Antara projek infrastruktur berimpak tinggi yang dimaksudkan adalah Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, Projek Rapid Pengerang di Johor, Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Bagaimanapun, mungkin ramai antara kita yang tidak menyedari dalam melaksanakan satu-satu projek apatah lagi jika melibatkan projek mega, segala yang berkaitan bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan ­perlu dititikberatkan ­memandangkan projek-projek seumpama itu terdedah dengan bahaya serta risiko.

Justeru untuk memastikan aspek keselamatan dan kesihatan khususnya pekerja sentiasa terjamin, pihak majikan mahupun kontraktor terbabit perlu mengambil berat tentang kesihatan dan keselamatan para pekerja mereka sepanjang berada di lokasi projek. Ini bagi mengelakkan berlakunya kemalangan yang berkemungkinan boleh ­menyebabkan maut atau kecederaan parah.

Di Malaysia, bidang kesihatan dan keselamatan pekerjaan tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997.

Akta dan peraturan itu ber­tujuan melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja dalam apa jua keadaan di tempat kerja. Setiap majikan atau kontraktor wajib mematuhi setiap garis panduan yang ditetapkan sebagai contoh pemakaian topi keselamatan dan kasut keselamatan untuk pekerja-pekerja mereka di kawasan pembinaan.

Begitu juga dengan pemakaian pelindung mata bagi kerja-kerja pateri serta pemakaian pelindung pendengaran untuk pengendali alat atau jentera yang menghasilkan kebisingan melebihi kadar ditetapkan. Tidak terkecuali mereka yang bekerja di lapangan terbang atau litar perlumbaan.

Selain kewajipan mengenakan alat pelindung tertentu, penyediaan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (PKK) oleh pihak majikan adalah satu perkara yang amat penting dalam bidang ­keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Berdasarkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Peraturan-Peraturan Ke­selamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997 bahagian V peraturan 18, PKK berperanan sebagai penasihat kepada majikan atau mana-mana pihak yang bertanggungjawab bagi satu-satu tempat kerja tentang langkah-langkah yang perlu diambil terhadap aspek kepentingan keselamatan serta kesihatan pekerja di tempat kerja berkenaan.

PKK juga bertanggungjawab memeriksa situasi di tempat kerja untuk menentukan jika terdapat jentera, loji, peralatan, bahan atau perkakas di tempat kerja yang boleh menyebabkan kecederaan anggota terhadap golongan pekerja.

Mereka turut bertanggungjawab menyiasat sebarang kemalangan atau kejadian berbahaya serta keracunan dan penyakit yang berlaku di tempat kerja. Dalam membincangkan tentang PKK ini, Malaysia sebenarnya berhadapan dengan isu ­kekurangan tenaga kerja dalam bidang ber­kenaan.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu program di ibu pejabat NIOSH, Bandar Baru Bangi, baru-baru ini,

Menurut beliau, berdasarkan rekod Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) hanya 5,984 PKK telah men­daftarkan diri dan memperoleh lesen daripada jabatan itu tahun lepas sedangkan negara memerlukan sekurang-kurangnya 9,000 PKK lebih-lebih lagi de­ngan ­pelaksanaan beberapa projek mega di negara ini.

Lebih membimbangkan lagi kata Lam Thye daripada 5,984 PKK yang telah mendaftarkan diri dan memperoleh lesen daripada JKKP tahun lalu, rekod jabatan itu turut menunjukkan lebih separuh PKK tersebut tidak aktif atau masih belum memperbaharui lesen mereka pada tahun ini.

“Oleh itu, kita perlu menggalakkan lebih ramai majikan menghasilkan PKK. Mereka perlu me­ndapatkan sijil daripada penyedia latihan bertauliah seperti NIOSH serta sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman sebelum memohon lesen daripada JKKP,’’ ujarnya.

NIOSH sebagai penyedia latihan bertauliah katanya akan ­terus menjalankan peranannya melahirkan PKK berkaliber sejajar dengan perkembangan pelbagai projek mega yang telah dan bakal dilaksanakan kelak.

Begitulah komitmen yang ditunjukkan oleh NIOSH bagi meningkatkan lagi kesedaran semua pihak tentang peri pen­tingnya keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Adalah diharapkan pihak majikan segera menyahut saranan ini dalam usaha melahirkan lebih ramai lagi PKK de­ngan mengenal pasti kakitangan atau pegawai berkelayakan untuk menjalani latihan di NIOSH.

Penulis yakin dengan adanya peningkatan jumlah PKK berwibawa khususnya di lokasi projek, hasrat Kementerian Sumber Manusia di bawah Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) untuk me­ngurangkan kadar kemalangan dan seterusnya kes kematian di tempat kerja mampu dicapai.

Untuk rekod, kadar kemala­ngan di tempat kerja bagi setiap 1,000 pekerja pada tahun 2006 adalah 4.77 kes diikuti 3.10 kes (2014) serta 2.81 kes (2015). Untuk tahun 2020 pihak kementerian menyasarkan dua kes bagi setiap 1,000 pekerja.

Begitu juga dengan kadar kematian, kementerian berkenaan telah menyasarkan kadar penurunan kes kematian akibat kemalangan industri kepada 2.81 kes bagi setiap 100,000 pekerja pada 2020 berbanding 4.84 kematian bagi setiap 100,000 pada 2015.

Dalam pada itu, Lam Thye ketika mengulas sasaran untuk ­menurunkan kasar kemalangan dan kematian sekali lagi menekankan tentang keperluan dan kaitannya melahirkan PKK yang kompeten serta berwibawa.