Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

PROJEK Plaza Rakyat di Kuala Lumpur masih terbengkalai sehingga
PROJEK Plaza Rakyat di Kuala Lumpur masih terbengkalai sehingga kini yang berpunca daripada krisis kewangan Asia pada 1997. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

ADAKAH kita yang ber­usia 35 tahun ke atas masih mengingati apa yang terjadi pada per­tengahan tahun 1997?

Penulis pada ketika itu baharu memulakan pengajian ijazah sar­jana muda yang mana tidak disangka-sangka ekonomi negara kita mula menampakkan zaman suramnya ekoran dikatakan di­serang oleh spekulator mata wang asing.

Sebelum itu, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang cukup membangun sebaris dengan negara-negara yang digelar Harimau Asia seperti Singapura dan Hong Kong. Malah, tidak ke­terlaluan dikatakan pembangunan pesat ekonomi negara ini merangsang kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dan pertumbuhan ekonomi yang cukup tinggi tatkala itu. Sebagai sebuah negara kecil yang tidak begitu dikenali pada asalnya, Malaysia mula dikenali seantero dunia.

Setelah diserang oleh spekulator wang asing, ekonomi Malaysia jelas menampakkan kelemahannya kerana begitu mudah me­ngalami kejatuhan sehingga ramai yang menganggur dan syarikat-syarikat tempatan termasuklah bersaiz besar mengalami masalah kewangan yang teruk.

Tidak kurang juga, banyak syarikat yang terpaksa diisytiharkan muflis. Syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia atau dahulu dikenali sebagai Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) juga mengalami masalah sama.

Bayangkan terdapat syarikat senaraian awam ketika itu mengalami defisit bagi modal ak­hirnya. Aset tetap dicairkan untuk membayar hutang. Lebih parah lagi, bank-bank tempatan juga mengalami masalah yang sama apabila kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) meningkat begitu tinggi membayangkan ramai peng­hutang tidak mampu membayar balik hutang bank mereka.

Memburukkan lagi keadaan, krisis politik pula mula bergema dengan kuat sekali. Tidak hanya di Malaysia, negara-negara yang mengalami krisis kewangan Asia seperti Indonesia juga mengalami krisis sehingga Presidennya Suharto terpaksa berundur diri selepas sekian lama memegang tampuk pemerintahan negara itu. Di Malaysia, rakyat tertanya-tanya apakah sebenarnya berlaku ketika itu. Krisis kewangan berlanjutan menjadi krisis politik pada 1998.

Sejak itu, suasana politik di negara ini sukar ditenteramkan walhal apa yang rakyat mahukan ahli-ahli politik mengutamakan kesejahteraan rakyat secara ke­seluruhannya.

Akibat krisis kewangan Asia tersebut, pihak luar sudah mula berani mencampuri hal ehwal dalam negara. Malah, mereka semakin berani memberi pelbagai cadangan yang tidak diketahui sejauh manakah baiknya cada­ngan-cadangan tersebut. Ada yang tidak masuk dek akal. Ada antara mereka menyalahkan bagaimana sistem ekonomi dan kewangan Malaysia dilaksanakan.

Istilah kronisme, nepotisme dan ketelusan acap kali disebut sehingga terikut-ikut oleh ahli-ahli politik tempatan. Mereka menunjuk ajar kepada kita cara Barat yang wajar dicontohi. Oleh kerana mereka cuba mencampuri urusan Malaysia, rakyat mula bersatu untuk mempertahankan negara. Biar pun dua krisis melanda. Namun, kedaulatan negara paling diutamakan.

Tambahan, cubaan campur tangan mereka ditangkis dengan sokongan kuat pihak media tempatan.

Hujah Barat cukup mudah. Ramai ahli perniagaan yang berjaya sebelum itu dikatakan sebagai kroni untuk orang tertentu walhal ahli-ahli perniagaan tersebut tidak diketahui keupayaan mereka dari segi perniagaan. Akibatnya apabila berlaku krisis kewangan yang dahsyat, ahli-ahli perniagaan sebegini tidak mampu mengharunginya, jauh sekali bangkit semula.

Untuk rujukan, pembaca boleh mendapatkan kajian akademik berkaitan kronisme yang telah dijalankan di kebanyakan negara di dunia ini.

Malaysia tidak terkecuali. Le­bih-lebih lagi, selepas berlakunya krisis kewangan Asia 20 tahun lalu, kesannya masih dirasai. Pa­ling tidak, mata wang kita tidak sekuat dahulu. Sebab itu pen­tingnya ekonomi dan kewangan Malaysia diperkukuhkan lagi.

Apa yang dibangkitkan oleh pihak luar rata-ratanya berkisar kelemahan tadbir urus korporat yang menyebabkan ekonomi Malaysia tidak boleh menangkis serangan spekulator mata wang asing. Maka, ketika itu bermulalah istilah tadbir urus korporat yang diperkenalkan dan diuar-uarkan di seluruh Malaysia. Tanpa tadbir urus korporat yang baik sukar sesebuah syarikat menjalani perniagaan secara telus dan bersifat dinamik.

Melihat akan peri pentingnya tadbir urus korporat, syarikat dan bank-bank tempatan mula mengambil langkah membetulkan keadaan. Peranan ahli lembaga pengarah mula terserlah. Tiada lagi individu yang meme­gang jawatan sebagai ahli lembaga pengarah bagi berpuluh-puluh syarikat di Malaysia termasuklah syarikat senaraian awam. Peranan pengurusan risiko juga mula ditekankan oleh bank-bank tempatan. Bank-bank tempatan bergabung sesama mereka agar asas kekuatan bank dapat ditingkatkan pada tahap maksimum.

Pasaran modal Malaysia juga ditadbir urus dengan lebih baik. Hanya syarikat terbaik dan kukuh dibenarkan disenaraikan di Bursa Malaysia. Dengan ini, pelabur-pelabur tertarik untuk melabur ke dalam Malaysia. Peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga semakin diiktiraf kerajaan. Begitu juga fungsi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang menjadi pemangkin ekonomi Malaysia.

Apa yang penting, kronisme dalam perniagaan mula dikurangkan pada tahap paling rendah. Kesaksamaan mula menjadi asas berteraskan merit dan pada masa sama membantu golongan yang tidak berkemampuan. Jurang ekonomi antara golongan yang kaya dan miskin dikurangkan dan pada masa sama tidak berkompromi dengan ketidakcekapan dalam sistem ekonomi dan kewangan negara.

Harus diingatkan, kita tidak wajar mewarisi ekonomi yang rapuh kepada generasi akan datang. Krisis kewangan Asia 1997 mengimbau iktibar yang amat berguna untuk kita merencanakan ekonomi masa hadapan Malaysia agar kekal mapan dengan acuan tersendiri.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain