Dalam sejarah pasukan bomba, ini dikatakan kejadian paling mengejut dan menyedihkan kerana enam anggotanya lemas dan meninggal dunia dalam kerja-kerja menyelamatkan mangsa lemas.

Bagi penduduk tempatan dan kawasan sekitar, kawasan terbabit dianggap bahaya dan pernah meragut nyawa serta mencederakan pemancing.

Tegasnya, kawasan lombong itu bukan untuk memancing tetapi sebagai kawasan tadahan air bagi mengelak banjir. Kawasan tersebut juga pernah dipagar tetapi menurut penduduk, ia dirosakkan oleh orang ramai yang mahu memasuki kawasan lombong tersebut.

Apa yang sudah berlaku memang tidak boleh ditarik balik. Cuma kita berharap keluarga bagi ketujuh-tujuh mangsa lemas di lombong tersebut bersabar dan reda dengan ketentuan Ilahi.

Cuma bagi yang masih hidup, usaha untuk mengelak kejadian seperti itu mesti dielakkan.

Bukan tidak pernah berlaku kejadian-kejadian seumpama itu sebelum ini kerana insiden-insiden membabitkan lemas di dalam air selalu berlaku di negara kita sama ada di lombong, tasik, sungai dan laut.

Cuma kelalaian sahaja yang menyebabkan insiden-insiden seperti ini terus berlaku.

Apa tidaknya, selepas insiden membabitkan tujuh nyawa tersebut, masih ada yang pergi ke kawasan berhampiran untuk memancing. Ini menunjukkan bahawa ramai yang tidak kisah tentang bahaya yang mungkin dihadapi di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi berlaku mala petaka apatah lagi pada musim hujan ketika ini.

Majlis Perbandaran Sepang sudah menutup kawasan lombong itu kepada orang ramai. Oleh itu, aktiviti memancing dan berkelah di kawasan berkenaan sudah tidak dibenarkan lagi.

Di mana-mana pun lokasi bahaya di negara kita, tidak kira di kawasan tasik, kolam, air terjun dan lombong, ciri-ciri keselamatan mesti diutamakan.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab pihak berkuasa, ibu bapa dan orang ramai untuk memastikan kawasan yang sudah diwartakan bahaya tidak diceroboh untuk sebarang aktiviti.

Selain pagar keselamatan papan tanda larangan memasuki kawasan tersebut mesti diletakkan supaya dapat mengingatkan orang ramai tentang bahaya yang menanti. Kawalan oleh pihak berkuasa mesti selalu dilakukan untuk memastikan amaran itu dipatuhi.

Dalam pada itu, pihak berkuasa juga mestilah mengadakan rondaan yang kerap untuk memastikan vandalisme tidak berlaku ke atas pagar keselamatan di sesuatu kawasan larangan.

Denda mesti dikenakan ke atas sesiapa sahaja yang menceroboh masuk ke kawasan larangan.

Selain itu, orang ramai perlu melaporkan kepada pihak berkuasa tentang pencerobohan sesuatu kawasan bahaya untuk diambil tindakan undang-undang.

Ibu bapa ialah orang yang paling hampir dengan anak-anak remaja mereka. Oleh itu, anak-anak mesti diberi nasihat agar menjauhi kawasan-kawasan larangan supaya tidak mendatangkan masalah kepada diri dan keluarga serta orang lain.

Pemantauan ibu bapa ke atas aktiviti luar anak-anak, jaringan rakan anak-anak dan lokasi anak-anak ketika di luar rumah sangat penting untuk menentukan keselamatan anak-anak di luar rumah.

Ibu bapa juga mesti memahami bahawa kanak-kanak dan golongan remaja sangat teruja dengan air.

Bagaimanapun, kefahaman mereka tentang air dan misteri di dalamnya tidak diketahui dengan mendalam. Maka tidak hairanlah bagi yang arif pun boleh kecundang disebabkan misteri air.