Sejak penubuhannya pada 15 Februari 2005 sehingga kini, pelbagai transformasi telah berlaku dalam agensi itu.

Daripada sebuah agensi yang menggunakan kapal kecil terpakai yang diserahkan oleh agensi-agensi lain, Maritim Malaysia kini membeli kapal besar dan bot baharu sendiri.

Bagi melihat cabaran dan hala tuju agensi itu, wartawan Mingguan Malaysia, ABD. AZIZ ITAR dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI bersama jurufoto, AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN menemu bual Ketua Pengarah Maritim Malaysia, LAKSAMANA MARITIM DATUK SERI ZULKIFILI ABU BAKAR di Putrajaya baru-baru ini.


MINGGUAN: Bagaimana Datuk Seri melihat perubahan yang berlaku terhadap Maritim Malaysia dalam tempoh hampir 13 tahun?

ZULKIFLI: Semasa Maritim Malaysia mula ditubuhkan, dasar yang ditentukan Maritim Malaysia adalah agensi penguatkuasaan maritim tunggal. Tetapi apabila diwujudkan masih terdapat agensi-agensi lain yang mengawal maritim.

Kita masih lagi dalam peringkat transisi (peralihan) untuk Maritim Malaysia menjadi agensi penguatkuasaan maritim tunggal. Tetapi dalam proses transisi itu, banyak aktiviti telah berlaku yang menjadi titik sejarah.

Pada 2011, satu penekanan dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara pada masa itu bahawa Maritim Malaysia adalah agensi penguatkuasaan maritim tunggal.

Kemudian berlaku lagi penyerahan bot-bot daripada Pasukan Polis Marin (Polis Marin) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kepada Maritim Malaysia iaitu 61 buah daripada Polis Marin dan 30 buah daripada JKDM.

Tempoh peralihan itu memberikan kita ruang untuk berkembang sebab ia memerlukan belanja yang besar untuk tiba-tiba mewujudkan Maritim Malaysia sebagai sebuah angkatan.

Selain itu, jika kita berbuat demikian, ia akan menimbulkan rasa tidak selesa kepada negara-negara jiran.

Kita bermula dengan kapal-kapal sudah berusia yang diterima daripada agensi-agensi lain. Tetapi pada tahun lalu, kita menerima tiga buah kapal baharu yang dibina di Malaysia sendiri dan pada tahun ini kita akan memperoleh tiga buah kapal lagi.

Pada tahun lalu juga, kita menandatangani kontrak untuk membina tiga buah kapal peronda luar pesisir (OPV) yang dijangka siap pada 2020.

Maritim Malaysia akan bertukar daripada sebuah agensi yang memiliki kapal atau bot kecil kepada kapal besar. Itu memerlukan persediaan daripada peringkat sumber manusia untuk berubah daripada mengendalikan kapal-kapal kecil kepada kapal-kapal besar.

Dengan adanya kapal besar, anggota Maritim Malaysia akan lebih teratur seperti ada satu kehidupan kerana terdapat kemudahan untuk makan, mandi, tidur dan menjalani latihan. Kita sedang bergerak ke arah itu.

Bagaimana pencapaian Indeks Jenayah Maritim pada 2017?

ZULKIFLI: Penglibatan Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara bermula sebaik sahaja Akta Maritim Malaysia (Akta 633) dikuatkuasakan pada 15 Februari 2005.

Antara pencapaian Maritim Malaysia ialah berjaya mengurangkan kadar jenayah maritim dari 48.08 peratus pada 2006 kepada kurang tiga peratus pada 2017.

Kita juga mengutip kira-kira RM307 juta hasil daripada denda nelayan asing, pelupusan vesel, kompaun dan lelongan ikan pada tahun 2006 hingga 2017.

Maritim Malaysia juga berjaya menangani lebih 1,005 kes pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melibatkan penahanan kira-kira 6,720 orang. Harta benda yang dapat diselamatkan melebihi RM537 juta dan nyawa yang diselamatkan seramai 5,220 orang.

Kes-kes berprofil tinggi yang ditangani dalam tempoh 2006 hingga 2017 termasuk kes penyeludupan pelbagai barangan kawalan sebanyak 814 kes, penyeludupan PATI (1,005 kes) dan pencerobohan bot nelayan asing (1,071 kes).

Apakah kejayaan terbesar Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara pada tahun lalu?

ZULKIFLI: Pada 6 September 2017, sekali lagi Maritim Malaysia berjaya menahan 10 orang perompak dan seorang perancang yang semuanya warga negara Indonesia dalam satu operasi khas yang dinamakan sebagai ‘Operasi Sailang’.

Kesemua 10 perompak itu ditahan semasa melakukan rompakan ke atas kapal tangki berbendera Thailand iaitu MT MGT-1 di lokasi lebih kurang tiga batu nautika Timur Pulau Yu Besar (perairan Terengganu) manakala seorang perancang ditahan di sebuah hotel bajet di sekitar Johor.

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman 16 tahun penjara dan lima sebatan kepada tujuh perompak manakala empat perompak yang lain dikenakan hukuman penjara 16 tahun penjara kerana faktor usia.

Sejauh mana seriusnya kes rompakan terhadap kapal dagang di perairan negara?

ZULKIFLI: Rompakan itu mengulangi rompakan yang berlaku seperti ke atas kapal MT Orkim Harmony pada 2015. Selepas kes itu, tidak ada lagi kes rompakan yang berlaku.

Dua tahun selepas itu iaitu pada tahun lalu, baru mula balik. Saya tidak boleh nafikan dalam masa dua atau tiga tahun lalu, mungkin berlaku lagi kerana mungkin ada sindiket baharu yang akan wujud.

Penjenayah mengambil kesempatan ke atas kapal-kapal asing kerana mereka tahu kapal itu tidak mahu melaporkan di tempat di mana rompakan itu berlaku.

Macam kapal tangki pertama, CP41 terus balik ke Thailand selepas dirompak dan tidak memaklumkan kejadian itu kepada Maritim Malaysia.

Kita berhubung dengan penguat kuasa Thailand dan menawarkan diri untuk menyiasat kes itu tetapi mereka menolak kerana mahu menyiasat sendiri kes itu.

Ramai nelayan tempatan merungut tentang pencerobohan nelayan asing terutama dari Vietnam. Sejauh mana seriusnya?

ZULKIFLI: Keadaan ini mula berlaku sejak dua atau tiga tahun lalu tetapi kemuncaknya adalah pada 2017 kerana sudah menjadi berleluasa sehingga mendatangkan kemarahan nelayan-nelayan tempatan.

Tetapi sebenarnya, pencerobohan bot nelayan Vietnam terbahagi kepada dua. Satu ialah bot nelayan asing yang datang dari Vietnam manakala satu lagi bot nelayan tempatan yang dianggotai sepenuhnya kru warga Vietnam.

Kalau tengok statistik untuk Pantai Timur sahaja sebagai contoh, kes melibatkan bot nelayan asing adalah 70 kes atau 70 bot yang kita telah tangkap. Bot nelayan tempatan ada 59 buah. Maknanya hampir dekat.

Tetapi yang menyusahkan kita adalah bot nelayan tempatan kerana mereka dikenakan hukuman ringan iaitu dikompaun sedangkan untuk nelayan asing, kita boleh merampas bot mereka.

Imej Maritim Malaysia terpalit apabila ada anggotanya dituduh menerima rasuah baru-baru ini. Komen Datuk Seri?

ZULKIFLI: Saya yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membongkarkan perkara itu. Bila saya buat begitu, memanglah imej Maritim Malaysia terjejas sebab ada warga kita sendiri yang terlibat.

Saya terpaksa akur tindakan itu lebih baik. Kalau saya sorokkan perkara itu, kita tidak akan dapat selesaikan isu rasuah ini.

Pada saya, kita berasa malu untuk seketika sahaja tetapi untuk jangka panjang ia menguntungkan agensi dan negara. Kita hendak agensi bersih daripada rasuah.