Sambutan Hari Raya Aidilfitri juga tidak terkecuali daripada rutin kalendar masyarakat Malaysia ini yang menjadikan ia sebagai salah satu sambutan atau perayaan induk masyarakat Islam di negara ini, termasuk di Jalan Ketoyong, Tanjong Malim, Perak.

Bagi saya ini bukan suatu yang baharu. Proses sosialisasi yang bermula di sekitar perkampu­ngan Jalan Ketoyong diwarnai dengan demografi dan geografi yang meriah. Sejak kecil dididik dengan kehidupan membesar bersama komuniti Melayu Islam menyebabkan sudah di­didik, diajar dan disemai dengan tuntutan Rukun Islam ketiga ini kerana turut serta dan memerhati bagaimana ibu bapa mengajar sahabat beragama Islam cuba memenuhi ibadat ini dari kecil lagi. Ada yang terkandas awal-awal lagi, ada juga yang berjuang habis-habisan kerana ia menjadi satu keseronokan jika mampu bertahan sehingga terbenam matahari dan laungan azan Maghrib ketika berbuka mengindahkan lagi suasana.

Taman Hijau, Jalan Ketoyong penuh nostalgia ketika bulan Ramadan satu tika dulu. Di sinilah masing-masing walau berbeza amalan dan kepercayaan, ia tidak sekali-kali merenggangkan diri mereka dengan komuniti yang ada, malahan masing-ma­sing seolah-olah ada talian simpulan luar biasa. Rasa hormat, faham dan menerima antara satu sama lain amat dekat di sanubari masing-masing.

Bulan puasa menjadi bulan perkongsian dan kepunyaan yang rasa citranya adalah pada nilai kemanusiaan. Bila subuh, senja, pagi, petang, siang dan malam; ru­mah sentiasa terbuka. Nak berbuka mana-mana rumah sekalipun, pergilah. Tidak ada yang akan menyoal, kenapa datang atau disuruh balik kerana ia bukan amalan. Yang ada hanyalah keikhlasan tanpa ada perasaan syak wasangka atau kejujuran di sebalik pemahaman nilai kemanusiaan. Itulah Taman Hijau, Jalan Ketoyong.

Tua-muda, belia, remaja, ka­nak-kanak dan ibu bapa, masing-masing menjadikan bulan puasa bulan yang diraikan bersama. Kepelbagaian dianggap sebagai aset dan bukan liabiliti. Tanyalah Anuar, Mokhtar, Azri, Bagio, Azmi, Feroz, Razween, Amin, Ina, Ah Leng, Zuraidi, Munir, Man, Tambi, Along, Farah, Ah Seong, Mai, Yusri dan Enal; yang akan dijawab: kalaulah boleh balik semula ke hari-hari seperti tu! Lagu-lagu hari raya yang sering berkumandang di corong radio dan televisyen sering menjadi ikutan; baik ‘Dendang Perantau’ nyanyian arwah P.Ramlee sehinggalah ke lagu M.Nasir ‘Satu Hari Di Hari Raya’ mendekatkan kesemua dengan suara pujian pada yang Esa; yang turut me­nyaksikan lahirnya Bagio kumpulan Damasutra bersama kami.

Merentasi zaman berzaman, amalan tradisi diteruskan. Arwah Ustaz Abdul [email protected] Kudus, Imam Masjid Tanjong Malim tinggal di belakang rumah saya. Setiap hari kumandang Asma-Al-Husna sehingga kami menghafalnya dan isterinya mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran. Rumah sentiasa terbuka untuk kami masuk dan keluar tanpa ada tegahan sama sekali. Mokhtar yang sebaya dengan saya akan bermain badminton di pagi hari sebelum ke sekolah walau di musim puasa. Ibu kepada Imam inilah yang berumur sekitar 70-an tatkala itu menghantar rendang dan lemang untuk santapan kami sekeluarga, sebagaimana yang sering dibuat oleh keluarga Cikgu Yahya dengan juadahnya.

Ramai yang melihat adakalanya 10 malam terakhir bulan Ramadan suram akhir-akhir ini tetapi malam tujuh likur di Jalan Ketoyong indah menikmati sinaran lampu pelita, yang caha­yanya memberi gambaran gegaran ibadah keberkatan dan barakah darinya kerana Nabi Muhammad SAW menghidupkan malamnya di hari-hari ini. Ini juga tanda­nya Ramadan sudah berada di malam-malam penghujung dan penantian menjelang tiba Syawal bermula.

Yang lebih menyeronokkan adalah Marhaban di malam raya seolah-olah satu tradisi, bertandang dari rumah ke rumah memperlihatkan ikatan silaturahim yang bermula dengan sembah­yang tarawih di madrasah Taman Hijau ini. Sembahyang berjemaah di pagi raya yang disertai oleh mereka yang ‘pulang ke kampung’ dengan lambakan kende­raan sekitar masjid menunjukkan ‘Raya Jalan Ketoyong’ adalah satu nostalgia khususnya yang dilahirkan dan kemudian berhijrah dan berpeluang kembali semula meraikannya dalam suasana yang penuh makna ini. Irama takbir raya yang kedengaran berterusan di Jalan Ketoyong menunjukkan rasa syukur atas kurniaannya, tanda kemenangan menzahirkan kegembiraan.

Dalam perubahan demografi dan geografi tanah air, yang mampu kita lakukan adalah untuk mengimbas semula bagaimana bertapaknya sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri di hati masing-masing. Walaupun pengisiannya berubah, alangkah baiknya jika nilai di sebaliknya dipertahankan supaya maksud dan makna terus menjadi resipi kebudayaan rencam masyarakat Melayu dan Malaysia amnya.

‘Raya Jalan Ketoyong’ punya sifat kepunyaan, perkongsian, integrasi, muafakat dan sejahtera yang menjadi titi jambatan bumbung teduhan kita. Rindunya satu tahun untuk ia muncul kembali, walau sebulan penuh tradisi; raikannya dengan penuh kasih-sayang dan kemesraan tatkala kita khuatir dicemari dengan jiwa individualistik dan materialistik yang kian menjadi-jadi kini.

Hormat, faham dan menerima fitrah untuk saling kenal-mengenal jika diteruskan tanpa ada batasannya, nescaya lembaran hari raya setiap tahun akan membolehkan kita menoleh, meneliti dan menggarap yang baik untuk masa hadapan bersama. Rayalah cara Jalan Ketoyong yang memecahkan dinding dan tembok pemisah kerana yang ada hanyalah ikatan ukhuwah dan kepelbagaian menjadi teras untuk membela keserasian dalam kalangan masyarakat yang resamnya pelbagai tetapi naluri manusianya sama.

PROFESOR DR. P. SIVAMURUGAN berkhidmat di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).