Kata Mr. Shanker (nama yang diperkenalkan kepada penulis), Malaysia sebuah negara yang aman dan indah. Beliau sering ke sini untuk bercuti. Dengan memandang muka penulis, beliau berkata: “Kasihan rakyat Malaysia. Kemakmuran dan keselesaan yang terdapat di negara ini sepatutnya tidak dicemari dengan sebarang gangguan seperti demonstrasi jalanan...”

Penulis menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan kata-kata itu. Terus penulis cuba ­meyakinkan beliau bahawa majoriti rakyat Malaysia juga tidak gemar dengan tindakan seperti itu. Bukan budaya hidup rakyat negara ini sebenarnya.

Sekelumit waktu bersama warga asing itu cukup bermakna bagi penulis. Mr. Shanker ternyata ikhlas, meluahkan isi hati beliau tentang Malaysia. Tidak ada untung atau ruginya bagi dirinya jika pun memilih untuk mengecam atau memperlekehkan Malaysia. Katanya, beliau sekurang-kurangnya sudah enam tahun melihat Malaysia secara dekat, iaitu sejak berkhidmat di negara jiran sebelah selatan itu.

Tidak perlu penulis perincikan butiran perbualan lanjut dengan Mr. Shanker. Tetapi memadai jika penulis menyimpulkan bahawa beliau bukan sekadar mengenali Malaysia secara sepintas lalu. Melalui cara beliau mengulas tentang kedudukan politik dan ekonomi Malaysia, malah tentang kedudukan nilai ringgit dan perhubungan serantau negara, jelas, lelaki itu tahu dan yakin dengan apa yang dituturkannya. Beliau turut menjangka Malaysia mempunyai prospek yang menjanjikan jika suasana politiknya stabil tanpa terganggu.

Demikian Malaysia pada kaca mata seorang warga asing yang ditemui pada kesempatan yang terhad. Namun pada umumnya, nada percakapannya nyata berbeza dengan pihak-pihak tertentu di Malaysia yang saban waktu mahu menggoncang kestabilan negara dan menggugat keharmonian rakyat. Niat mereka semata-mata untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan negara, yang jika boleh, biar pun melalui cara tidak demokratik.

Maka terjadilah suasana di Malaysia ini seolah-olah tiada waktu tanpa ‘berpolitiking’. Sepanjang 2016 misalnya, pemikiran rakyat cuba dikeruhkan dengan pelbagai elemen memanupulasi bermacam isu dan tohmahan. Sedikit sebanyak rakyat terkeliru. Pucuk pimpinan negara diasak dengan segala kecaman dan dakwaan. Apa saja yang dirancang, diprogram dan dilaksanakan kerajaan dianggap serba tidak kena. Segala-galanya mahu dipersoalkan. Isu-isu yang dibangkitkan adalah sama. Peliknya mereka tidak berminat mengikuti penjelasan. Tujuan mereka semata-mata untuk menggugat keadaan.

Pihak-pihak yang memiliki agenda tersirat ini mengambil peluang meracuni pemikiran rakyat terutama dalam isu-isu ekonomi dan politik. Mereka buat-buat tidak faham dengan kejatuhan harga minyak dunia yang turut memberi kesan ekonomi yang bukan sedikit kepada negara. Mereka meletakkan segala permasalahan seolah-olah hanya dialami oleh Malaysia, walaupun semua pihak tahu kedudukan ekonomi semua negara di dunia mengalami keadaan tidak menentu.

Demikianlah apabila ada pihak bersikap suka menangguk di air keruh. Pantang melintas persoalan masyarakat, terus dijadikan isu agar rakyat terkeliru dan membenci kerajaan. Namun majoriti rakyat Malaysia tidak begitu. Mereka sedia memahami punca permasalahan dan menunggu cara dan pendekatan kerajaan bagi mencari jalan penyelesaian.

Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Oktober lalu ternyata membawa kelegaan. Komitmen kerajaan antara lain bagi mengatasi masalah kos sara hidup, mengekang kenaikan harga barangan, mengekalkan subsidi ke atas barangan dan perkhidmatan perlu serta mekanisme mudah untuk memiliki rumah disambut baik oleh semua pihak. Bajet 2017 terus meyakinkan rakyat bahawa urus tadbir kerajaan, meliputi bidang sosial dan ekonomi akan berjalan lancar dan terlaksana mengikut jadual.

Dengan beroperasinya Sistem Transit Aliran Massa (MRT) fasa pertama Sungai Buloh-Kajang menambah lagi kelegaan rakyat. ­Kesan kebaikannya ketara, khususnya bagi mengurangi kos perjalanan harian warga Lembah Klang. MRT - sistem pengangkutan era baharu negara yang membanggakan.

Rakyat Malaysia rata-ratanya mengharap kejernihan suasana dapat dirasai sempena kedatangan tahun baharu 2017. Mereka tidak mahu melihat lagi tindakan-tindakan melampau seperti demonstrasi jalanan atau dakwaan dan reka cerita (story board) berbentuk fitnah dan palsu menghantui pemikiran masyarakat.

Jangan cuba memaksa rakyat Malaysia menolak gagasan politik atau kerajaan yang diyakini terbaik bagi mereka. Rakyat negara ini tentunya mahu memasuki tahun baharu dengan semangat baharu, dengan mengetepikan hal-hal yang menyerabutkan. Terlalu lama mereka diheret berpolitiking. Tunggulah apabila sampai waktu dan musimnya. Apakah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan diadakan pada tahun ini sebagaimana diperkatakan umum? Tunggu sajalah!

Malaysia yang terus sejahtera dan harmoni adalah idaman semua. Pada masa sama suasana ini boleh menggamit pengunjung luar sempena negara menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA ke-29 yang bakal diadakan pertengahan tahun ini.

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.