebih dari itu mengundi manifesto terbaik untuk masa depan negara.

Maka, jika tidak turun me­ngundi, kita akan hilang kelayakan untuk merungut terhadap polisi dan dasar kerajaan yang dipilih. Turun mengundi demi hak anda.

IRFAN FARUQI MOHAMAD FAIRUS ialah Exco Penerangan dan Penyelidikan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Sesi 2017/2018.