Saranan ini tepat dan kena pada masanya. Usaha untuk memulihkan ekonomi Malaysia tidak boleh hanya dilakukan melalui langkah penjimatan semata-mata, sebaliknya harus disekalikan dengan hasil ekonomi yang mampan. Ia harus bermula dengan langkah domestik; yakni memberdayakan sumber ekonomi utama iaitu modal insan.

Satu ketika dahulu, Malaysia memang dikenali sebagai hab pelaburan terutama bagi sektor elektrik dan elektronik. Salah satunya disebabkan oleh upah yang rendah. Permintaan terhadap buruh berkemahiran rendah ini menjadi semakin tinggi sehingga Malaysia sendiri perlu mengimport buruh asing untuk bekerja di dalam negara.

Kedatangan buruh asing yang semakin ramai bukan sahaja memenuhi sektor industri yang diperlukan. Bahkan penawaran buruh asing begini melebihi permintaan. Selain pengaliran wang tunai ke negara asal yang banyak, buruh asing berkemahiran rendah ini juga mewujudkan persaingan sengit kepada buruh tempatan. Lambakkan buruh yang memasuki negara secara haram sekali gus menyumbang kepada masalah sosial dan jenayah.

Mungkin satu ketika dahulu penumpuan terhadap sektor yang dipelopori oleh buruh berkemahiran rendah memberi pulangan yang tinggi kepada negara. Akan tetapi dengan lambakan buruh separa mahir dan kemajuan teknologi seperti hari ini, kita lihat berlaku perubahan lanskap ekonomi yang diperlukan bagi meletakkan Malaysia dalam senarai negara maju.

Sebagai contoh, revolusi terkini mendambakan lebih banyak automasi dan buruh berkemahiran tinggi dalam industri. Justeru, Malaysia perlu bersedia dengan kenyataan bahawa pelaburan baharu yang bakal datang mungkin tidak lagi membawa bersama permintaan buruh berkemahiran rendah yang ramai. Sebaliknya, modal insan berkemahiran tinggi lebih diperlukan untuk melakar ekonomi baharu.

Malaysia seperti negara serantau; Thailand, Indonesia dan Vietnam mengalami keadaan kadar pengangguran belia berpendidikan tertiari lebih tinggi daripada belia yang tidak berpendidikan tertiari. Keadaan ini bagaimanapun tidak dihadapi oleh negara ekonomi maju seperti Jerman, UK, Perancis dan lain-lain yang menunjukkan kadar pengangguran kumpulan belia adalah tinggi dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai pendidikan tertiari.

Faktor ini mungkin boleh dikaitkan dengan saiz pasaran ekonomi yang kecil berbanding negara maju, kebergantungan yang tinggi kepada permintaan domestik berbanding antarabangsa, dan keengganan pemodal dan majikan untuk ‘berkongsi’ hasil produktiviti mereka melalui automasi dan penawaran gaji yang berpatutan.

Pengalaman begini juga boleh menimbulkan anggapan songsang kepada pemuda dan pemudi negara bahawa pendidikan tinggi tidak akan mengubah nasib mereka (mendapat upah yang setara). Bukan tidak ada anggapan dalam kalangan anak kita tentang ilmu pendidikan tidak boleh menjadikan mereka kaya. Dengan perkembangan media sosial yang pantas, mereka berasakan kekayaan masih boleh dicapai walaupun tanpa pendidikan yang baik.

Keistimewaan manusia itu adalah terletak kepada ilmu dan hikmah. Kesenangan dan kekayaan tanpa ilmu adalah bersifat sementara. Allah berfirman dalam Surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan Allah meninggikan orang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) dengan beberapa darjat. Dan ingatlah, Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan”.

Generasi muda pada hari ini perlu dibimbing untuk sentiasa meletakkan ilmu dan kemahiran sebagai asas kejayaan. Sang Harimau perlu kemahiran untuk berburu, tidak boleh menunggu hasil buruan ‘mati’ berada di hadapan sahaja. Latihan larian perlu ada, kuku perlu diasah, tidak boleh dibiarkan tumpul agar hasil buruan tidak terlepas daripada cengkaman.

Kita tidak boleh selamanya mengharap magis seorang ketua untuk maju ke hadapan. Sang Harimau perlu bersedia untuk jalan yang telah dibuka. Keberanian Sang Harimau perlu datang bersama dengan kemahiran yang unggul untuk meneroka tempat baharu yang mungkin memberi harapan yang lebih baik.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Ekonomi 
dan Kemasyarakatan, Institut 
Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).