Dari segi realitinya, tidak ramai mengambil sikap sebagai perakam atau penganalisis peristiwa yang telah ditinggalkan dalam lipatan sejarah sebagai satu pengajaran untuk membentuk peristiwa baharu yang lebih indah. Bagi mereka, peristiwa yang di­tinggalkan tidak perlu difikirkan lagi kerana kebanyakan sejarah itu dinilai dan dilihat daripada sudut negatif.

Dalam bidang pendidikan mi­salnya, 2017 meninggalkan peristiwa suka duka yang menarik perhatian umum. Tahun lalu dilihat sebagai antara tahun yang mencatat beberapa ‘peristiwa gempar’ yang memerlukan pene­litian dan penilaian oleh banyak pihak bagi memastikan sistem pendidikan yang digubal mampu melahirkan generasi TN50 sebagaimana diimpikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kejadian murid dikenakan tindakan selepas menyorok pada waktu solat di sebuah sekolah di Kajang, Selangor misalnya menarik perhatian umum sehingga menjadi satu polemik yang mengheret banyak pihak untuk memperkatakannya. Wajarkah tindakan guru terhadap pelajar yang ‘culas’ solat dikatakan ke­terlaluan?

Seseorang yang realistik akan melihat perkara tersebut dari sudut positif kerana itu bukan sahaja pendidikan, malah adalah perintah Yang Maha Esa. Tindakan meletakkan dosa di bahu guru yang mahu melihat murid-nya menjadi anak syurga di luar kebiasaan.

Begitu juga dengan kisah seorang murid yang berkejaran sesama sendiri lalu terjatuh di hadapan seorang guru di sebuah sekolah di Pulau Pinang, turut menarik perhatian umum. ­Kedua-dua kisah tersebut akhirnya mengheret kedua-dua guru ber­kenaan ke mahkamah. Sehingga kini, nasib guru-guru ter­babit masih belum diputuskan.

Nama Azizan Manap atau Cikgu Azizan bukannya satu nama besar tetapi tiba-tiba meletup se­telah dituduh mengasari seorang murid­nya yang dipercayai mempunyai masalah disiplin, iaitu di­kaitkan dengan perbuatan me­nghidu gam.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid tersebut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di pipi kiri seorang ­murid lelaki berusia 11 tahun, di hadapan perhimpunan sekolah­nya pada pukul 7 pagi, 6 April.

Beliau bagaimanapun dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mah­kamah Majistret Seremban daripada tuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Demikianlah antara beberapa peristiwa yang mencuri perhatian umum sepanjang 2017 yang kita tinggalkan. Apakah pengajaran di sebalik peristiwa tersebut?

Wajarkah guru bertindak de­mikian dipersalahkan sepenuh­nya walaupun ada kalanya tindakan diambil ke atas murid bermasalah mungkin ­melebihi batas SOP ditetapkan?

Apakah ibu bapa pada zaman ini terlalu memanjakan anak sehingga mereka tidak boleh diambil tindakan la­ngsung oleh pihak sekolah walaupun anak mereka mempunyai masalah disiplin?

Apakah yang akan berlaku se­kiranya guru-guru tidak mahu lagi mengambil tahu mengenai mu­rid-murid di sekolah memandangkan selama ini begitu banyak ‘perkara baik’ dilakukan guru walaupun tidak termaktub dalam SOP seorang guru?

Sebagai contoh, apabila seorang murid sakit di sekolah, adalah memadai guru menghubungi ibu bapa murid untuk datang mengambil anak mereka di sekolah tanpa guru berbuat apa-apa.

Pada masa ini, hampir keseluruhan guru mengambil tindakan membantu murid sedemikian, termasuk menghantar murid berke­naan ke hospital walaupun itu tidak terkandung dalam SOP guru.

Kenapakah perkara baik sedemikian tidak dilihat oleh orang ramai, khususnya ibu bapa? Inilah antara isu yang perlu diteliti dan diambil kira oleh kedua-dua pihak demi kepentingan dan masa depan generasi muda yang akan mengisi gagasan TN50 yang diilhamkan Najib.

Tindakan membawa guru sedemikian ke mahkamah bukanlah penyelesaian terbaik sebenarnya. Tindakan tersebut merugikan banyak pihak. Dalam hal ini, ibu bapa perlu bersikap terbuka dan bijaksana dalam menangani isu-isu tindakan guru di sekolah terhadap anak mereka, apatah lagi terhadap pelajar bermasalah.

Kebijaksanaan ibu bapa sangatlah dituntut memandangkan tanggungjawab guru sebenarnya adalah mendidik dan bukannya sekadar mengajar. Perkara ini wajar difahami.

Walaupun begitu, pada waktu sama, guru pula perlu memiliki kesabaran tinggi dan tidak terlalu menurut emosi ketika mengambil tindakan terhadap murid bermasalah. Perkara ini jika diolah dengan baik dan matang akan mewujudkan ­keadaan yang bukan sahaja harmoni antara guru dengan ibu bapa, malah akan memberikan sumbangan besar dalam melancarkan tugas dan tanggungjawab guru di sekolah. Kesepakatan pihak-pihak ber­kenaan sewajarnya menjadi tuntutan yang tidak boleh diragukan.

Jika kita benar-benar ingin melihat lahirnya generasi TN50 yang sarat dengan gagasan dan membentuk sahsiah generasi muda pada masa depan, toleransi antara ibu bapa dengan pendidik dalam institusi pendidikan mesti diberikan perhatian dan keutamaan.

Sehubungan itu, 2018 harus diisi dengan peristiwa-peristiwa yang lebih baik dengan menjadikan 2017 sebagai satu pengajaran paling berguna. Realitinya, 2018 mestilah dijadikan tahun ‘harmoni pendidikan’ dengan menggabungkan peranan guru dan ibu bapa agar kedua-dua pihak ini bergerak seiring dengan arus perubahan dan cabaran semasa.

Penulis juga mengharapkan agar Kementerian Pendidikan me­nubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyemak undang-undang yang mungkin telah lapuk dan tidak relevan dengan semangat TN50 seperti Pekeliling Bil 8/1983 mengenai bentuk hukuman yang dilarang ke atas pelajar di sam­ping mengkaji secara serius cadangan kod etika untuk ibu bapa agar guru dapat melaksanakan tugas­nya tanpa bimbang risiko yang menanti seperti kes Cikgu Azizan.

Bersama-samalah kita membina azam baharu pada tahun baharu ini dengan mengisi ruang yang tersedia dengan sesuatu yang benar-benar baharu. Semoga tahun baharu memberikan ilham untuk kita berfikir cara yang baharu.

PENULIS ialah Presiden Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan.