Amatlah tidak keterlaluan jika disebutkan bahawa pro­ses ilmu dan kajian iqra’ yang telah melampaui zaman kajian dan penyelidikan dalam proses pembangunan ilmu pe­ngetahuan manusia dari era pertanian, perindustrian dan selanjutnya ke era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kini, ketika mana tahap-tahap pembangunan itu adalah berkembang dan lahir dalam usaha manusia yang memakan masa yang lama sekali.

Manusia telah berjaya mencapai dan merealisasikan kebangkitan tamadun dan kecemerlangan ilmu pengetahuan dengan daya inovasi dan transformasinya yang pesat, ter­utamanya melalui usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang amat giat dilakukan dalam dunia maju sekarang ini. Perubahan yang berlaku dalam jangka masa 60 tahun yang terakhir, meliputi setengah abad kedua kurun yang ke-20 dan satu dekad kurun ke-21, telah menghasilkan transformasi yang amat ajaib sekali bagi dunia ini, iaitu dengan lahir­nya ICT.

Perkembangan dan pem­bangunan sektor pertanian yang me­ngambil masa ribuan tahun, dan sektor industri yang memakan masa ratusan tahun untuk sampai ke kemuncak perkembangannya sekarang telah dipintas oleh ledakan kebangkitan ICT yang begitu mendadak dan cepat sekali, yang dengan sendirinya melakar satu sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam proses kebangkitan pemikiran dan pembangunan ilmu teknologi manusia dalam sejarahnya dalam dunia ini, iaitu ketika disedari bahawa kebangkitan ilmu ICT telah berjaya memintas perkembangan dan kebangkitan sektor pertanian dan perindustrian itu.

Sewajarnya segala perubahan ini seharusnya disedari terlebih dahulu oleh orang Islam kerana Islam telah me­nyedarkan umatnya seperti yang difirmankan oleh Allah SWT yang sekali gus memberi isyarat penting tentang kehadiran teknologi maklumat dan komunikasi ini, dengan firman Allah : ”Bahawa Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu tanpa kamu mengetahui sesuatu apa pun, kemudian Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran, dan penglihatan, serta pemikiran, supaya kamu bersyukur.” (Al-Nahl ayat 78).

Inilah sebenarnya kelahiran teknologi ICT, dimulai de­ngan pendengaran (audio) kemudian dengan penglihatan (visual) seterusnya diikuti dengan kebangkitan minda yang lebih canggih iaitu akal.

Proses kejadian Allah ini menepati kelahiran ICT yang dimulai dengan peralatan pendengaran seperti radio dan telefon klasik, kemudian alat penglihatan seperti TV, dan seterusnya peralatan yang dihasilkan oleh pemikiran yang lebih canggih seperti komputer, telefon bimbit, facebook, internet, portal, blog dan sebagainya.

Inilah senario dunia yang cepat berkembang dan ber­ubah, dan hal ini disedari oleh manusia penduduk dunia maju sehingga merekalah yang merupakan penghuni dunia yang menyumbang kepada perkembangan teknologi ini sebagai penyumbang dan pencipta yang kreatif dan inovatif.

Islam sebagai Al-Din, merangkumi keseluruhan aspek kehidupan manusia, kehidupan kita sepanjang zaman, ke­rana istilah ini bermaksud bahawa Islam itu adalah satu cara hidup yang lengkap, dunia akhirat, jasmani dan rohani, akal fikiran dan perasaan serta emosi, keluarga dan masyarakat umum, politik dan sosial, ekonomi dan alam sekitar, ilmu dan akhlak, adab dan tamadun.

Tetapi umat Islam dan negara-negara Islam amat kekura­ngan dalam R&D. Negara-negara persidangan Islam OIC se­perti yang disenaraikan oleh penerbitan OIC, mempunyai ratusan universiti, tetapi penyelidikan tentang Islam hanya mengandungi ilmu akhirat, teologi dan ilmu ketuhanan sahaja, tanpa menyentuh kehidupan dunia dan perhubungannya dengan kehidupan dunia dan akhirat.

Pada umumnya umat Islam, hanya dengan pengecua­lian yang kecil sekali, telah dan sedang cuba membangun dan mencari kemajuan dan peradaban, tanpa kajian dan penyelidikan, tanpa data dan fakta, tanpa perancangan yang strategik dan praktikal berdasarkan penyelidikan ilmiah yang bermutu tinggi, maka sebahagian besar umat Islam dan negara Islam akan meraba-raba dalam kegelapan, membicarakan sesuatu tanpa kenyataan dan fakta, dengan itu umat Islam tertinggal dalam berteori dan berangan-angan.

Umat Islam haruslah memahami erti Islam dan hubu­ngannya dengan kehidupan, sebagai sistem dan peraturan hidup, dan hubungannya dengan pembangunan ekonomi dan teknologi , gabungan antara ilmu ketuhanan dan profesional, antara pembangunan jasmani dan rohani, fizikal dan spiritual, sebagai penghayatan dan kefahaman menyeluruh tentang istilah Iqra’ ini.

Dalam konteks ini maka umat Islam yang cuba kita tonjolkan sebagai umat bercirikan wasatiyyah itu sebenarnya masih jauh dari realiti sebenarnya. Konsep wasatiyyah yang dilihat sebagai istilah yang menyamai moderation dan equilibrium atau keseimbangan dan kesederhanaan, mungkin agak tepat dalam sebahagian konsep dan pengertian istilah wasatiyyah dari sudut syariahnya, iaitu dari segi menge­lakkan sikap melampau dan ekstrem atau sikap radikal dan ganas manusia dalam pengurusan konflik dan penyelesaian masalah mereka.

Namun pengertian konsep wasatiyyah dalam akidah dan syariah Islam adalah lebih menyeluruh yang merangkumi soal pengurusan individu dan kumpulan manusia, rakyat dan kerajaan, dalam semua aspek kehidupan mereka, agar mereka sebagai umat Islam, menepati konsep ummatan wasatan dalam tafsiran yang diberikan terhadap sifat tersebut sebagai umat yang adil dan terpilih, seperti yang di tafsirkan oleh ahli tafsir yang berwibawa selama ini.

Budaya Iqra’ yang sebenarnya merupakan entiti umat Islam sebagai umat wasatiyyah haruslah selari dan sejajar dengan kemajuan sesuatu umat dalam pencapaian ilmu pengetahuannya, seperti dalam bidang menguasai ilmu ICT ini yang selama ini umat Islam hanya menjadi penggunanya sahaja.

PROFESOR DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).