Kejayaan sesuatu sukan itu selalunya dikaitkan dengan ­kepimpinan yang menerajui sukan itu sendiri. Jika sukan tersebut berjaya ia memberi mesej bahawa persatuan sukan berkenaan mempunyai pucuk pimpinan yang berkaliber, mantap, berdaya saing dan maju. Jika dibuat kajian ilmiah sudah tentu korelasi antara kejayaan berkait rapat dengan kepimpinan yang menerajuinya di samping faktor-faktor lain yang turut menyumbang kepada kejayaan yang dicapai.

Ramai orang bercakap dan memberi komen itu dan ini ingin melihat kegemilangan bola sepak negara agar dapat di­pulihkan tetapi ia bukan semudah itu. Kita percaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak 30 tahun dahulu telah berusaha banyak tetapi masih gagal menikmati kejayaan yang diinginkan ­seperti layak ke Piala Dunia. Dengan kuota penyertaan pasukan ditambah daripada 36 kepada 48 pasukan di pertandingan Piala Dunia 2020, ia sudah tentu dapat memberi harapan serta peluang yang baik untuk pasukan negara layak ke sana.

Impian sahaja tidak mencukupi, ia memerlukan kerja keras semua pihak bagi memastikan pasukan negara layak ke Piala Dunia kali ini. Sebagai contoh, kehebatan pasukan Iceland, sebuah negara kecil yang telah memberi impak besar dalam dunia bola sepak tidak lama dahulu patut dijadikan contoh terbaik untuk pasukan bola sepak negara ke arah itu.

Isu siapa perlu memimpin FAM adalah penting dalam memastikan kesinambungan kepemimpinan FAM dapat diteruskan dan dalam kerangka memastikan bola sepak negara terus cemerlang di persada dunia. Pemimpin sukan datang dan pergi. Kalau seorang pemimpin sukan itu pergi, sudah pasti perlu dicari penggantinya yang sama hebat atau pun lebih hebat lagi dari sebelumnya.

Kita mengetahui jawatan ­Presiden FAM adalah suatu jawatan yang agak glamor berbanding dengan jawatan Presiden bagi persatuan-persatuan sukan lain dan ramai individu yang berminat dan bercita-cita untuk mendudukinya, tetapi bukan semua orang layak memegang kerusi ‘panas’ ini.

Memang sesuatu yang lebih baik jika ada dalam kalangan rakyat biasa mampu memegang jawatan ini tetapi perlu diingatkan ia bukan calang-calang jawatan. Bak kata pepatah Melayu, ‘ukur baju di badan sendiri’ sebelum menawarkan diri untuk menjadi calon sebagai Presiden FAM.

Sesiapa sahaja yang terpilih mestilah seseorang yang berwibawa, berwawasan, berkemampuan dan ada kapasiti kuasa dan pengaruh pada masa yang sama. Ingatlah kata-kata peribahasa Melayu yang berbunyi, ‘kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.’

Kita melihat sendiri apa yang berlaku kepada Sepp Blatter, supremo FIFA yang akhirnya tersungkur atas beberapa sebab dan kelemahan beliau sendiri.

Maka, sesiapa sahaja yang terpilih sebagai Presiden FAM kali ini, beliau mestilah mempunyai kualiti kebolehan yang sesuai, tersendiri dan dapat memberi impak kepada kelangsungan sukan bola sepak di negara ini bagi jangka panjang.

Sesiapa sahaja boleh bertanding untuk menduduki kerusi ‘panas’ ini kerana perlembagaan FAM sendiri membenarkannya, walhal menteri pun boleh menjawatnya. Syarat utama untuk dicalonkan sebagai Presiden FAM ialah individu itu mestilah seorang warganegara Malaysia dan mendapat pencalonan sebelum mesyuarat pemilihan diadakan.

Sebelum ini ada beberapa menteri Kabinet pernah menjadi Presiden FAM dan ketika ini, Persatuan Bola Sepak Rusia dipimpin oleh Vitaly Mutko yang adalah Timbalan Perdana Menteri Rusia.

Setahu penulis tiada tercatat dalam Akta Pembangunan Sukan 1997, ahli politik atau keluarga diraja tidak dibenarkan ­memegang jawatan Presiden FAM.

Yang penting, jika ditakdirkan orang politik yang memegang jawatan ini, dia perlu tahu untuk tidak mencampur-adukkan hal-hal politik dengan urusan FAM - itu mesti jelas. Individu sedemikian mesti meletakkan dirinya memegang jawatan Presiden FAM semata-mata atas kapasiti individu bukan berpaksikan jawatannya sebagai seorang menteri atau keluarga diraja.

Kita tunggu pada 25 Mac depan yang mana mesyuarat pemilihan akan diadakan. Ahli gabungan dan exco yang layak untuk membuat pemilihan Presiden FAM kali ini perlu memastikan mereka mampu membuat pilihan yang tepat berasaskan kepada kekuatan yang ada pada calon yang ingin diketengahkan sebagai bakal Presiden FAM kelak.

Pemilihan tidak boleh berasaskan kepada emosi atau faktor-faktor yang kurang jelas atau bersifat etnosentrik kerana pilihan yang salah akan mengakibatkan masa depan bola sepak negara terjejas dan memberi kesan negatif kepada sukan bola sepak negara secara amnya.

Ingatlah kata-kata hikmah seorang jeneral tentera Perancis, Napoleon Bonaparte suatu ketika dahulu: “Segerombolan ­kambing biri-biri diketuai oleh seekor singa adalah lebih baik berbanding segerombolan singa yang diketuai seekor kambing biri-biri”.

Kata-kata beliau ini mempunyai maksud yang jelas dan mendalam betapa pentingnya FAM diterajui oleh seorang individu yang mempunyai kekuatan minda, kebolehan mentadbir kelas pertama, mampu melaksanakan strategi berkualiti dan berani membuat perubahan yang diinginkan, menepati KPI FAM sendiri dan juga cita rasa dan hasrat rakyat Malaysia yang mahu melihat pasukan bola sepak negara suatu hari nanti layak ke pertandingan Piala Dunia.

Impian dan hasrat ini harus selari dengan apa yang diperkatakan oleh peninju legenda dunia, Muhammad Ali, yang mengatakan, impossible is nothing.

PENULIS ialah Pengarah Eksekutif MES Consulting Network.