Pengulangan tema yang pernah digunakan pada 2009, 2010 dan 2016 itu menyerlahkan betapa pentingnya guru menyempurnakan amanah dan mengurus tanggungjawab untuk membina negara bangsa. Dalam konteks ini, guru saban tahun telah melafazkan komitmen mereka menerusi lagu, Kami Guru Malaysia dan Ikrar Guru Malaysia.

Lirik puitis dalam lagu guru Malaysia, sentiasa menjadi amal­an dalam kalangan guru di Malaysia. Mereka mendidik pelajar masing-masing sama ada dalam kurikulum, kokurikulum mahupun pembangunan sahsiah.

Kami guru Malaysia,

Berikrar dan berjanji,

Mendidik dan memimpin,

Putera puteri negara kita.

Kesungguhan mereka dapat dilihat menerusi kelas-kelas tambahan yang diadakan sama ada pada hujung minggu, malam mahupun cuti persekolahan. Hasilnya saban tahun peratus pelajar cemerlang dan lulus dalam peperiksaan lebih ramai daripada yang gagal.

Selain kurikulum, guru Malaysia juga mengotakan janji memimpin pelajar menerusi penglibatan mereka dalam kegiatan kokurikulum. Umumnya setiap guru di sekolah dipertanggungjawabkan memimpin pembangunan psikomotor, kognitif, emosi, rohani dan sosial pelajar menerusi aktiviti sukan dan permainan, persatuan dan kelab serta unit beruniform.

Tanpa berbelah-bahagi semua guru sentiasa memastikan bahawa negara kekal aman, damai dan sejahtera sebagai lambang ke­setiaan mereka. Kestabilan dan kemakmuran negara dicapai apabila guru menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar semasa proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPC) berlangsung.

Antara nilai yang diterapkan ialah patriotisme, perpaduan, in­tegrasi dan semangat berma­syarakat. Ini semua sangat ber­kait rapat dengan peranan guru dalam membina negara ba­ngsa. Di samping itu, lirik lagu guru Malaysia, “Rukun negara kita, Panduan hidup kami semua”, selari dengan Ikrar Guru Ma­laysia, “Kami mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara pada setiap masa”, berkait rapat dengan membina negara bangsa.

Dalam konteks ini, guru perlu percaya bahawa pelajar adalah pe­langgan yang diamanahkan oleh Allah untuk dididik dan dipimpin. Oleh itu walaupun pelajar mengalami kelainan kecerdasan dan fizikal, guru bertanggungjawab untuk me­ngembangkan potensi mereka.

Prinsip, ‘Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang’ memerlukan guru mengotakannya dalam bentuk mengajar tanpa diskriminasi dan syarat. Ini kerana setiap pelajar mempunyai hak yang sama untuk mendapat peluang belajar secara adil dan saksama tanpa mengira warna kulit, bangsa, agama, tahap sosioekonomi dan sempadan geografi.

‘Kesopanan dan Kesusilaan’ yang merupakan prinsip kelima Rukun Negara secara tidak langsung juga terkandung dalam lirik dan ikrar guru Malaysia. Justeru, warga pendidik menterjemahkannya dengan cara melayan pelajar dengan penuh berhemah. Walaupun wujud kes guru hilang sabar dalam menghukum pelajar yang melanggar peraturan disiplin namun lebih ramai guru yang mendenda pelajar dalam bentuk dendaan positif dan profesional.

Rangkap ketiga lagu Kami Guru Malaysia, ‘Di bidang pembangunan, Kami tetap bersama, Membantu Membina, Negara yang tercinta,’ Secara lahiriahnya dalam pembangunan fizikal, lirik disempurnakan apabila ramai guru terlibat dengan kerja pembinaan dan pemulihan fizikal sekolah seper­ti membaik pulih kerusi meja, mengecat bilik darjah dan membuat garisan di padang.

Secara tersuratnya, sebagai­mana bait sajak Sasterawan Negara, Usman Awang;

Jika hari ini seorang 
Perdana Menteri berkuasa,

jika hari ini seorang raja 
menaiki takhta,

jika hari ini seorang 
presiden sebuah negara,

jika hari ini seorang 
ulama yang mulia,

jika hari ini seorang 
peguam menang bicara,

jika hari ini seorang 
pendidik terkemuka,

sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,

dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.

Guru Malaysia membantu membina negara tercinta seperti dituntut dalam lirik lagu Kami Guru Malaysia. Guru berperanan melahirkan warga Malaysia yang patriotik, patuh kepada budaya, nilai, adap dan norma di Malaysia serta mempunyai jati diri beridentiti Malaysia. Di samping melahirkan masyarakat yang bersatu padu, saling menyayangi, saling menghormati, saling bekerjasama dan mengamalkan amalan demokratik dan liberal berasaskan perlembagaan dan Rukun Negara.

Guru juga adalah agen pengekalan tradisi. Sehubungan itu dalam Ikrar Guru Malaysia, terkandung janji, ‘Kami akan berbakti, kepada masyarakat dan negara kami.’ Janji yang dilafazkan perlu dikotakan. Sebagai agen pengekalan tradisi menjadi amanah guru untuk memastikan bahasa Melayu terus menjadi bahasa ilmu dan perpa­duan. Kesegaran alam sekitar yang dinikmati perlu dipelihara untuk diwarisi generasi masa hadapan. Di samping mengekalkan adat resam dan warisan peninggalan nenek moyang untuk rujukan cicit dan piut warga Malaysia mendatang.

Walaupun sebahagian besar lirik dan ikrar guru Malaysia telah dikotakan namun guru perlu sentiasa istiqamah untuk mendepani pelbagai cabaran. Antaranya, kewujudan kongsi gelap di sekolah, kegagalan penguasaan bahasa Melayu dan Sejarah dalam kalangan pelajar, kewujudan media sosial yang menjadi alat fitnah dan adu domba, penyalahgunaan dadah, dan tingkah laku devian pelajar. Namun begitu, sebagai ahli masyarakat dan warga Malaysia marilah kita menaruh keyakinan kepada guru Malaysia untuk menyempurnakan tugas mereka dalam membina negara bangsa. Selamat Hari Guru, Cikgu!

Prof. Dr. Ahmad Esa ialah Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.