Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

BUKU ditulis oleh bekas Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Khailani A. Jalil, adalah mengenai latar belakang 15 Ketua Pengarah Pelajaran.

Penulis menggunakan gaya penulisan biografi dalam menceritakan kisah setiap tokoh berkenaan. Genre berbentuk biografi adalah penulisan berasaskan kenang-kenangan seseorang berhubung pengalaman dan peristiwa pen­ting dalam hidup mereka.

Pendidikan adalah sektor terbesar dalam perkhidmatan awam. Sehubungan itu, ­sumbangan tokoh yang nama mereka tercatat dalam buku ini amat besar sekali. Antara tokoh itu ialah dua warganegara Britain yang menjadi pengarah pertama dan kedua, masing-masing untuk tempoh setahun, sejurus selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Ketika itu, jawatan berkenaan dikenali dengan nama Ketua Penasihat Pendidikan. Mereka ialah Joseph Norman Davies yang menjawat jawatan itu pada 1959 dan D.H. Christie pada 1960. Sikap mereka yang bersedia mematuhi arahan diberikan anak tempatan yang pernah dijajah oleh Inggeris wajar dipuji.

Tanggungjawab utama Davies adalah melaksanakan segala objektif yang terkandung dalam Penyata Razak 1956. Antara objektif itu adalah menyatupadukan kanak-kanak berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja bagi keperluan masa hadapan ekonomi Persekutuan Tanah Melayu.

Tugas Christie selepas itu adalah sama seperti Davies iaitu memastikan segala objektif dalam Penyata Razak dilaksanakan. Pada masa sama, beliau menduduki jawatankuasa bagi menyemak semula Penyata Razak supaya segala objektif relevan dengan perkembangan semasa.

Hasil semakan itu dikenali dengan nama Penyata Rahman Talib 1960 iaitu sempena nama Menteri Pelajaran ketika itu.

Semasa perkhidmatan beliau, banyak perubahan positif berlaku dalam bidang pendidikan termasuk penubuhan Institut Latihan Perguruan Khas di Cheras, Kuala Lumpur, yang kemudiannya ditukar nama kepada Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK).

Dalam pada itu, seorang lagi tokoh yang wajar dikenang ialah anak tempatan pertama menjawat jawatan Ketua Penasihat Pendidikan. Beliau ialah Datuk Seri Aminuddin Baki yang menjawat jawatan itu dari 1961 hingga 1965. Allahyarham yang dikenali sebagai Bapa Pemodenan Pelajaran adalah individu termuda pernah dilantik menjawat jawatan itu ketika berusia 36 tahun.

Hayat beliau untuk terus berbakti dalam bidang pendidikan tidak panjang apabila meninggal dunia pada 1965. Antara sumbangan beliau adalah melaksanakan segala objektif yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1961.

Beliau turut berperanan ­menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia pada 1963 yang mengendalikan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Seorang lagi tokoh ialah bekas Gabenor Pulau Pinang, Tun Hamdan Sheikh Tahir yang menjawat jawatan itu selepas Aminuddin dari 1966 hingga 1976. Antara pembaharuan bidang pendidikan yang dilaksanakan oleh beliau adalah memperkenalkan ­peperiksaan darjah lima bagi mengesan prestasi dan potensi murid bagi tujuan penempatan aliran di sekolah menengah.

Hamdan mengambil model Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star) di Ipoh yang beliau pernah menjadi pengetua untuk mewujudkan lebih banyak sekolah ­berasrama penuh bagi mem­bolehkan pelajar Melayu luar bandar dapat belajar dalam suasana lebih selesa. Beliau juga terlibat me­laksanakan pembaharuan kurikulum dengan memper­kenalkan mata pelajaran Sains dan Matematik.

Satu lagi jasa beliau adalah menjayakan dasar menjadikan bahasa Melayu sebagai pengantar di sekolah rendah, menengah dan universiti bermula 1970. Hamdan turut dikenang kerana sering memberikan nasihat supaya guru tidak melihat bidang pendidikan sebagai satu pekerjaan dengan matlamat untuk mendapat gaji semata-mata.

Ungkapan yang sering disebut Hamdan adalah seseorang itu hendaklah jadi guru dan bukan kerja guru. Menurut beliau, setiap guru harus melihat kerjaya mereka sebagai satu peluang untuk berbakti dan berjasa kepada masyarakat.

Seorang lagi tokoh yang wajar diingati ialah Tan Sri Dr. Asiah Abu Samah yang menjadi wanita tunggal setakat ini menjawat jawatan itu dari 1991 hingga 1993. Ketika menjawat jawatan itu beliau mengaplikasikan konsep 3F dalam kepemimpinannya iaitu friendly (mesra), firm (tegas) dan fair (adil). Asiah mahukan setiap ketua bersikap mesra dengan orang bawahan, namun pada masa sama perlu menunjukkan ke­tegasan dan keadilan dalam setiap tindakan serta keputusan. Beliau juga sering menegur sesetengah guru yang mahu cepat menghabiskan sukatan pelajaran tanpa mengambil kira adakah pelajar benar-benar telah me­nguasai segala yang diajar.

Bagi beliau, sukatan pelajaran hanyalah sebagai panduan dan bukan matlamat. Beliau juga mahukan setiap guru memberikan keutamaan untuk menggalakkan murid terus belajar, mengambil tahu masalah mereka dan selalu memberikan harapan positif kepada anak didik.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain