Dari Syria, Iraq hinggalah ke Yaman, nikmati keindahan khazanah alam dan sejarah di samping menyaksikan kemakmuran rakyatnya. Impian ini juga penulis pasang sejak sedar mengenai politik antarabangsa pada tahun 1973. Empat puluh tahun lalu. Nampaknya impian itu tidak kesampaian. Tetapi ia tidak mustahil.

Timur Tengah meliputi sebahagian Asia, Afrika dan Eropah. Kesemuanya ada 18 negara. Negara-negara Arabnya ialah Mesir, Palestin, Jordan, Arab Saudi, Yemen, Oman, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Qatar, Kuwait, Iraq, Syria dan Lebanon, iaitu 13 buah negara. Sebuah negara Yahudi iaitu Israel. Sebuah negara Parsi, iaitu Iran. Dua negara Turki, iaitu termasuk Cyprus Utara. Tetapi Cyprus adalah negara Greek. Itu dari segi bangsa majoriti sesebuah negara.

Dari segi majoriti penganut agama, hanya Israel beragama Yahudi dan Cyprus, Kristian. Yang lain beragama Islam. Kecuali Iran dan Iraq yang majoritinya bermazhab Syiah, yang lain ialah Sunni. Namun semua negara mempunyai pelbagai bangsa serta kaum, dan agama daripada pelbagai mazhab. Ada negara yang minoritinya amat besar.

Pada tahun 1973, apa yang berlaku ialah Perang Ramadan. Pihak Israel memanggilnya Perang Yom Kippur. Untuk berkecuali, orang memanggilnya Perang Oktober. Sebelum perang itu, Israel menduduki Sinai dan Gaza, yang ketika itu ialah wilayah Mesir, juga Bukit Golan milik Syria, serta Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis yang pada masa itu dalam sempadan Jordan.

Perang itu diketuai oleh Mesir bersama Syria, dengan dibantu oleh lapan negara iaitu Jordan, Iraq, Libya, Tunisia, Algeria, Maghribi, Arab Saudi dan Cuba. Pihak Israel disokong oleh Amerika Syarikat dan pihak Arab dapat sokongan daripada Soviet Union.

Hasil perang itu ialah Mesir memperoleh Sinai. Walaupun mereka gagal mendapatkan balik Gaza, Tebing Barat dan Bukit Golan, wilayah untuk negara Palestin dapat diwujudkan dengan ia masih diduduki Israel, iaitu Gaza dan Tebing Barat, tanpa Baitulmaqdis.

Keadaan ini berlaku kemudiannya apabila Mesir berdamai dengan Israel dan juga melepaskan Gaza yang diduduki Israel untuk jadi wilayah Palestin. Begitu juga Jordan melepaskan Tebing Barat yang diduduki Israel itu untuk dijadikan negara Palestin.

Dalam perang itu, negara-negara Arab tanpa mengira fahaman bersatu menentang Israel. Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Ikhwanul Muslimin turut menghantar pejuang. Negara-negara Islam lain juga menyokong usaha membebaskan Palestin. Tetapi ketika itu Turki dan Iran, yang diperintah oleh Shah Iran, mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Arab Saudi di bawah Al-Malik Faisal pula telah menggunakan embargo minyak bagi menekan Amerika. Tetapi kini, di penghujung tahun 2017, bukan saja negara Arab, negara Islam dan kumpulan Islam bertelagah antara satu sama lain, tetapi mereka berperang sehingga berlaku krisis kemanusiaan di Yemen dan banyak orang Syria terpaksa lari ke Eropah.

Israel masih menduduki Gaza, Tebing Barat dan Bukit Golan. Palestin masih tidak merdeka walaupun PLO dapat mentadbir Tebing Barat dan Hamas berkuasa di Gaza. Sehingga kini tidak terdapat bayangan bahawa Israel akan berundur.

Tetapi sebaliknya perang dahsyat berlaku di Yemen. Kerajaan Yemen yang berpusat di Aden mendapat sokongan dan bantuan Arab Saudi. Sementara golongan Houthi yang menguasai ibu kota Yemen, Sanaa mendapat sokongan dan bantuan Iran.

Ia merupakan perang proksi antara Riyadh dan Tehran. Arab Saudi pula mempunyai lebih 10 negara sekutu dalam perang itu. Perang saudara di Syria pula belum berakhir. Di situ juga berlaku perang proksi antara Arab Saudi dengan Iran. Teheran menyokong Damsyik.

Sementara Arab Saudi menyokong para pemberontak. Kerajaan Syria juga dibantu oleh kumpulan Hezbollah dari Lebanon. Kemudian ada kumpulan Daesh yang ditentang oleh kedua-dua – Arab Saudi dan Iran.

Bagaimana Daesh mendapat senjata menjadi tanda tanya. Kumpulan Daesh ini baru saja kehilangan banyak kawasan di Syria dan Iraq. Tetapi mereka dapat bertapak di Yemen. Kejayaan menundukkan Daesh di Syria adalah juga daripada campur tangan Rusia.

Perkelahian sekutu

Sementara itu, Arab Saudi sedang berkelahi dengan Qatar. Keadaan ini mendorong Qatar menjadi sekutu kepada Turki dan Iran. Arab Saudi juga kelihatan cuba mengheret Lebanon dalam pertelagahannya dengan Iran. Mesir yang merupakan sekutu Arab Saudi dalam perang Yemen dan pertelagahannya dengan Qatar bagaimanapun enggan diheret sama dalam kancah di Lebanon.

Tetapi baru-baru ini kumpulan pengganas menyerang masjid di Sinai. Masjid itu mempunyai jemaah dalam kalangan orang Sufi. Kumpulan Daesh sering menyerang kumpulan Sufi selain Kristian Kibti di Mesir. Sementara Mesir diperintah pihak tentera yang menggulingkan kerajaan demokratik sokongan Ikhwanul Muslimin. Mereka dengan keras menekan dan memenjarakan anggota kumpulan itu.

Dalam pada itu, Turki pula menekan kumpulan pemisah Kurdistan di dalam sempadannya. Sementara pejuang Kurdistan di Syria pula turut berjuang dan berjaya menumpas Daesh. Tetapi di Iraq, wilayah autonomi Kurdistan pula dihalang untuk merdeka.

Peperangan dalam kalangan orang Islam di Timur Tengah ini mengecewakan umat Islam di seluruh dunia. Ia menjadikan aspirasi Liga Arab untuk menyatukan negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyatukan umat Islam adalah suatu yang hipokrit. Adalah jelas orang Arab dan orang Islam tidak berminat untuk bersatu.

Mereka mencari jalan untuk bertelagah dan berbunuhan sesama sendiri. Idealisme ukhwah Islamiah menjadi tidak bermakna. Namun perdamaian di Timur Tengah adalah suatu yang tidak mustahil.

Ia boleh dilakukan. Caranya ialah hentikan peperangan. Kalau dilihat dalam sejarah, dulu banyak negara berperang. Tetapi kini mereka boleh hidup aman. Ia tidak mustahil tetapi ia perlukan usaha. Hentikan saja peperangan dan cari jalan menyelesaikan pertelagahan melalui rundingan.

Setiap suatu keputusan boleh membawa implikasi, sama ada menyumbang kepada peperangan, atau perdamaian. Jika menabur benih peperangan, pasti yang dituai adalah juga kemusnahan. Sesungguhnya peperangan adalah sia-sia. Ia berlaku kerana ada orang berkuasa yang tidak memikirkan penderitaan rakyat akibat peperangan.

Umumnya rakyat hanya mahu hidup biasa, dapat makanan, ada kemudahan perubatan, ada peluang pendidikan dan kerjaya. Ada masa depan untuk anak cucu yang diberi peluang saksama dalam negara. Serta ada keadilan dan tiada penyelewengan. Bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing. Tetapi peperangan memusnahkan segalanya.