Dan saya percaya dan mahu terus mempercayainya bahawa semua orang pun begitu. Sebagai seorang anak dan juga seorang ibu atau bapa, kita semua pasti ada perasaan sebegitu. Tidak mahu lihat orang yang paling di­sayangi menanggung kesedihan dan kesakitan. Kita ada sikap melindungi mereka yang cukup tinggi. Ini adalah semula jadi. Bukan dibuat-buat.

Tetapi nampaknya, kepercayaan saya itu semakin hari bagaikan dikikis apabila ada saja kes penderaan kanak-kanak dilaporkan, tidak kiralah penderaan fizikal atau seksual, apatah lagi penderaan emosi oleh ibu dan bapa sendiri. Bukan ibu tiri, bapa tiri atau ibu saudara atau bapa saudara sebaliknya ia dilakukan oleh ‘orang yang membawa anak itu’ ke dunia. Tangan orang yang membawa mereka ke dunia itulah menghentam, mencampak atau mencabul dan merogol. Betul, ini bukan kerja manusia. Haiwan pun tidak sebegitu perangainya.

Saya pasti ramai pernah melihat video yang tular di laman sosial tentang seekor anjing mati dilanggar ken­deraan di tengah-tengah lebuh raya kerana berpatah balik cuba menyelamatkan anjing kecil mungkin anaknya, setelah anjing kecil itu panik di tengah-tengah jalan takut untuk melintas. Saya juga pernah melihat ibu kucing jalan berjengket-jengket dan berdarah kepalanya membawakan anak-anaknya makanan. Jadi janganlah kaitkan hal-hal di luar kemanusiaan dengan haiwan.

Dan setiap kali muncul satu persatu kes penderaan kanak-kanak, kita cuba menganggap ini satu kes terpencil dan berharap kes itu biarlah yang terakhir. Tetapi tidak, ia tetap berlaku dan ini amat mengecewakan kita yang amat mengharapkan negara ini, malah dunia ini terus ­melindungi, menyayangi dan menjaga hak kanak-kanak.

Kes terbaharu, di Port Dickson yang melibatkan kematian seorang budak perempuan, Aina Nabihah, 9 yang didera bapa sendiri, ditendang dan dipijak sehingga ter­kencing, cukup menjelaskan kepada kita semua ­cukuplah sudah dengan istilah kes terpencil atau terasing itu.

Kita perlu mengakui tidak semua ibu bapa ­sayangkan anak. Peratusannya kecil tetapi hakikatnya yang kita harus terima sekarang ini begitulah. Bunyinya kasar. Tetapi ia sedang berlaku. Dalam pada itu, ramai juga anak yang besar panjang melupakan ibu bapa. Ini pun sudah biasa.

Jadi apa yang perlu kita lakukan untuk menangani isu dera ini? Selain peruntukan undang-undang sedia ada, kita perlu terus jadi masyarakat prihatin. Kalau sering melihat atau mendengar anak jiran menangis kerana dipukul teruk oleh penjaganya, laporkanlah pada pihak berkuasa. Jangan tunggu sudah hilang nyawa baru hendak bertindak.

Anak-anak kecil memang susah hendak mengadu. Mereka hanya mengadu pada orang yang paling dekat iaitu ibu bapanya. Tetapi bila orang yang terdekat itu jugalah yang melakukan kekejaman itu, mulutnya akan terkunci rapat. Selain takut, mungkin dia keliru dengan tindakan ibu bapanya itu.

Baru-baru ini saya membaca coretan seorang guru di laman sosial. Dia mengulas cerita malang yang lebih kurang serupa dengan Aina Nabihah, tetapi yang ini dapat diselamatkan. Katanya, dia pernah membuat laporan polis setelah melihat luka-luka teruk di badan salah seorang anak murid­nya. Budak lelaki berusia 7 tahun itu dipukul oleh ibu tirinya dan bapa kandungnya tidak menghalang perbuatan itu. Tetapi setelah perbuatan itu diketahui, bapanya menghilangkan diri. Inilah ‘malapetaka’ pada anak-anak apabila berlakunya perceraian, kata guru itu.

Ya, betul, kadang-kadang bila berlaku perceraian, si bapa beria-ia sangat hendakkan hak penjagaan bukan kerana mahu menjaga anak itu tetapi mengelak untuk bayar nafkah setiap bulan kepada anak. Bila anak itu dalam ­jagaannya, tak makan pun tak apa dan lebih teruk lagi anak itu didera pula. Inilah yang patut dilihat oleh si ibu.

Memang dalam dunia ini, macam-macam perangai manusia dan kita tidak boleh mengharapkan semua orang akan menjadi baik. Kita boleh saja putus asa dengan orang yang hilang rasa kemanusiaan, tetapi jangan putus asa menjadi masyarakat prihatin yang mungkin dapat mengelakkan kes dera daripada bertukar menjadi kes bunuh.