Tun memberikan alasan, ‘ramai warga Malaysia yang berpelajaran tinggi, tetapi tidak terdidik’. Sehari berikutnya, beliau telah menarik diri atas alasan dalam manifesto Pakatan Harapan, Perdana Menteri tidak boleh meme­gang jawatan menteri lain.

Tahniah Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik yang diberikan kepercayaan untuk menggantikan tempat beliau. Maszlee berpendidikan Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti al-Bayt, Jordan dan Ijazah Sarjana daripada Universiti Malaya dalam bidang Fiqh dan Usul al-Fiqh. Beliau kemudiannya memperoleh Ijazah Kedoktoran daripada School of Governments and International Affairs, University of Durham, United Kingdom pada 2011 dalam bidang Governans Baik.

Ketika memikirkan perubahan dan pembaharuan, Dr. Mahathir memberikan tumpuan kepada menyakini tuntutan suara rak­yat, mengembalikan tadbir urus bersih, telus dan berintegriti, memperbe­tulkan kepincangan berleluasa, serta memperkenalkan pendekatan, strategi dan hala tuju baharu bagi mengembalikan se­mula ke­gemilangan negara. Peranan pen­ting perlu diberikan kepada Kementerian Pelajaran yang mana generasi muda di­didik bermula dari sekolah rendah hinggalah ke pendidikan tinggi.

Sejarah perkembangan Kementerian Pelajaran dan Pendidikan melalui pelbagai liku menarik, bersatu dan berpisah semula.

Pada Mei 2013, kedua-dua kementerian disatukan semula menjadi Kementerian Pendidikan, namun dua tahun kemudian, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diceraikan daripada Kementerian Pendi­dikan bersesuaian dengan peruntukan akta berkaitan pendidikan tinggi.

Misi KPT dite­ruskan untuk membangun dan mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang menggalakkan ke arah menghasilkan pusat ilmu yang unggul dan insan yang berdaya saing, berinovasi serta ber­akhlak mulia selaras dengan falsafah pendidikan negara.

Secara umumnya, terdapat kebaikan serta kelemahan berkaitan penggabungan dan pengasingan kedua-dua kementerian ini.

Kewujudan Kementerian Pendidikan Tinggi pada 2004 adalah langkah positif untuk memberikan keutamaan atau prioriti kepada dasar dan sumbangan pendidikan tinggi dalam memacu daya saing negara. Hal ini penting ke­rana pendidikan tinggi khususnya universiti bertujuan bukan sahaja untuk memenuhi tuntutan dan kepen­tingan dalaman negara, tetapi menentukan apakah Malaysia mampu mengekalkan daya saingnya pada peringkat global.

Hal ini telah dilakukan de­ngan baik apabila KPT memba­ngun pelbagai dasar berkaitan kecemerla­ngan setiap teras utama pendidikan tinggi.

Dengan adanya sebuah kementerian khusus, seorang menteri khas dilantik berperanan untuk melaksanakan hala tuju baharu dan memperjuangkan keperluan kewangan untuk meningkatkan sumbangan IPT.

Kementerian juga bertanggungjawab menggubal dan me­laksanakan dasar berkaitan pen­didikan tinggi negara serta me­ngawal selia secara tidak langsung kualiti dan keberkesanan Universiti Awam (UA) dan swasta serta dan kolej universiti.

Justeru, KPT telah bertindak sebagai badan tertinggi negara untuk menyelaras peranan dan sumbangan IPT, khususnya daripada perspektif mengelak pertindanan, kualiti (piawaian) pe­nyampaian atau sumbangan, dan peruntukan sumber (manusia dan kewangan). Sebagai mediator, KPT berusaha untuk mening­katkan kecemerlangan IPT dengan menggalakkan kerjasama antara universiti dan pihak industri. Kerjasama IPT antara satu sama lain juga digalakkan bagi memberi impak yang lebih tinggi kepada pembangunan negara.

Sama ada sedar atau tidak, apabila KPT menjustifikasikan kewujudannya, ia secara tidak langsung telah menambah birokrasi, meningkatkan perbelanjaan dan melemahkan kebertanggungjawaban melaksana peranan universiti.

Birokrasi telah mengekang perjalanan pengurusan akademik sehingga wujud pertindihan kuasa di antara bahagian dalam kementerian dan di dalam universiti.

Dengan mengambil contoh yang remeh, kelulusan ahli akademik untuk menjalankan akti­viti akademik di luar negara perlu diluluskan oleh kementerian. Pemilihan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor pula sangat bergantung kepada kecenderu­ngan politik, walaupun telah ada usaha melaksanakan proses pencarian dan pemilihan pada pe­ringkat universiti dan KPT.

Dari segi sumber pula, apabila KPT diwujudkan, ia menyediakan pelbagai penjawatan dan aktiviti yang memerlukan pegawai dan sumber kewangan yang besar. Sebahagian besar daripada urusan ini tidak memberi keberkesanan terus kepada pembangunan universiti. Malah terdapat aktiviti yang melibatkan pelajar, ahli akademik dan kewangan KPT yang berbentuk promosi (soaring upwards) dan ‘gempak gegar vaganza’. Dalam konteks penyelidikan pula, walaupun KPT berusaha untuk menyediakan dana penyelidikan, sistem agihan berpusat tidak menggalakkan pembangunan ke­kuatan universiti dan tanggungjawab pemimpin tertinggi universiti mengenai keberkesanan dan kualiti penyelidikan universiti.

Apabila kementerian membangunkan dasar kewangan yang baharu, ia telah diguna pakai secara menyeluruh untuk semua universiti. Dalam tahun-tahun terakhir ini, UA khususnya terlalu cenderung ke arah menjadikan universiti sebagai gedung perniagaan yang menguntungkan serta berorientasikan pasaran semata-mata. Akibatnya, tiada keseimbangan antara keperluan institusi ilmu dan korporat, ilmu sains dan sains sosial, serta antara keperluan dan kepentingan teknologi dan falsafah pendidikan negara.

Salah satu daripada nilai asas, kekuatan universiti atau ‘pakai­an’ ahli akademik adalah kebebasan akademik bertanggungjawab. Walaupun dari segi dasar memberi gambaran trend KPT telah beranjak kepada autonomi universiti, kawal selia secara ‘halus’ telah sedikit sebanyak menghambat kebebasan akademik sebagai suara ketiga negara.

Peranan advokasi ahli akademik yang bebas menyampaikan pandangan dan tafsiran mengenai isu universiti dan isu semasa yang dapat mempengaruhi kepentingan ramai juga agak terhakis sehingga sebahagian besar daripada profesor yang berwibawa dan berfikiran kritis terpinggir. Lebih malang lagi apabila kini budaya ‘yes man’ ini telah menjadi normal baharu pada peringkat fakulti dan universiti.

Penggabungan atau kebersamaan KPM dan KPT bukanlah isu utama untuk menggerakkan kecemerlangan IPT. Apa yang lebih penting adalah keupayaan kementerian untuk menyelaras dan menyokong potensi tinggi sesebuah IPT terutama dalam pemilihan kepimpinan tertinggi IPT yang tepat, iaitu dalam kala­ngan profesor yang mempunyai kewibawaan dan kebijaksanaan tinggi. Sesebuah IPT akan dihormati apabila warganya memberi keutamaan kepada kecemerlangan akademik, etika dan integriti akademik yang tinggi serta mereka saling menghormati kepelbagaian idea dan pandangan.

PROFESOR DR. NORZAINI AZMAN ialah Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan
dan Dasar Pendidikan Tinggi 
Malaysia (Pendapat) dan Profesor Pendidikan Tinggi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).