Parti politik yang bangga mendewa-dewakan rakyat malah tanpa silu bergaduh di depan khalayak. Benar-benar seperti perangai anak kecil menangis histeria kerana tidak dibelikan mainan.

Hal ini memang telah diduga. Cuma kita tidak menyangka begitu parah. Sampai tergamam penyokong tegar mereka. Hilang kata-kata. Harapan yang menggunung pun sirna.

Semakin teballah semangat mereka untuk melakukan undi protes. Politik baharu yang digambarkan mahu menyelamatkan demokrasi negara nampaknya hanya propaganda kosong. Politik mereka bahkan telah merosakkan nilai-nilai demokrasi.

Pakatan Harapan yang menggantikan Pakatan Rakyat ternyata gagal dalam ujian saringan awal ini. Jalan untuk melangkah lebih jauh semakin sayup. Mereka sendiri yang membuat hadangan, menutupi jalan yang sedia terjal itu.

Tidak terbayang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sanggup mereka gelar tidak layak menjadi Menteri Besar. Lunturlah wibawa Azmin sebab yang menyimpulkan begitu ialah parti yang mengaku berpaksikan Islam, PAN. Takkan parti ‘rahmat untuk seluruh alam’ ini boleh sesuka hati mengata pemimpin sendiri.

Azmin yang menjadi batu penghalang untuk lawan politik menawan semula Selangor telah diaibkan. Pembunuhan karakter secara senyap dan dari dalam. Angkara siapakah ini?

Semuanya gara-gara pengagihan kerusi pilihan raya yang masih gagal dimuktamadkan di Selangor. PAN kata tiada rundingan. Azmin pula sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Selangor dakwa sudah empat kali bermesyuarat.

Ini bukan salah faham. Ini mainan lidah yang sudah membudaya dalam politik Pakatan Harapan. Sudah banyak kali mereka berbohong.

Cuma kali ini ketahuan, tertangkap basah di siang hari.

Ikut PKR parti itu perlu kekal dominan di Selangor. PAN dan PPBM pula ada impian sendiri. Ikut Azmin lagilah, semua orang kena akur dengannya.

Ikut cerita yang tersebar, PKR mahu 21 kerusi yang ditandingi dalam PRU-13 ditambah dengan 10 lagi kerusi yang dimenangi Pas. Di pihak PAN dan PPBM sudah sepakat untuk berkongsi 20 kerusi Pas. DAP tetap kekal dengan agihan 15 kerusi.

Mahukan kerusi

Seperti yang berlaku di negeri-negeri lain, PPBM juga mahukan beberapa daripada 12 kerusi PKR yang dimenangi UMNO pada pilihan raya lalu. Bukan rahsia lagi PKR turut mahukan kerusi Parlimen Shah Alam dan Parlimen Hulu Langat yang telah disepakati sebagai milik PAN.

Azmin yang sedang meng-gerakkan ketumbukan untuk menguasai PKR mahu meng- gu­nakan PRU-13 sebagai momen­tum. Orang-orang Azmin te­lah disusun di kerusi-kerusi stra­tegik.

Dalam persekitaran dan bu­daya politik seperti ini soal mua­fakat dan setiakawan tidak penting. Siapalah PAN dan PPBM di mata kekuasaan PKR Selangor. Mereka ini kumpulan orang kecewa. Azmin yang licik tentu mudah memperdaya me­reka.

Konflik yang dialami PPBM lagi parah. Cerita- cerita di peringkat pimpinan bahagian dan sayap begitu menggerunkan. Jauh berbeza daripada apa yang cuba digambarkan pimpinan atasan.

Siri pemberontakan terbuka termasuk yang terbaharu di Negeri Sembilan tidak dapat dipisahkan dengan parti ini. Terlalu banyak penyimpangan berlaku dalam parti ini.

Sentuhan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak lagi mampu menu­kar arang menjadi emas. Kuasa yang diburu petaka yang datang. Sesama sendiri berpatah arang berkerat rotan. Inilah keadaan se­benar PPBM.

Parti ini hanya menunggu waktu untuk berkubur. Struktur parti begitu lemah. Di Kedah, kubu mereka pun keadaannya seperti PPBM tidak wujud di situ.

PPBM cuba membina kekuatan melalui media sosial. Pada peringkat awal kelihatan meyakinkan tetapi lama kelamaan orang pun menyampah.

Modal hanya menyerang lawan tak selamanya laku di pasaran. Itu pun mudah dipatahkan kerana seperti yang selamanya didok­trinkan oleh pakatan pembangkang, Dr. Mahathir ialah liabiliti.

Dalam persekitaran dunia maya yang cepat berubah pula sebahagian strategi yang digunakan lima tahun lalu, kini tidak lagi berkesan. Contohnya orang tidak lagi terpikat dengan apa yang tertulis dalam blog. Perlu sesuatu yang baharu dan inovatif. Takkan orang nak terus layan cerita pengundi hantu, lampu terpadam atau tuntutan pilihan raya bersih.

Kita mengimpikan pertarungan politik gagasan bukan kekuasaan atau bahkan kehancuran. Bagaimana mungkin mahu menolak GST sedangkan sistem cukai ini terus diterima dunia. Bagaimana mungkin dikata negara ini bakal bankrap sedang realitinya angka petunjuk ekonomi Malaysia terus menyatakan sebaliknya.

Pakatan pembangkang juga gagal berpegang kepada prinsip yang selalu dilaungkan. Mahu tol dan pendidikan percuma tetapi tidak pula dilaksanakan di negeri kekuasaan sendiri. Mahu orang lain letak jawatan jika dihadapkan ke mahkamah tetapi diri sendiri tidak berbuat demikian dengan pelbagai alasan dicipta.

Yang nyata Pakatan Harapan tidaklah lebih baik daripada Pakatan Rakyat. Mereka semakin jauh daripada politik gagasan yang akhirnya bakal memendekkan jangka hayat sendiri.