Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

LUMRAH zaman teknologi dan media sosial kini telah menjadikan produk audio atau visual sebagai kaedah paling berkesan untuk menyampaikan sesuatu kepada generasi muda.

Baru-baru ini anak saya pulang ke rumah sambil menyanyikan lagu Aku Negaraku sempena kempen bulan kemerdekaan di sekolah, menggamit kembali memori lagu-lagu patriotik seperti Keranamu Malaysia dan Jalur Gemilang yang dahulunya dimainkan di radio dan te­levisyen setiap hari.

Kita perlu faham generasi muda tidak pernah atau kurang pendedahan kepada zaman peperangan, komunis, insiden berdarah ataupun kemelesetan ekonomi yang te­ruk. Boleh dikatakan rata-rata anak muda kini ‘hidup demi hiburan’.

Kecuali mereka yang hidup dalam keluarga miskin, keutamaan rata-rata anak muda sekarang adalah ‘melekat’ pada telefon pintar, gajet elektronik, radio atau televisyen untuk mendengar lagu, menonton filem dan drama mahupun melayari media sosial.

Oleh itu, sebahagian besar identiti dan jati diri anak muda akan dibentuk daripada apa yang mereka dengar dan tonton.

Menyambut kemerdekaan ke-60 tahun ini, kita semua perlu sedar jati diri anak muda adalah pelaburan paling besar dan paling penting untuk kelangsungan negara Malaysia yang berdaulat.

Oleh itu, bahan atau produk yang ‘menyerap’ ke jiwa anak muda kita perlu dipantau dengan ketat. Kenapa lagu dan filem patriotik hidup segan mati tak mahu? Di mana bahan mempromosikan sejarah, keberanian dan kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia?

Sampai bila kita mahu ulang tayang filem Sarjan Hasan (1958), Bukit Kepong (1981) dan Leftenan Adnan (2000) serta lagu-lagu patriotik lama setiap kali menyambut merdeka?

Platform untuk membina bangsa dan negara ini sema­kin jarang digunakan ke arah memupuk patriotisme seperti zaman kemuncak seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee akibat terikut-ikut gaya Barat mengejar hiburan ‘mengisi masa lapang’ malah jarang memberi impak intelek dan kebudayaan kepada anak muda.

Akibatnya, anak muda kita lebih suka menerap pelbagai nilai budaya luar dan memandang enteng nilai bangsa dan negara sendiri memandangkan apa yang sampai ke telinga dan mata mereka hanya mengagungkan dunia luar.

Lebih buruk lagi apabila ada bahan yang memberi gambaran serong sehingga ke tahap menghina negara kita se­perti filem Zoolander (2001) mahupun hasil seni tempatan yang menghina bangsa dan agama, mengagungkan gerakan komunis malah mempromosikan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Kita ada lembaga penapisan untuk mengawal produk lagu atau filem ‘sudah siap’ tetapi mungkin lebih elok jika ditubuhkan satu badan bagi mengawal selia dan mempromosikan negara serta budaya kita sehingga ke peringkat antarabangsa dari peringkat awal pembikinan.

Badan ini juga boleh membantu karyawan tempatan menghasilkan bahan patriotik melalui peruntukan dana, bahan arkib mahupun memudahkan kerjasama dengan agensi kerajaan dan badan beruniform.

Pada masa sama, agensi pemudah cara begini boleh menyekat gambaran serong atau negatif dari peringkat awal menggunakan perundangan tempatan dan antarabangsa, bukan sahaja untuk menjaga nama baik kita tetapi lebih penting lagi mengelak kelunturan semangat patriotik anak muda terhadap tanah tumpah darah mereka.

Pelbagai ciri ikonik negara, sejarah dan budaya kita boleh dicadangkan untuk lagu, filem dan drama tempatan mahupun luar negara di Eropah, Hollywood, Bollywood, China dan lain-lain.

Cara ini juga umpama serampang dua mata membuka mata dunia bahawa ada sebuah bumi bertuah di antara Thailand dan Singapura malah sebahagian daripada Borneo juga membentuk satu persekutuan berdaulat penuh dengan pelbagai kelebihan dan keunikan.

Amat penting untuk kita ‘membanjiri’ media massa dengan produk audio dan visual positif serta mengekang imej negatif supaya generasi akan datang didedahkan kepada gambaran negara dan warisan nenek moyang yang boleh membanggakan mereka.

Jika anak muda bencikan atau tidak pedulikan negara dan budaya sendiri, tiada guna sejauh mana sekalipun tahap kemajuan dan kekayaan yang dicapai kelak.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain