Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Fenomena figura awam melakukan penghinaan mahkamah (contempt of court) terhadap mahkamah syariah di negara ini telah masuk satu dimensi baharu. Pada tahun 2009, figura awam yang memperlekeh mahkamah syariah adalah dalam kalangan yang memegang jawatan penting dengan kerajaan manakala isu yang dibangkitkan ketika itu menyentuh hukuman yang hendak dilaksanakan oleh mahkamah syariah di sebuah negeri di pantai timur.

Menyelar tindakan pihak ber­kenaan, Timbalan Presiden Per­satuan Peguam Muslim Malaysia pada ketika itu, Muhammad Burok berkata, mana-mana pi­hak yang cuba menghalang mahkamah melaksanakan bidang kuasanya yang sah adalah satu tindakan mencampuri urusan mahkamah dan adalah satu penghinaan mahkamah.

Pada April 2017, ketika menghadiri satu program anjuran parti pembangkang, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli telah menyentuh Rang Undang-Undang persendirian meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) yang dibentangkan ­Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan berkata bahawa disebabkan Rang Undang-undang itu tidak menyebutkan tentang kenaikan gaji hakim mahkamah syariah, ia boleh mengundang risiko rasuah atau penyalahgunaan kuasa oleh hakim-hakim mahkamah syariah. Rafizi juga dilaporkan berkata, rasuah dalam kalangan hakim mahkamah sya­riah lebih tinggi berbanding mahkamah sivil.

Dalam reaksi segeranya, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, mendesak Rafizi memohon maaf dan menarik balik kenyataannya. Menegaskan bahawa dakwaan Rafizi itu sama sekali tidak berasas, Musa menyatakan sejak mahkamah syariah ditubuhkan, hanya terdapat satu kes di mana seorang hakim mahkamah syariah telah terlibat rasuah.

Turut terkilan dengan kenyataan Rafizi itu ialah Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Muhamad Abdul Karim Wahab yang membuat laporan polis terhadap Rafizi kerana memfitnah dan menghina institusi kehakiman itu.

Satu laporan polis juga dibuat oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu, Wan Abdul Malik Wan Sidek terhadap Rafizi. Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai satu penghinaan kepada institusi raja-raja Melayu yang telah melantik hakim mahkamah syariah sekali gus merendahkan reputasi mereka di mata masyarakat. Beliau mahu Rafizi disiasat di bawah seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana kenyataannya itu adalah satu serangan ke atas institusi kehakiman syariah di negara ini.

Terdapat tiga hal keadaan utama yang menjadikan sesuatu perbuatan atau kenyataan itu satu penghinaan mahkamah, iaitu -

(a) menjejaskan, melengahkan, meremehkan atau menghalang perjalanan atau pentadbiran kehakiman;

(b) menjejaskan, mengurang­kan atau melemahkan kewiba­waan dan kehormatan mah­kamah;

(c) menyebabkan pentadbiran keadilan dipandang hina oleh masyarakat.

Apabila seorang itu ingkar mematuhi perintah dan arahan mahkamah yang dikeluarkan ter­hadapnya, dia melakukan penghinaan mahkamah. Begitu juga, apabila melakukan sesuatu yang dilarang oleh mahkamah, dia juga menghina mahkamah. Apabila seorang itu melakukan sesuatu tindakan yang disifatkan campur tangan dalam pentadbiran mahkamah, ini adalah satu penghinaan mahkamah. Apabila seorang itu menuduh hakim melakukan ­rasuah, ia juga menghina mahkamah kerana tuduhan itu bukan hanya menjejaskan kewibawaan dan kehormatan mahkamah, bahkan menjadikan pentadbiran keadilan dipandang hina oleh masyarakat.

Pada satu ketika dulu seorang kartunis menyiarkan kartun me­nunjukkan seorang hakim (sewaktu menjalankan prosiding dan membuat keputusannya) tunduk mengikut telunjuk pihak-pihak tertentu. Mesej yang hendak disampaikan oleh kartunis itu adalah bahawa hakim ber­kenaan tidak mampu melakukan keadilan sebenarnya kerana dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu. Walaupun dihujah oleh pihak tertentu bahawa kartun itu hanyalah satu parodi atau lawak sahaja, ia juga boleh menjadi satu penghinaan mahkamah.

Untuk membuktikan kesalahan menghina mahkamah ini, pendakwa tidak perlu membuktikan berlaku satu gangguan sebenar terhadap pentadbiran keadilan. Soal yang penting apakah kenyataan orang itu mempunyai ­kecenderungan mengganggu perjalanan sesuatu kes atau menjejaskan atau menggugat kewibawaan atau kehormatan mahkamah? Prinsip ini ditekankan oleh mahkamah dalam beberapa kes, termasuklah Murray Herbert v Chandra Sri Ram (1999) 4 MLJ 321. Ini adalah kedudukan undang-undang berasaskan common law.

Di bawah Contempt of Court Act 1981 di England, seksyen 2 menyatakan bahawa prinsip common law seperti yang disebutkan di atas (bahawa niat bukan sesuatu elemen yang penting) tidak lagi terpakai; suatu perbuatan itu dikira satu penghinaan mahkamah hanya jika ada bukti kukuh ada risiko sebenar satu perbicaraan akan terjejas oleh sesuatu kenyataan itu.

Disebabkan di negara kita belum ada satu undang-undang khas Akta Menghina Mahkamah seperti di beberapa negara lain, buat masa ini belum ada satu takrif khusus mengenai istilah menghina mahkamah. Ia kekal sebagai satu doktrin berasaskan common law.

Pakar undang-undang kita menyatakan bahawa kuasa mahkamah kita menghukum seseorang itu kerana menghina mahkamah diasaskan kepada Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama seksyen 13 Courts of Judicature Act 1964. Bagi mahkamah rendah, kuasanya ada dinyatakan dalam seksyen 99A dan perenggan 26 Jadual Ketiga kepada Subordinate Courts Act 1948.

Secara tradisi, penghinaan mahkamah terbahagi kepada dua kategori – penghinaan sivil dan penghinaan jenayah. Perbuatan ingkar mematuhi perintah mahkamah atau melakukan apa yang dilarang oleh mahkamah adalah penghinaan sivil (kategori pertama). Kategori kedua lebih luas lagi, misalnya mengganggu perjalanan mahkamah, meremehkan dan merendahkan martabat dan kehormatan mahkamah, menyusahkan atau melarang pegawai mahkamah menjalankan tugas, memusnahkan bahan bukti, mengugut saksi, dan sebagainya.

Apabila sesuatu kes itu telah menjadi sub judice, perbuatan wartawan atau sesiapa sahaja membuat komen mengenai kes itu adalah satu penghinaan jenayah.

India adalah salah satu negara di rantau ini yang meluluskan undang-undang khusus mengenai isu ini – iaitu Akta Menghina Mahkamah 1971. Seksyen 2(a) menyatakan bahawa menghina mahkamah itu boleh jadi penghinaan sivil atau penghinaan jenayah manakala istilah penghinaan sivil ditakrif dalam seksyen 2(b) dan penghinaan jenayah ditakrif dalam seksyen 2(c). Seksyen 12 menyatakan kesalahan menghina mahkamah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, atau denda atau kedua-duanya sekali. Pakistan juga meluluskan undang-undang khusus mengenai isu ini, iaitu Akta Menghina Mahkamah 1926, yang kemudian dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Menghina Mahkamah 1976.

Andainya Malaysia pada satu hari nanti mengambil keputusan untuk menggubal dan ­me­laksanakan Akta Menghina Mahkamah, apakah perbuatan mempersoalkan kewibawaan dan kehormatan mahkamah syariah atau menuduh hakim mahkamah syariah terjebak dalam amalan rasuah termasuk dalam takrif menghina mahkamah?

DATUK SALLEH BUANG pernah mengendalikan kursus kemahiran untuk Hakim-hakim Mahkamah Syariah di seluruh negara selama hampir dua dekad.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain