ROBERT A. MONROE
ROBERT A. MONROE

Program yang diadakan pada penghujung 2016 di Kampus Ke­sihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan dianjurkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains (P3Neuro) universiti berkenaan.

Langkah IKIM me­mang kena pada ma­sanya bagi mengharmonikan pe­nemuan terbaharu sa­ins khususnya neurosains dan Islam demi fa­edah umat sejagat.

Neurosains merujuk kepada bidang pengajian yang berhubung dengan sistem saraf termasuk penglihatan, pendengaran, deria bau dan gerakan anggota badan dengan otak sebagai pusatnya.

Dalam buku ini, topik utama dipilih adalah mengenai bagaimana untuk mengesahkan kematian umat Islam. Ahli agama dan pakar neurosains sependapat bahawa seseorang itu dianggap mati secara mutlak apabila otaknya telah disahkan tidak berfungsi walaupun organ-organ lain masih berfungsi dengan bantuan mesin.

Isu kewujudan roh turut di­bincangkan.

Perkara itu termasuk dalam kategori sam’iyat yang berkaitan dengan alam ghaib yang tidak boleh ditangkap oleh pancaindera manusia biasa, tidak dapat dilihat dan disentuh sebalik­nya hanya dibaca daripada kitab suci al-Quran serta hadis.

Perkara-perkara yang dikategorikan sebagai sam’iyat ter­masuk alam barzakh, mahsyar, syurga dan neraka.

Dalam buku ini dijelaskan mengenai dua pandangan ilmuwan Islam. Sesetengah sarjana melarang untuk membincangkan perkara sam’iyat termasuk me­ngenai roh kerana al-Quran menyebut soal itu adalah dalam ruang lingkup pengetahuan Allah SWT yang tidak perlu dipersoalkan.

Bagaimanapun, terdapat juga ilmuwan Islam sejak zaman dahulu yang cenderung kepada pandangan membenarkan perbincangan berkaitan roh.

Ilmuwan Islam perlu mengelak bersikap tidak ambil peduli terhadap penemuan baharu sains sehingga generasi muda yang terdedah dengan maklumat dalam internet hanya membaca dan mendengar pendapat sebelah pihak.

Sedangkan tindakan sepatutnya adalah diadakan perbincangan antara ahli agama dan saintis bagi mengharmonikan penemuan baharu sains dan pandangan ilmuwan Islam dengan meletakkan keesaan Allah sebagai asas tertinggi serta akhirat sebagai matlamat akhir kehidupan manusia.

Dalam buku ini, antara langkah utama untuk mengharmonikan antara agama dan sains adalah menyelaraskan istilah digunakan kerana sebarang perbezaan ungkapan seperti jantung, hati, otak, hayat dan kematian akan menimbulkan kekeliruan yang mengakibatkan tiada kesepakatan dalam menyelesaikan masalah berkaitan kehidupan umat Islam.

Walaupun buku ini telah menjawab banyak persoalan dibangkitkan oleh umat Islam tetapi kebanyakannya hanya menyentuh mengenai penentuan saat kematian seseorang dan bukannya mengenai apa yang akan berlaku selepas meninggal dunia.

Terdapat seorang penulis menyebut, saintis Barat tidak mengkaji tentang roh kerana penyelidikan mereka hanya menyentuh mengenai apa yang dapat dikesan oleh pancaindera.

Ungkapan itu tidaklah 100 peratus benar, kerana banyak kajian dilakukan ahli sains tetapi kurang dilaporkan dalam media massa arus perdana di sana kerana tidak dapat dite­rima majoriti saintis Barat yang masih bertuhankan kebendaan. Tugas pembaca adalah ‘menggali’ pelbagai khazanah ilmu yang terdapat dalam internet.

Kajian penyelidik Barat itu diulas secara sepintas lalu oleh Ketua Jabatan Neurosains, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Zamzuri Idris, dalam bab tiga buku berkenaan.

Beliau menyebut fenomena out of body experience (OBE) yang merujuk kepada kes sesete­ngah individu dapat mengingati pe­ngalaman roh keluar daripada jasad ketika tidur dan melihat badan mereka terbaring kaku di atas katil.

Menurut beliau, fenomena OBE membuktikan roh masih mempunyai fungsi kognitif se­perti melihat, mendengar dan sebagainya.

Masyarakat Melayu merujuk OBE sebagai pengalaman ‘ditindih hantu’ yang menyebabkan seseorang berasa sesak nafas se­perti ditindih orang lain ketika tidur sehingga sukar bergerak.

Badan berasa kaku adalah peringkat awal bermula OBE dan fenomena ini telah dibincangkan secara mendalam oleh Robert A. Monroe dalam trilogi buku bertajuk Journeys Out of the Body pada 1971 yang diikuti dua naskhah lain Far Journeys pada 1985 dan Ultimate Journey pada 1994.

Dengan bantuan bunyi khas dinamakan Hemi-Sync yang dicipta beliau, seseorang itu boleh mengingati apa yang berlaku ketika tidur selaras dengan ungkapan yang se­ring disebutnya iaitu “You are more than your physical body”.

Walaupun mendiang telah meninggal dunia pada 1995, kajian itu diteruskan The Monroe Institute di Virginia, Amerika Syarikat (AS) dan ramai pengkaji lain di seluruh dunia sehingga sekarang.