Sejak itu, Jabatan Warisan Kebangsaan berusaha menjalankan peranannya sebaik mungkin. Namun terdapat beberapa cabaran sehingga pencapaian untuk memelihara tapak bernilai warisan kebangsaan amat terbatas. Usaha pemuliharaan dan pemeliharaan tapak warisan kebangsaan sukar dilaksanakan kerana kesedaran awam masih terhad, kekurangan maklumat saintifik bagi membuktikan nilai warisan, dan isu governans antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

Kefahaman dalam kalangan masyarakat Malaysia mengenai warisan tabii iaitu warisan geologi dan kepelbagaian biologi masih sangat terbatas. Bagi mereka hutan, gunung ganang, sungai dan air terjun adalah sumber alam, hanya sesuai untuk dimanfaatkan untuk pembangunan ekonomi dan rekreasi. Sebetulnya, ia sebahagian daripada sejarah tamadun manusia dan setengahnya bernilai luar biasa.

Dalam pada itu sejarah Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak atau Malaysia bermula sejak 550 juta tahun lampau di kawasan Gunung Machinchang, Langkawi. Hidupan terawal penghuni tanah air kita ialah sejenis haiwan bernama trilobit mulai membiak pada usia 500 juta tahun, diikuti dengan kepelbagaian tumbuhan berbunga sekitar 145 juta tahun. Gunung Kinabalu di Sabah hanya mula terbentuk kurang daripada 10 juta tahun lalu. Semua rekod saintifik mengenai sejarah bumi tersimpan dalam batuan dan tapak jumpaannya pastinya bernilai warisan kebangsaan.

Sejarah kehadiran manusia di Malaysia ditafsir bermula sejak 200,000 tahun. Wujud penempatan manusia tertua berusia 40,000 tahun di Gua Niah, Sarawak dan jumpaan manusia purba ‘Perak Man’ berusia 11,000 tahun di Kota Tampan, Perak. Ketamadunan bangsa Melayu pula dijumpai di Sungai Batu, Kedah sejak 600 tahun sebelum Masihi, sementara itu, sejarah Kesultanan Melayu bermula di Kedah pada abad ke-12 dan di Melaka pada abad ke-14.

Sejarah geologi, arkeologi dan sejarah manusia moden adalah kesinambungan evolusi geologi dan hidupannya sering disebut sebagai warisan tabii, sebetulnya juga sebahagian daripada warisan ketamadunan atau budaya bangsa Malaysia.

Isu kesedaran masyarakat dan pengumpulan maklumat saintifik boleh digerakkan jika kita mempunyai program yang terfokus. Dana promosi dan penyelidikan perlu diberikan pertimbangan tinggi, khususnya oleh kerajaan Persekutuan, institusi swasta dan agensi bertanggungjawab negeri. Begitupun, isu governans berkaitan hubungan kerajaan Persekutuan dan negeri masih perlu ditangani secara berhemah.

Memandangkan di Malaysia, tanah dan sumber asli adalah bidang kuasa kerajaan negeri, tanggungjawab mewartakan, membangun dan mengurus warisan kebangsaan perlu diserahkan kepada mereka berpandukan mekanisme governans negeri. Jabatan Warisan Kebangsaan pula boleh memainkan peranan aktif dalam menggerakkan, mengenal pasti senarai calon, membantu menyediakan dokumen pewartaan dan menyimpan Daftar Warisan Kebangsaan.

Tuan punya warisan dan proses pewartaan warisan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri sementara hak pengisytiharan masih di bawah kerajaan Persekutuan berasaskan Akta 645. Kerjasama begini membolehkan isu hak dan tanggungjawab pengurusan sumber kekal di bawah kerajaan negeri manakala penentuan nilai dan kawalan kualiti masih di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Tapak Warisan Kebangsaan boleh berada di atas tanah Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri atau persendirian. Ini bukan isu yang boleh menghalang warga menghormati warisan. Jika suatu objek atau tapak itu dipastikan bernilai warisan bertaraf kebangsaan atau antarabangsa, ia tetap Warisan Kebangsaan. Soalnya, bagaimana kerajaan Persekutuan dan negeri berupaya bekerjasama bagi memastikan suatu warisan kebangsaan itu dipulihara, dipelihara dan dimanfaatkan untuk kebanggaan dan kesejahteraan bangsa?

Selaku Pengerusi, Majlis Warisan Kebangsaan dan masyarakat pastinya, kami inginkan semua Warisan Kebangsaan terpulihara dan dihargai. Iltizam ini melambangkan sebuah bangsa maju dan bertamadun.

PROF. EMERITUS DATUK DR. IBRAHIM KOMOO ialah Pengerusi Majlis Warisan Kebangsaan dan Felo Penyelidik Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).