Itulah jasa guru bagi setiap kita tidak kira sama ada kita sudah bergelar menteri, pegawai, pengawal keselamatan, petani malah apa sahaja pekerjaan yang kita sandang. Semuanya bermula daripada seorang guru yang membim­bing, mendidik dan mengajar kita tanpa jemu.

Dalam dunia alaf baharu ini, pelbagai cabaran dan rintangan terpaksa dihadapi oleh guru-guru dalam usaha mendidik anak-anak bangsa agar menjadi insan yang seimbang dari segi pencapaian akademik dan sahsiah diri. Guru-guru terpaksa berkorban masa dan tenaga malah keluarga demi memenuhi tanggungjawab mereka sebagai pendidik. Maka tidak hairanlah ada antara guru-guru yang terpaksa bersengkang mata demi menjalankan tanggungjawab mereka untuk memastikan bidang pendidikan yang diceburi mendatangkan kesan positif.

Halangan besar untuk memastikan pelajar-pelajar mencapai kejayaan dan keseimbangan dalam pelbagai aspek positif ialah masalah sosial yang menular dalam kalangan pelajar sekolah. Masalah disiplin yang merun­cing di sesetengah sekolah menjadikan usaha ini tidak akan ke mana-mana. Maka tidak hairanlah kes-kes di­siplin yang serius di sekolah seperti buli, pergaduhan dan dera masih tidak dapat diselesaikan dengan mudah di sekolah-sekolah.

Guru-guru agak sukar membendung pelbagai tabiat negatif pelajar di sesetengah sekolah akibat perubahan sikap pelajar ekoran pelbagai pengaruh di luar sana. Ketika dunia bergelumang dengan kecanggihan alat telekomunikasi, pelajar juga terdedah dengan segala macam pengaruh, budaya, maklumat dan sebagainya.

Proses pengajaran di sekolah terpaksa mengalami perubahan mengikut arus zaman. Kaedah pembelajaran masa kini bukan lagi berdasarkan sepenuhnya kepada baca tulis di papan putih, tetapi ada masanya dipaparkan di skrin menerusi pancaran peralatan canggih terutama­nya komputer riba.

Sebagaimana pelajar yang mampu melayari dan menerima pelbagai maklumat di rumah dengan segala kecanggihan, di sekolah pun terpaksa mengikut rentak yang sama untuk memupuk minat pelajar terhadap sesuatu subjek.

Pendidikan Alaf 21 (PAK-21) dilihat sebagai usaha untuk mengemas kini sistem pendidikan di sekolah selaras dengan kehendak semasa. Malah, segala usaha untuk melahirkan pelajar yang berkebolehan dan mahir dalam segala aspek positif diberi penekanan lewat subjek-subjek tertentu.

Tugas berat dan mencabar sentiasa mengitari seluruh warga guru demi membentuk masa depan pelajar untuk bersaing dengan pasaran kerja atau guna tenaga negara. Setiap subjek yang diajar mempunyai peranan dan kepentingan tertentu sama ada demi kemajuan negara dan pembangunan insaniah pelajar itu sendiri.

Oleh hal demikian, sumbangan guru tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja kerana merekalah yang memulakan atau memberi pencerahan awal dan hala tuju seseorang pelajar.

Apa-apa pun, peranan ini tidak boleh diletakkan seratus peratus kepada guru sahaja kerana banyak lagi pihak yang boleh dipertanggungjawabkan untuk menentu haluan setiap pelajar. Contohnya, ibu bapa mestilah memastikan anak-anak mereka yang belajar di sekolah tidak membelakangkan ajaran guru.

Masyarakat sekeliling juga mestilah peka terhadap permasalahan atau kebejatan sosial yang melanda anak-anak muda terutamanya golongan pelajar pada masa ini.

Sebagaimana tanggungjawab ibu bapa dan masyarakat sekeliling terhadap anak-anak muda, mereka juga mestilah memahami tugas berat guru pada masa ini. Kerjasama erat antara ibu bapa dan masyarakat dengan guru-guru sangat penting untuk menjayakan misi negara.

Jika hal ini berlaku, lebih mudahlah guru-guru menjalankan tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak bangsa ke arah kecemerlangan. Selamat Hari Guru!