Bagaimanapun, dua kesalahan serius yang kerap dilakukan oleh pengguna jalan raya iaitu melanggar arahan lampu isyarat (bukan melanggar lampu isyarat) dan memandu me­lebihi had laju akan dikuatkuasakan bermula 15 April nanti.

Pelaksanaan Awas adalah gabungan antara Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang diharap dapat menyedarkan pengguna jalan raya tentang peri pentingnya pematuhan terhadap peraturan jalan raya demi kebaikan semua pihak.

Dengan terlaksananya pe­nguatkuasaan ini nanti, diharap pengguna jalan raya memahami bahawa mereka sentiasa diawasi dan berisiko memperoleh mata hasil daripada kesalahan yang dilakukan sehinggalah kepada tindakan menggantung dan membatalkan lesen jika mata terkumpul mencapai had yang telah ditetapkan.

Manakala bagi pengguna jalan raya yang digantung atau dibatalkan lesen tetapi masih menggunakan kenderaan akan dikenakan denda yang lebih tinggi iaitu antara RM3,000 hingga RM10,000 atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun.

Tujuan pelaksanaan Sistem Mata Demerit 2017 adalah untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya dan mengelakkan mereka melakukan kesalahan yang sama pada masa akan datang.

Tidak ketinggalan juga, pelaksanaan sistem ini diharap dapat dijadikan sebagai satu peringatan kepada setiap pengguna jalan raya agar berwaspada di jalan raya dan jangan sampai memperoleh mata yang memungkinkan mereka dikenakan tindakan.

Pelaksanaan penguatkuasaan baharu ini tentunya di­sertakan dengan peningkatan jumlah keberadaan anggota penguat kuasa dan juga kamera litar tertutup (CCTV) yang turut memainkan peranan untuk mengekang salah laku di jalan raya. Pengawasan dengan pelbagai kaedah akan dapat mendidik pengguna jalan raya agar berhati-hati di jalan raya.

Bagaimanapun, usaha untuk mendidik pengguna jalan raya bukanlah mudah seperti yang disangka-sangkakan.

Sebelum ini sudah dilakukan pelbagai pendekatan ter­utamanya untuk mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya.

Statistik empat lima tahun kebelakangan sampai kini menunjukkan purata kematian di jalan raya mencapai 18 orang sehari dan angka ini sangat tinggi.

Kita tidak nafikan bahawa pertambahan kenderaan dan pengguna-pengguna baharu di jalan raya berlaku saban tahun.

Kenderaan menjadi satu ke­perluan bukan sahaja bagi mereka yang berulang-alik ke tempat kerja malah para pelajar di institusi pengajian tinggi pun lebih suka berkereta walaupun tinggal di asrama tempat mereka belajar.

Maka tidak hairanlah, berlaku kesesakan dan kes-kes kemalangan meningkat setiap hari.

Ironinya, jika budak-budak sekolah menengah antara tingkatan 4 dan 5 pun dibenarkan memiliki lesen memandu, ramai antara mereka yang akan membawa kereta ke sekolah kerana kebanyakan ibu bapa kini memiliki le­bih daripada dua buah kenderaan.

Paling sukar bagi kita adalah mendisiplinkan sesetengah pengguna jalan raya yang sukar mematuhi peraturan di jalan raya. Kebanyakan kes kemalangan berpunca daripada kecu­aian pengguna seperti me­langgar arahan lampu isyarat, memandu melebihi had laju, memotong kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan, keluar masuk dalam arus trafik sesuka hati, menukar lorong sesuka hati dan sebagainya.

Kesalahan-kesalahan ini mesti dipandang serius oleh pihak berkuasa kerana menjadi punca kemalangan jalan raya.

Di samping itu, sekolah memandu mestilah menyediakan pengguna jalan raya yang be­tul-betul layak berada di jalan raya, mengetatkan syarat pemilikan lesen dan memastikan kurikulum memandu sesuai dengan perubahan waktu, situasi dan gelagat pengguna jalan raya secara keseluruhannya.

Kesimpulannya, kita berharap Awas akan mencapai matlamatnya demi kebaikan semua pihak.