Walaupun ini bukanlah kes buli pertama, dan mustahil juga yang terakhir di negara ini, namun kebuasan dan kekejaman luar biasa melingkari fakta kes yang diperoleh daripada penyiasatan polis amat menggemparkan.

Kesan luka yang didapati dalam pemeriksaan autopsi menunjukkan mangsa bukan saja dibuli secara fizikal tetapi telah diseksa dengan dahsyat sekali.

Lebih malang lagi, berita kematian mahasiswa Zulfarhan Osman Zulkarnain disusuli pula dengan be­rita kes buli T. Nhaveen yang juga menyebabkan kematian. Beberapa bulan sebelum itu, jika kita masih ingat, seorang suri rumah Chay Lay Lee dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh pembantu rumah warga Indonesia; dia turut didakwa atas satu lagi pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada seorang lagi pembantu rumahnya berbangsa Kemboja.

Di mana perginya rasa belas kasihan yang sepatutnya wujud secara semula jadi dalam jiwa rakyat negara ini sehinggakan perihal sebegini terus berleluasa? Adakah kita sudah hilang rasa kemanusiaan dan logik sehingga nilai sebuah kehidupan boleh diperkotak-katikkan tanpa kekangan?

Apabila sesebuah masyarakat sudah gagal menggunakan mekanisme sosial yang tidak formal seperti adat resam untuk membentuk akhlak dan adab ahli masyarakat itu, seharusnya sistem undang-undang digunakan sepenuhnya untuk mendidik masyarakat tentang hak dan tanggungjawab setiap ahli.

Ramai yang memberikan pandangan bahawa hal sebegini harus ditangani dengan kawalan sosial secara tidak for­mal melalui pendidikan aga­ma, adab dan pendekatan yang lebih holistik. Ini benar jika kita berada dalam keadaan yang stabil. Malangnya, negara sudah di ambang keresahan yang amat teruk dengan kes-kes sebegini. Bertambah darurat lagi apabila kes menyebabkan kecederaan tidak hanya membabitkan sesama pelajar tetapi wujud juga kes penderaan yang dilakukan pendidik dan oleh majikan terhadap pekerja.

Apabila negara dilanda dengan masalah ini secara bertubi-tubi, kawalan sosial secara formal melalui perundangan harus diperketat dan diberikan penekanan bagi mewujudkan semula keharmonian yang terhakis. Peruntukan undang-undang negara ini seharusnya sudah mencukupi untuk membendung fenomena pen­deraan fizikal, namun kelihatan tumpul taringnya dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaan apabila hampir setiap bulan ada saja laporan kes buli atau dera, terutamanya yang melibat pelajar sekolah atau mahasiswa universiti.

Kes Zulfarhan membuktikan sudah wujud keperluan untuk mengemas kini sistem kawalan sosial. Penyusunan semula ini harus melibatkan setiap lapisan masyarakat terutama mereka yang terlibat secara langsung dalam sistem pendidikan negara.

Seperti juga kewujudan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang ­baru digubal untuk menangani kekerapan kesalahan seksual yang melibatkan kanak-kanak, begitu jugalah sudah tiba masanya satu akta yang khusus untuk menangani kes buli diperuntukkan untuk menyelesaikan gejala ini.

Guru dan pensyarah perlu melihat semula tatacara standard yang harus digunapakai apabila timbul aduan kes-kes yang melibatkan salahlaku fizikal. Aduan salahlaku yang menyebabkan kesakitan haruslah segera dilaporkan kepada polis dan disiasat.

Cadangan yang sedikit kontroversi, barangkali wajar juga dipertimbangkan keperluan untuk menghadapkan guru, pensyarah atau warden yang bertanggungjawab ke muka keadilan, atas kausa tindakan kecuaian di sisi undang-undang tort, memandangkan kejadian buli atau dera yang berlaku di bawah pengawasan mereka sudah tentunya diakibatkan sedikit sebanyak oleh kecuaian mereka juga, jika pun mungkin bukan mereka yang me­lakukan tindakan buli tersebut.

Jika keprihatinan tidak timbul secara semula jadi, rakyat Malaysia harus diingatkan tentang peruntukan di bawah Kanun Keseksaan mengenai hal ini. Di bawah Seksyen 118 dan 120 Kanun Keseksaan, perbuatan tidak melaporkan jenayah adalah kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara. Begitu juga dengan orang yang berada di tempat kejadian namun tidak berbuat apa-apa.

Apa yang dikesalkan, ‘penonton’ bukan saja tidak menghentikan atau melaporkan kejadian tetapi lebih teruk lagi, wujud pula kini trend di mana mereka akan merekodkan pula jenayah yang berlaku sebelum menjadikan video rakaman tular di laman-laman sosial.

Amatlah sedih dan malang sekali apabila masyarakat sudah hilang rasa malu sehinggakan kawalan sosial yang formal perlu diperketatkan semata-mata untuk menyelia tindak-tanduk ahli masyarakat.

Contohnya, dalam pendedahan ahli-ahli universiti tempat pengajian Zulfarhan yang mengakui bahawa buli sudah menjadi satu ‘budaya’ yang diterima. Budaya ini hanya mampu dibetulkan dengan meletakkan kembali apa yang benar pada tempatnya.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).