Selama 12 tahun sejak Ahmad mengambil alih kerusi nombor satu itu dengan menewaskan Datuk Jamal Nasir Rasdi 27-20 undi pada 22 Disember 2002, sepaktakraw negara menempuh era suka-duka dalam prestasinya.

Detik kemuncak `prestasi' beliau ialah pada Sukan SEA Filipina 2005. Ketika itu, sembilan tahun lalu, regu negara - Normanizam Ahmad, Futra Ghani dan Zulkarnain Arif - mengakhiri kemarau pingat emas selama 12 tahun dengan menumpaskan musuh tradisi, Thailand 2-0 yang dikemudikan ikon sepak takraw negara itu, Suebsak Phuensub.

Kali terakhir Malaysia menggenggam pingat emas sebelum itu adalah pada 1993 di Singapura.

Di bawah kepemimpinan Ahmad yang mesra dipanggil Tok Mat, skuad negara juga 'nyaris' melonjak lebih tinggi untuk kembali menundukkan Thailand biarpun akhirnya terpaksa akur dengan cuma dua perak pada Sukan Asia di Doha 2006 dan Guangzhou 2010.

PSM turut bekerjasama dengan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) menganjurkan Piala Dunia Istaf Pertama di Kuala Lumpur pada 2011 diikuti dengan Siri Super Istaf yang bakal memasuki musim keempat, 2014-15 mulai Oktober ini di Nay Pyi Taw, Myanmar.

Tidak cukup dengan itu, PSM dengan kerjasama Asia Sports Ventures (ASV) menganjurkan Liga Sepak Takraw Malaysia bertaraf semi-pro yang akan membuat penampilan sulung di Terengganu, November ini.

Namun episod hitam di arena antarabangsa tidak sunyi melanda PSM yang akhirnya menjadi 'peluru' yang `melibas' balik persatuan itu khususnya kepimpinan Ahmad.

Agak malang bagi pasukan negara apabila gagal membawa pulang kilauan emas sejak kejayaan di Cebu, Filipina pada 2005.

Ketika pasukan negara merudum prestasinya, 'musuh' baharu yang sebelum ini lawan kerdil pula muncul dengan garang sehingga mampu mengaibkan Malaysia seperti Indonesia, Myanmar, Korea Selatan malah Laos dalam Sukan SEA, Siri Super dan Piala Raja Thai.

Perkembangan ini mengundang rasa tidak puas hati peminat sepak takraw tempatan dan memberi 'bola tanggung' kepada pengkritik PSM termasuk dalam kalangan bekas pemain negara dan tokoh dalam persatuan sendiri serta negeri ahli gabungan untuk 'menyalahkan' kepemimpinannya.

Sejak Februari lalu, Mohd. Shapian tanpa berselindung mencanangkan mahu mencabar kerusi panas Tok Mat dan baru-baru ini menamakan regu pilihannya, Datuk Markiman Kobiran bagi kerusi Timbalan Presiden selain cuba mengekalkan Datuk Awang Sham Amit selaku Naib Presiden.

Regu Tok Mat pula dibarisi Akrammuddin Abd. Aziz yang bakal menentang Markiman selain tiga calon sokongannya bagi Naib Presiden iaitu Datuk Mohd. Yusof Ismail, Senator Datuk Khairuddin Abd. Samad dan Fudin Chee Kifli manakala Razak Rahman seperti 'calon atas pagar' kerana dikatakan mendapat pencalonan kedua-dua pihak.

Ahmad yang turut menerajui Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang (PSTPP) ketika mengulas cabaran orang nombor duanya dalam pemilihan hari ini berkata; "Menjadi Presiden PSM atau peringkat kebangsaan tidak semudah menjadi presiden di peringkat negeri. PSM juga banyak terlibat dalam membantu badan induk seperti Astaf (Persekutuan Sepak Takraw Asia) dan Istaf (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa).

"Orang boleh hentam apa sahaja yang mereka suka apabila pasukan negara gagal bawa balik emas Sukan SEA atau Asia tetapi jika mampu menghimpunkan lebih 10,000 orang ke Stadium Negara seperti Kejohanan MAS-Utusan Malaysia-RTM era 80-an, itulah ukuran sebenar kejayaan sepak takraw negara."

Shapian yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) sejak 2005 selain berpengalaman bermain selaku apit kiri negeri pula menegaskan tindakannya mencabar `mentornya' adalah demi sayangkan sukan sepak takraw negara.

"Saya tidak sesekali mempunyai kepentingan peribadi apatah lagi masalah hubungan dengan beliau," katanya yang dibawa masuk ke dalam exco PSM mulai 2010 oleh Ahmad untuk memegang jawatan nombor dua selepas kejayaan Terengganu mengelolakan Kejohanan Dunia Piala Malaysia Ketiga, tahun sebelumnya.

Mohd. Shapian memohon perwakilan ahli gabungan PSM menilai semula prestasi persatuan membantu pasukan kebangsaan mencatat kejayaan di pentas antarabangsa dalam tempoh 12 tahun ini.

"Perubahan perlu dilakukan segera kalau kita sayangkan sukan ini, janganlah tunggu tiga tahun lagi (pemilihan penggal berikutnya) kerana episod sama akan berulang," katanya.

Sama ada Ahmad atau Mohd. Shapian yang akan menerajui PSM untuk tempoh tiga tahun dari sekarang, masa depan sukan warisan bangsa ini perlu dipulihkan bagi mengembalikan maruah Malaysia sebagai gergasi sepak takraw dunia.