Secara umumnya sejak dahulu lagi, masyarakat dengan mudah memahami wujudnya dua cabang ilmu yang dilihat secara terpisah, iaitu sains dengan sastera. Pe­ngajian sains meliputi apa sahaja subjek berkaitan dengannya ter­masuk matematik, fizik, kimia, sains kajihayat atau biologi dan sains kimia. Yang lain-lainnya dianggap sebagai sastera yang termasuk di dalamnya pengajian seni dan juga pengajian pengurusan.

Kerana itulah juga, satu ketika dahulu, Universiti Sains Malaysia (USM) dilabelkan sebagai universiti yang menawarkan hanya program pengajian dalam bidang sains dan teknologi walaupun sejak penubuhannya telah ditekankan terhadap penawaran pengajian ilmu kemanusiaan yang di dalamnya terdapat juga pengajian komunikasi, seni dan juga pengajian sains kemasyarakatan.

Akibatnya, USM terpaksa membuat kempen besar-besaran untuk menarik pelajar aliran sastera mengikuti pengajian di sini manakala kenyataan seorang Timbalan Naib Canselor dalam syarahannya di Batu Gajah, Perak bahawa jika pelajar sains tidak berminat mengikuti pengajian dalam bidang-bidang berkaitan akan menyebabkan USM mungkin ditutup membawa perdebatan panjang dalam kalangan masyarakat ketika itu, sekitar akhir 1980-an apabila dilaporkan oleh sebuah akhbar arus perdana pada muka hadapannya.

Hakikatnya kedua-duanya saling berganding bahu, malah sejak awal penubuhannya pada 1969, para perancang pendidikan tinggi ketika itu telah me­netapkan bahawa USM akan menawarkan program yang bercorak multidisiplin sebagai satu keunikannya yang membolehkan pelajar-pelajar sains sama ada sains tulen mahu pun sains gunaan serta pengajian teknologi boleh juga mengikuti pengajian minor dalam bidang bukan sains.

Penegasan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dalam Upacara Konvokesyen USM ke-54 baru-baru ini tentang perkara tersebut bahawa di dalam sains ada sastera dan di dalam sastera ada sains serta perlunya untuk melihat bukan sahaja kepada sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) tetapi juga STEAM dengan A mewakili sastera menunjukkan pentingnya kedua-duanya disepadukan dan bergerak secara bersama.

Hal ini boleh dilakukan dalam seluruh proses pendidikan sama ada formal mahu pun tidak formal serta perlu digabungkan secara bersama agar dapat mewujudkan jiwa yang seimbang. Penyertaan pelajar pelbagai disiplin ilmu dalam persembahan teater, seni persembahan, muzikal malah karya sastera misalnya yang digembleng bersama memberikan dimensi yang menarik dalam proses pendidikan sedia ada. Seni persembahan yang menggabungkan pelbagai teknologi, kepelbagaian media malah mengaplikasikan konsep sains yang mampu meningkatkan kualiti dan tarikan kepada persembahan yang dibuat.

Kita juga sedar betapa banyak hal-hal berkaitan dunia STEM yang boleh diperjelaskan melalui karya dan seni persembahan yang ada dengan menggabung jalin semua elemen yang dapat meningkatkan minat dan kefahaman terhadap sesuatu subjek.

Kombinasi pelbagai bidang ilmu juga akan berupaya mewujudkan ketenangan dan pilihan untuk anak-anak menyuburkan jiwa seninya, menikmati ilmu secara lebih santai dan menjadikannya sebagai satu tarikan dan cara hidup yang dapat dimanfaatkan sepanjang kehidupannya.

Sekali gus membuka ruang kreativiti dan inovasi kepada pelajar dan pendidik untuk menerokai dunia ilmu yang luas terbentang. Apatah lagi kita tahu dan sedar bagaimana ilmuwan zaman tamadun Andalusia adalah mereka yang mahir dalam pelbagai disiplin ilmu tanpa pemisah yang kemudiannya membuka kepada penerokaan ilmu secara lebih luas dalam zaman pembaharuan berikutnya.

Ini juga dapat memberi nilai tambah kepada mereka terutamanya bagi yang berada di universiti. Jika pun secara formal, penguasaan bidang ilmu merentas bidang ini tidak membenarkan dilakukan, mereka mungkin boleh berbuat demikian dengan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum atau di luar kuliah dan makmal bagi menguasai sesuatu ilmu baharu yang dapat membantu mereka dalam kehidupan sebenar.

Menguasai berbagai-bagai di­siplin ilmu juga akan membolehkan anak-anak kita lebih menghargai kepelbagaian yang ada dan melihatnya sebagai sesuatu yang dapat membantu meningkatkan keyakinan diri dan menyesuaikan dalam persekitaran sebenar yang ada.

Lihat sahaja bagaimana seorang yang melakukan sesuatu inovasi dalam sains dan teknologi perlu juga memahami sedikit sebanyak prinsip perniagaan dan budaya persekitaran untuk memberikan nilai tambah kepada rekaciptanya untuk memasuki pasaran dan diterima dalam ruang budaya yang ada.

Saintis terkemuka Profesor Dr. Jackie Y. Ying dari Institute of Bioengineering and Nanotechnology (IBN), Singapura yang mengunjungi USM baru-baru ini, misalnya menasihatkan ahli-ahli sains, pelajar dan penyelidik yang ingin berjaya agar melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu ­pengetahuan seperti ilmu perniagaan dengan jaringan kukuh dengan dunia korporat.

Hal ini perlu dididik seawal mungkin, difahami dan dihayati agar ilmu pengetahuan tidak sekadar satu idealisme tetapi bersikap realistik dan dapat digunakan dengan sewajarnya apabila tamat pengajian sebagai aset untuk kejayaan masa hadapan.

MOHAMAD ABDULLAH ialah Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam Universiti Sains Malaysia.