Hari itu, 8 Mac 2008 dianggap penting lantas menjadi alasan mengapa Pakatan Harapan memilih Khamis lalu (8 Mac) sebagai hari pelancaran manifesto pakatan baharu mereka.

Tarikh itu dianggap oleh Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah sebagai tahun kebangkitan pembangkang.

Ironisnya pada tarikh itu beliau berada dalam UMNO. Saifuddin menang kerusi Parlimen Temerloh sebelum dilantik sebagai timbalan menteri. Sepenggal kemudian pada PRU-13, beliau kalah di tangan calon Pas dan menyertai PKR.

“Kita pilih hari ini kerana tarikh ini bersejarah bermula kecundangnya UMNO-BN,” katanya semasa berucap pada pelancaran manifesto gabungan empat parti itu di Shah Alam.

Malam itu, Pakatan Harapan mahu mengembalikan semangat kemenangan 2008. Mereka tidak menyebut manifesto pembangkang tetapi manifesto government in waiting (bakal kerajaan).

Cerita 2008 semasa Pas masih menjadi sekutu pakatan pembangkang berbeza dengan apa yang berlaku sekarang. Malam itu, semasa mereka meraikan ulang tahun ke-10 kemenangan, sebahagian rakyat Selangor menderita akibat tiada bekalan air.

Malangnya tiada seorang pun pemimpin Pakatan Harapan yang berucap termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap tentang krisis air yang sedang melanda.

Jauh sekali daripada meminta maaf atas kesulitan yang dialami oleh lebih dua juta pengguna di lapan daerah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sedangkan pada malam itu dipenuhi dengan kata-kata dan janji-janji untuk hidup dan mati bersama rakyat. Teras pertama manifesto yang dibacakan juga cukup enak didengar; Meringankan bebanan hidup rakyat.

Lebih teruk Menteri Besar tidak pun melihat krisis ini sebagai kelemahan mereka. Ahli Parlimen Shah Alam malah macam ti­dak percaya ada gang­guan bekalan air di ka­wasannya.

Tinggallah rakyat ter­kontang-kanting menyelesaikan masalah sendiri. Bergelut men­cari air bersih bagi me­neruskan rutin se­ha­­rian. Inilah realiti ma­­nifesto pilihan raya Pa­katan Harapan yang gah mereka ikrarkan di atas pentas politik.

Di Selangor sendiri, rundingan pengagihan kerusi masih belum selesai.

Kita pun sudah lelah mendengar perbalahan berebut kerusi sesama sendiri. Tarikh demi tarikh baharu diberikan. Tidak juga selesai-sele­sai.

Kepincangan

Terkini ada enam kerusi DUN yang men­jadi rebutan - Sungai Bu­rong, Sungai Panjang, Seri Serdang, Kota Da­man­sara, Lembah Jaya dan Dusun Tua. Masing-masing parti men­dakwa boleh menang. Jadi apakah benar mereka membela rakyat?

Barangkali beginilah cara mereka mahu Membina Negara, Memenuhi Harapan sebagaimana tema manifesto.

Terlalu banyak kisah pusingan U, sandiwara, hipokrasi dan pembohongan. Berulang kali dan diulang tayang.

Selang beberapa jam malam yang bersejarah itu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pula me­ngeluarkan kenyataan memberi amaran kepada PPBM pimpinan 'bakal Perdana Menteri ketujuh’, Tun Dr. Ma­hathir Mohamad agar menyelesaikan masalah dalaman parti atau menghadapi risiko dibubarkan.

Selama beberapa bulan ini, ahli PPBM memberontak meminta campur tangan ROS di atas banyak kepin­cangan dalam pengurusan parti. Forum, sidang akhbar dan demonstrasi saban waktu diadakan bagi mendesak masalah dalaman segera diselesaikan. PPBM dihimpit terlalu banyak kontroversi.

Pimpinan tertingginya bagai di awang-awang. Me­reka telah terperosok jauh ke dalam perangkap politik toksik. Barangkali malam itu, hari yang disifatkan bersejarah oleh Saifuddin, bakal menjadi malam-malam akhir kewujudan PPBM. Pimpinan parti serpihan UMNO ini pun seolah-olah sudah menghidu kemungkinan itu.

Mereka sudah bercakap tentang pilihan menggunakan satu logo – logo dalam gabungan mereka iaitu sama ada DAP, PKR atau PAN. Mereka juga telah mengheret ROS ke mahkamah. Seperti Azmin, PPBM tidak menyalahkan diri sendiri, Mereka salahkan Kerajaan Pusat. Tiada air di Selangor, salah Kerajaan Pusat.

Ahli-ahli parti sendiri memberontak dan membuat aduan kepada ROS juga salah Kerajaan Pusat. Inilah manifesto mereka. Mereka bentangkan manifesto da­lam keadaan diri penuh ketempangan, kontroversi, san­diwara dan hipokrasi.

Awal-awal mereka sudah nyatakan tidak mungkin kalah pilihan raya kecuali dengan cara penipuan oleh BN.

Bukankah kata-kata seperti ini biasa didengar setiap kali pilihan raya umum termasuk semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dahulu? Malam itu, mereka dalam suasana seolah-olah sedang merayakan kemenangan.

Berbekalkan manifesto yang menghiburkan, Pakatan Harapan mengisytiharkan merekalah kerajaan yang bakal memerintah. Malam itu menjadi saksi, mereka sendiri yang melanggar manifesto yang diikrarkan.

Malam itu semasa Pakatan Harapan membentangkan manifesto, mereka juga bentangkan di hadapan rakyat ketempangan, kontroversi, sandiwara dan hipokrasi. Ternyata malam 8 Mac 2008 jauh berbeza daripada malam 8 Mac 2018.