Perubahan semasa telah banyak menggugah nilai dan budaya kerja. Lebih-lebih lagi, era digital memperlihat tugas manusia banyak diambil alih oleh kecanggihan teknologi. Saya percaya, meskipun tidak dapat mengelak daripada mengaplikasi kemudahan teknologi, kita masih perlu berpegang kepada nilai dan budaya tinggi yang akan memastikan mutu kerja mencapai kecemerlangan. Hakikatnya, teknologi tidak mampu menggantikan insan.

Justeru, ihsan menjadi satu nilai penting dalam kita memastikan pekerjaan yang dilakukan kekal bersandar kepada amanah, kecekapan yang tinggi, kesempurnaan, keikhlasan, integriti, kualiti dan budaya kecemerlangan. Dalam konteks kerjaya dan pentadbiran, aspek ini sering diungkapkan sebagai `profesionalisme’ atau kecekapan kerja yang tinggi serta berkualiti untuk menghasilkan kesempurnaan.

Hal ini bertentangan dengan tabiat melakukan pekerjaan ‘asalkan siap’ yang menyebabkan hasil kerja menjadi ‘biasa’ dan sederhana, atau juga sebagai mediokriti (mediocrity). Bagaimanapun, konsep ‘ihsan’ sedikit berbeza kerana ia melibatkan aspek keterikatan hubungan antara manusia dengan Penciptanya. Keterikatan hubungan inilah yang akan melahirkan sifat serta budaya kerja yang sangat menitikberatkan kualiti, kesempurnaan dan kecemerlangan.

Ihsan menjadi lebih penting apabila konteks kecemerla­ngan tidak lagi berlegar pada soal angka dan kedudukan semata-mata, tetapi mahu mencapai makna yang lebih besar, iaitu kesejahteraan. Kesejahteraan yang dimaksudkan di sini adalah memberi impak kepada kehidupan manusia se­perti meraih kebahagiaan, keseronokan, dan kegembiraan.

Justeru, ihsan wajar untuk terus diangkat sebagai pemangkin kepada kesejahteraan, khususnya dalam konteks kampus dan masyarakat sejagat. Dengan ihsan dalam pe­ngajaran, kita tentu akan dapat melatih pelajar berfikir ke arah mensejahterakan masyarakat apabila mereka meme­gang teraju kepemimpinan dalam mana-mana organisasi.

Dengan ihsan dalam penyelidikan, kita bermatlamat mencipta inovasi dalam segenap bidang untuk menyumbang kepada mensejahterakan masyarakat negara ini dan dunia. Dengan ihsan dalam penerbitan, kita mahu berkongsi segala ilmu baharu yang terjana hasil daripada penyelidikan dengan masyarakat dan rakan-rakan dalam bidang yang sama. Dengan ihsan dalam khidmat profesional, sudah tentulah matlamat kita untuk membawa inovasi yang tercipta di taman ilmu ini terus ke pangkuan masyarakat, agar dapat mereka manfaatkan, yang sudah tentu akan mampu membawa mereka menuju kesejahteraan.

Kita boleh melihat isu kesejahteraan ini dalam dua sudut. Pertama, kesejahteraan sebagai matlamat akhir, dan kedua, kesejahteraan sebagai proses, iaitu pengalaman kegembiraan bekerja yang menuju kepada matlamat kesejahteraan. Sewaktu menyampaikan perutusan Tahun 2018 awal tahun ini, saya telah berkongsi mengenai dapatan Happiness Index atau UPMHI yang telah dikendalikan oleh para penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) pada 2017.

Dapatan menunjukkan secara umumnya, indeks kegembiraan keseluruhan staf Universiti Putra Malaysia (UPM) meningkat dan berada pada paras 77.98 peratus. Hasil indeks ini juga menggambarkan bahawa tahap kegembiraan staf UPM berada pada tahap agak gembira.

Dapatan indeks ini pastinya akan digunakan untuk penambahbaikan domain skor yang rendah supaya dapat dipertingkatkan pada masa hadapan, kerana apabila warga universiti bersemangat untuk melaksanakan matlamat, ia akan memberikan suntikan rasa bahagia untuk mengatasi kekangan yang timbul.

Secara tuntasnya, saya percaya organisasi perlu menjadi tempat meraih pengalaman kebahagiaan untuk mencapai nikmat kesejahteraan. Ini juga bermakna, universiti tidak boleh lagi menjadi tempat bekerja bagi menyara kehidupan semata-mata, tetapi tempat melunaskan segala amanah dan khidmat bakti dengan rasa penuh bahagia dan sejahtera.

PROF. DATIN PADUKA DATUK DR. AINI IDERIS ialah Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM).