Apabila kita berazam ada dua situasi yang perlu kita pastikan. Pertama, adakah kita berazam atau menyimpan azam itu dalam “minda sedar" (fikiran)? Kedua, adakah kita berazam atau menyimpan azam itu dalam “minda bawah sedar"/"minda segar" (hati/roh) kita?

Jika kita mengambil situasi yang pertama, menyimpan azam kita dalam “minda sedar" (fikiran), bermakna akal kita yang analoginya seperti CEO/bos, akan menghantar arahan kepada “minda sedar" (fikiran) untuk melakukan apa-apa perkara yang menjadi keazaman kita itu.

Akal atau fikiran kita pula akan bertindak dalam dua cara. Pertama, mengikut pilihan sendiri (pilihan hati). Kedua, dipengaruhi oleh faktor luaran atau persekitaran (apa-apa yang kita dengar, tonton dan alami sama ada dalam bentuk positif atau negatif). Sebab itulah bagi orang yang menyimpan azamnya dalam “minda sedar", biasanya sukar untuk dia mencapai keazaman yang berkobar-kobar pada peringkat awal (menjelang tahun baharu dengan azam baharu), kerana faktor pengaruh persekitaran banyak mengganggu-gugat dan menukar arah hala tuju hidupnya.

Kerana itulah lama kelamaan semangat untuk menggapai cita-cita dan keazaman semakin memudar dan padam pada akhir tahun. Lazimnya apabila muncul tahun baharu kita akan memulakan azam baharu dengan persoalan yang berlegar-legar di minda kita akan tercapaikah azam kita kali ini, atau akan berlaku hal yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Jika kita mengambil situasi kedua, menyimpan azam kita dalam “minda bawah sedar"/"minda segar" (hati/roh) kita, situasi ini lebih selamat, dan biasanya peratusan untuk tercapai segala keazaman kita adalah sangat tinggi. Hal ini adalah kerana apabila keazaman itu datang dari hati, roh dan emosi, kita menjadi begitu tinggi dan bersemangat. Fikiran pula akan memikirkan atau menyaringkan segala perasaan yang datang dari hati untuk bertindak. Sesungguhnya manusia boleh memilih apa-apa yang dimahukan dalam hidup ini dan menyaring keputusan sebelum melaksanakan tindakan.

Oleh sebab itu "reset minda" mengenengahkan formula konsep pemikiran seperti berikut, "Fikiran menghasilkan emosi - emosi menghasilkan tindakan - tindakan menghasilkan hasil kehidupan (kebahagiaan, ketenangan, kesihatan dan kekayaan). Jika seseorang itu berfikiran positif maka emosinya positif, tindakan positif dan hasil positif. Sebaliknya, sekarang ini kebanyakan manusia bermula dengan melihat apa yang mereka ada sekarang iaitu melihat keputusan kehidupan mereka, mereka tidak tenang, susah, sakit dan sebagainya. Keputusan negatif ini mempengaruhi fikiran mereka menjadikan fikiran negatif, emosi negatif, tindakan negatif dan hasil lagi negatif, berlaku kitaran ganas. Jadi kita nak reset daripada bermula dengan keputusan kepada bermula dengan fikiran yang positif dahulu. Sebab itulah keazaman yang datang dari hati lebih berpotensi akan berjaya berbanding dengan keazaman yang hanya ada dalam fikiran kita sahaja.

Dalam kehidupan ini yang paling penting dijaga ialah “minda bawah sedar"/"minda segar" (hati/roh) kita, kerana ia menentukan sikap dalam kehidupan manusia untuk mencapai hasil kehidupan. Tip untuk mencapai kejayaan dalam hidup khususnya dalam mencapai keazaman adalah dengan cara selalu berkomunikasi dengan “minda bawah sedar"/"minda segar", dengan cara menggunakan kata-kata yang mudah, ringkas dan positif. Selalu katakan dalam hati contohnya, “saya boleh buat", “saya pasti berjaya", “saya akan dapat" (pilih kata-kata positif sahaja yang boleh membangkitkan semangat dan memberikan emosi segar kita). Minda bawah sedar yang sentiasa segar, akan sentiasa mendengar arahan kita yang cuba kita imaginasi dan bayangkan dalam fikiran melalui bisikan hati yang positif.

Sebab itulah hasil kehidupan kita bukan bergantung pada fizikal, tetapi bergantung kepada bagaimana kita menggunakan fikiran kita. Sebab itu orang yang bijak ialah orang yang pandai menggunakan fikirannya. Bukan orang yang pandai menggunakan fizikalnya. Hasil kehidupan yang positif akan dapat dikecapi oleh orang yang pandai menggunakan fikirannya (“minda sedar") dan pandai mengawal hati/emosi (“minda bawah sedar"/"minda segar").

Kegagalan mencapai apa-apa yang kita azamkan itu bukan bermakna kegagalan dalam kehidupan kita. Sebenarnya tiada istilah gagal dalam hidup ini. “Kegagalan" ini muncul dalam minda kita, iaitu apabila kita “melabelkan" sesuatu perkara atau kejadian yang berlaku dalam hidup kita sebagai satu kegagalan. Setiap perkara yang berlaku kepada kita, baik yang positif atau negatif adalah pengalaman serta satu pembelajaran kepada kita. Tidak ada istilah “kegagalan" dalam kehidupan, apabila kita menganggap sesuatu perkara yang tidak berjaya dicapai itu, cuma suatu “kejayaan tertunda", kerana belum sampai masanya, dan mesti percaya semuanya yang berlaku adalah dengan takdir Allah.

Faktor kekuatan dalaman sangat penting dalam diri seseorang, kerana kekuatan dalaman itulah yang menentukan faktor luaran seseorang. Jika seseorang berfikir positif, maka reaksi tindak balas luaran mereka juga positif, begitu juga sebaliknya. Sebagai contoh, jika kita yakin kita akan berjaya dengan semangat keazaman baharu kita, orang di sekeliling kita juga meyakini kesungguhan kita dalam mengejar matlamat dan keazaman kita. Jika hati kita sendiri tidak yakin, orang lain juga akan memperlekehkan dan mematahkan semangat kita. Kita mesti yakin dengan diri sendiri dan jangan terpengaruh dengan orang di sekeliling kita.

Orang yang hanya suka mengikut orang lain tetapi tidak berusaha untuk memajukan diri sendiri ialah orang yang tidak berjaya. Orang yang paling berjaya ialah orang yang yakin dan berusaha dengan satu sistem kehidupan pilihannya yang dibuat tanpa terikut-ikut dengan orang lain.

Kita hendaklah yakin dengan Allah SWT. Allah akan membantu setiap apa yang kita lakukan, jika kita bersangka baik kepada-Nya. Apabila kita berasa sesuatu perkara itu dibuat dengan mudah, maka emosi dan tindak balas kita juga akan mendapat keyakinan yang tinggi dan dengan mudah kita akan berjaya dalam kehidupan. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".