Ayat di atas adalah peribahasa Jepun. Mungkin ada segelintir akan pantas mencelah mengatakan ia seakan-akan menggalakkan kita bersikap bermuka-muka. Ya, mungkin benar. Tetapi bermuka-muka atas sebab yang bagaimana?

Peribahasa Jepun ini juga boleh diibaratkan seseorang memakai topeng tapi bukan Zorro, bukan juga Spiderman. Ia mungkin terserah kepada diri anda sendiri. Sudut manakah pada diri anda yang rela dipertontonkan? Sudut mana perlu disorok? Senang saja, tengok bagaimana seseorang mengambil selfie.

Bagaimana pula keterdesakan untuk melindungi diri daripada mendedahkan rahsia peribadi yang kelam dan berdarah? Tapi nak sorok berapa lama? Menyorok daripada PTPTN dan LHDN, tetap 'tersangkut’ di pagar imigresen.

Peribahasa 'tiga wajah’ ini tidak semestinya berkisar tentang industri lakonan. Tidak. Jangan hadkan ruang perbincangan merrepak hari ini kerana pada hari Ahad santai ini, mungkin ada hirisan pati limau yang boleh dihirup. Ada atau tidak sesiapa hirup hirisan limau, jangan ditanya. Guna imaginasi anda.

Pun begitu, seorang pelakon profesional hendaklah diiktiraf kemahiran mereka memaparkan 'tiga wajah’ ini, lebih-lebih lagi bila mereka membuat penyelidikan mengenai watak yang hendak dipaparkan kepada dunia, agar watak lakonan mereka benar-benar hidup.

Izinkan saya bawa perhatian anda kepada filem terbaharu berjudul Me Before You lakonan Emilia Clarke (heroin Games of Thrones) sebagai Louisa Clark dan Will Traynor lakonan Sam Claflin (watak pembantu Hunger Games).

Filem ini mula ditayangkan Jun lalu tetapi saya tidak tahu sama ada ia sudah masuk pawagam Malaysia atau tidak. Bagaimana saya memilih menonton filem ini? Sebab pilihan filem lain semua berupa watak komik dan tembak-menembak. Muak dan mual untuk penerbangan selama 17 jam.

Ringkasan plot cerita: Louisa baharu sahaja dilepaskan kerja sebagai pelayan restoran, sedangkan dia merupakan pencari nafkah utama dalam keluarganya. Berperwatakan periang dan becok mulut, Louisa menerima tawaran bekerja sebagai 'penjaga’ kepada seorang lelaki kurang upaya, Traynor.

Traynor adalah pegawai bank yang berjaya dan anak bangsawan yang lumpuh akibat dilanggar motosikal. Ceritanya Louisa harus bersetuju dengan kontrak kerja selama enam bulan. Traynor rupa-rupanya sudah putus asa dengan hidupnya daripada seorang yang cergas dan aktif dengan pelbagai sukan ekstrem menjadi seorang yang lumpuh.

Penamatan

Intipati cerita ini melangkaui kisah Louisa yang terdesak mencari nafkah, atau kisah sedih Traynor yang lumpuh. Ia juga tidak sempit kepada kisah cinta yang tercetus antara kedua-dua watak yang merupakan novel karya Jojo Moyes terbitan 2012 menggunakan tajuk serupa.

Cerita sebenarnya ialah dalam tempoh enam bulan, Traynor mahu dimatikan secara sukarela atau istilah perubatannya, Euthanasia.

Isu Euthanasia ini menjadi perdebatan besar dalam kalangan penggubal dasar dan pengamal perubatan di Barat, serta pihak gereja. Dalam filem Me Before You ini, dipaparkan kesengsaraan serta kesakitan yang dialami Traynor kerana terpaksa memakan banyak ubat dan alah kepada cuaca dan sebagainya.

Proses Euthanasia ini secara umumnya, bermaksud 'mematikan diri bagi menamatkan kesakitan dan penderitaan’ secara sengaja tetapi dengan kelulusan perundangan. Jadi ia berbeza 'membunuh diri’ dengan terjun sungai atau menembak kepala.

Terdapat perbezaan undang-undang euthanasia antara satu negara dengan yang lain. Di United Kingdom, Jawatankuasa Terpilih House of Lords British Mengenai Etika Perubatan mendefinisikan euthanasia sebagai 'campur tangan langsung dengan matlamat dizahirkan untuk menamatkan nyawa, bagi melepaskan daripada kesengsaraan yang tidak dapat diubati'. Di Belanda, ia disifatkan 'penamatan nyawa oleh doktor atas permintaan pesakit’.

Negara lain yang ada perundangan membenarkan euthanasia ialah Kanada, Colombia, Belgium dan Luxembourg. Amerika Syarikat pula belum menyeluruh, ada negeri yang sudah meluluskannya seperti Oregon yang ada Akta Mati Dengan Maruah (Death With Dignity Act).

Berbeza di Iowa, mereka masih cuba membawa rang undang-undang ke dewan perundangan negeri. Jika diluluskan, ia akan membolehkan penduduk Iowa yang mempunyai jangka hayat enam bulan untuk hidup kerana penyakit kronik, boleh memakan pil yang diluluskan doktor untuk menamatkan hayat sendiri.

Euthanasia dikategorikan dalam pelbagai cara, termasuk sukarela, tidak sukarela (non-voluntary) dan bukan sukarela (involuntary). Euthanasia sukarela adalah sah di sisi undang-undang di beberapa negara. Tidak sukarela bermaksud pesakit itu sendiri tidak melafazkannya (sebab sudah dalam koma) dan ini dianggap tidak sah. Bukan sukarela pula nyawa dicabut tanpa meminta kebenaran atau bertentangan dengan kehendak pesakit, dianggap membunuh.

Menurut satu catatan, euthanasia adalah bidang penyelidikan paling aktif diselidik saintis dalam bidang bioetika kontemporari perubatan sejak 2006.

Pertembungan di sini ialah berkaitan keluhuran bidang perubatan dengan aspek kemanusiaan sejagat. Menurut seorang pesakit, dia mahukan euthanasia kerana kanser yang dialaminya sedang membunuhnya perlahan-lahan, dan pada masa sama, dia menderita kesakitan.

Apakah eithanasia boleh disifatkan 'membunuh diri dengan bantuan doktor’ atau 'bunuh diri yang dihalalkan’?

Berat rupanya cerita merrepak hari ini. Tapi kembali kepada peri­bahasa Jepun awal-awal di atas. Isu euthanasia ini mungkin belum mencapai tahap viral untuk didebatkan di Malaysia. Mungkin aspek agama baik Islam, Kristian, Hindu dan Buddha yang teguh diamalkan di negara ini banyak mendorong kita untuk menolak sebarang bentuk 'penamatan nyawa’.

Tetapi ia tidak bermakna kita boleh buat-buat tidak tahu kerana tidak siapa boleh menjamin ia tidak terkena diri sendiri. Atau orang yang kita sayangi seperti isteri, suami atau anak yang terbaring kesakitan akibat penyakit maut seperti kanser. Sekarang anda boleh pilih wajah mana satu yang rasa sesuai.