Namun, dalam membincangkan isu-isu hak asasi, fokus sering diberikan kepada hak-hak rakyat tempatan. Sering kali kita lupa akan hak-hak pelarian. Pelarian adalah golongan yang diberikan perlindungan di sesebuah negara atas sebab-sebab tertentu seperti diusir atau diancam bunuh oleh negara asal mereka.

Di bawah Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) pula, pelarian ditakrifkan sebagai seorang yang tidak mampu melindungi diri sendiri, atau orang yang melarikan diri daripada perang, atau orang yang dianiaya disebabkan oleh bangsa, agama, kerakyatan, keahlian mereka dalam kumpulan sosial yang tertentu dan pegangan politik mereka. Mereka dilihat wajar diberikan perlindungan oleh sebab ancaman yang dibuat ke atas hak peribadi mereka.

Salah satu isu pelarian yang telah menggemparkan Malaysia sekitar 2015 adalah berkenaan isu etnik Rohingya yang dibunuh dan diusir keluar dari negara asal mereka, Myammar. Meskipun begitu, isu Rohingya bukanlah satu isu yang baharu di Malaysia.

Terdapat ramai masyarakat etnik Rohingya dan pela­rian dari negara lain yang telah pun diberi perlindungan di Malaysia sejak sebelum 2010 lagi. Malah, setakat 2016, terdapat 150,000 pemegang kad UNHCR dari 62 buah negara yang telah diberikan perlindungan di bumi Malaysia.

Statistik melaporkan bahawa 90 peratus daripada mereka adalah dari Myanmar dengan 56,000 orang daripadanya etnik Rohingya. Statistik lain pula menyatakan bahawa jumlah ini tidak merangkumi beribu lagi pelarian yang berada di Malaysia tanpa dokumen yang sah.

Dalam konteks antarabangsa, hak-hak asasi berkenaan dengan seorang pelarian adalah di­lindungi dan dijelaskan secara terperinci di bawah Konvensyen Berkaitan Status Pelarian 1951.

Meskipun begitu, Malaysia bukanlah ahli kepada konvensyen tersebut justeru isu-isu berkenaan pelarian adalah berlandaskan peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63, yang mana pelarian hanya dianggap sebagai pendatang asing. Hal ini kerana masih belum wujud undang-undang formal di Malaysia yang mengiktiraf hak-hak seorang pelarian.

Pada 2015, Datuk Seri Shahidan Kassim selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah menjelaskan bahawa Malaysia enggan menjadi ahli kepada konvensyen tersebut kerana khuatir gagal memenuhi tuntutan-tuntutan konvensyen di samping terdapat isu lain yang perlu diberi keutamaan termasuk menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk negara ini.

Dengan wujudnya kelompongan undang-undang ini, kebanyakan pelarian tidak dapat menikmati hak-hak asasi seperti hak untuk bekerja, kesihatan, tempat tinggal dan sebagainya walaupun mereka memiliki kad UNHCR.

Pelarian di Malaysia, tidak seperti di negara Barat yang lain, tidak dibenarkan untuk bekerja secara sah. Ada daripada mereka malah ditindas dan tidak diberi upah sewajarnya walaupun telah dijanjikan. Pelarian etnik Rohingya yang mempunyai penempatan di Ampang dan Klang antaranya, terpaksa bergelut dalam meneruskan kehidupan harian.

Mereka terpaksa berkebun secara tidak sah, mengutip besi buruk, atau bekerja buruh dalam keadaan yang berbahaya dalam usaha meneruskan kelangsungan hidup. Terdapat pelbagai pihak khususnya NGO yang telah mendesak kerajaan untuk mengubah polisi ini.

Akhirnya, dalam tahun 2017, tuntutan dan desakan ini telah dijawab oleh kerajaan Malaysia. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah meng­umumkan bahawa pelarian etnik Rohingya akan dibenarkan bekerja di Malaysia secara sah bermula 2017.

Proses ini akan dijalankan secara berperingkat-­peringkat dan terbuka kepada pelarian etnik Rohingya yang mempunyai dokumen sah dan telah mengambil ujian kesihatan dan keselamatan.

Walaupun Malaysia secara amnya masih jauh ke belakang dalam memberikan hak asasi kepada pelarian, namun usaha kerajaan ini merupakan satu langkah positif dalam menyelesaikan isu yang telah berlarutan sejak sekian lama. Penulis mengharapkan pelarian terus diberikan pengiktirafan yang sewajarnya bagi membolehkan mereka meneruskan hidup sebagai manusia yang bermaruah.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).