Pandangan polos si kecil yang tidak mengerti apa-apa itu menyentuh perasaan. Apa terjadi jika hujan secara tiba-tiba atau dihimpit kenderaan empat roda yang bergerak laju memotong mereka.

Tempias anginnya sahaja sudah cukup menyebabkan pasir di atas jalan raya menyerbu muka dan mata, sudahlah si kecil tidak bertopi keledar, hanya tegak berdiri diapit kedua-dua penjaganya di hadapan dan di belakang.

Situasi itu bukanlah kali pertama dilihat. Bahkan jika di kampung-kampung, ia adalah fenomena biasa. Tapi ini di tengah-tengah ibu kota yang jalan rayanya sentiasa sibuk dengan pelbagai kenderaan terutamanya kenderaan berat.

Tidak sanggup rasanya memikirkan nasib si kecil itu jika motosikal mereka tergesel atau dihimpit kenderaan lain, ‘minta simpang’.

Isu keselamatan jalan raya sering kali dipandang enteng sesetengah daripada kita. Malah jika kita bertanyakan kepada si ibu mengapa sanggup merisikokan anak kecil tersebut dengan membawanya bersama-sama membonceng motosikal, pasti ada alasan tersendiri diberikan.

Mungkin juga kerana sudah tiada pilihan akibat kos hidup yang tinggi seperti mana yang tular sebelum seorang ibu tunggal terpaksa membawa anak-anaknya menggunakan motosikal menuju ke destinasi yang agak jauh.

Sebenarnya, masih banyak alternatif lebih selamat boleh digunakan jika ibu bapa mementingkan keselamatan anak tersebut antaranya pelbagai jenis kenderaan awam, sebutkan sahaja, bas, teksi, Grab, komuter, Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan pelbagai lagi. Tinggal, pilih sahaja.

Usahlah diperjudikan nyawa si kecil dengan mengambil mudah perkara sedemikian. Di Malaysia perbuatan mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya adalah suatu kesalahan berat.

Kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun diberi perlindungan khas dan dikawal di bawah Akta Kanak-kanak 2001 yang diluluskan bagi tujuan menjaga kepentingan mereka.

Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 pula dibuat sebagai penambahbaikan ke atas Akta Kanak-Kanak 2001 ini demi memperkasakan perlindungan ke atas mereka yang masih di bawah 18 tahun.

Mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016, hukuman denda RM50,000 bersama hukuman penjara sehingga 20 tahun telah diperuntukkan bagi kesalahan mendera, mengabaikan dan menganiaya kanak-kanak. Jumlah denda ini telah ditingkatkan berbanding sebelum pindaan akta iaitu RM20,000. Jika membabitkan kematian, pesalah berhadapan dengan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati.

Tidak cukup dengan itu, Seksyen 27, 28 dan 29 dalam Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 turut memperuntukkan tiga pihak lain yang terlibat juga boleh dikenakan tindakan sekiranya tidak melaporkan kes pendera­an, penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak ini.

Mereka adalah pegawai perubatan atau pengamal perubatan berdaftar, mana-mana anggota keluarga dan juga pengasuh kanak-kanak terbabit. Kegagalan laporan dibuat boleh menyebabkan disabitkan hukuman penjara atau denda (didenda tidak me­lebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya).

Menurut pakar undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Noor Aziah Mohd. Awal, perbuatan tersebut boleh disabitkan kesalahan di bawah ke dua-dua akta tersebut.

Bahkan katanya, jika berlaku kemalangan yang menyebabkan kematian kanak-kanak itu, kedua-dua ibu bapa penjaganya boleh didakwa di mahkamah.

“Sudah jelas ia suatu perbuatan yang merisikokan nyawa kanak-kanak dengan mendedahkan mereka kepada bahaya.

“Jika dilihat oleh pihak polis mereka boleh sahaja mengarahkan ibu bapa berkenaan berhenti membawa anak mereka sebegitu,” katanya.

Dr. Noor Aziah mengakui tahap kesedaran rakyat negara ini terhadap keselamatan kanak-kanak masih rendah.

“Biarpun Malaysia sedang menuju ke arah negara maju, namun masih ramai dalam kalangan rakyat negara ini yang kurang jelas akan perkara ini.

“Lihat sahaja kemalangan yang berlaku sehingga menyebabkan nyawa kanak-kanak melayang, statistiknya masih tinggi,” ujarnya.

Selain perihal membawa anak-anak kecil membonceng motosikal, kesedaran ibu bapa dalam menggunakan kerusi khas untuk bayi dan ka­nak-kanak dalam kereta (car seat) untuk kanak-kanak di dalam kereta juga amat kurang.

Mahal dan rumit mahu ke sana sini bersama kerusi keselamatan tersebut antara seribu satu alasan diberikan atau dalam erti kata lainnya, suka ambil mudah.

Jika di negara-negara maju penggunaan kerusi keselamatan kanak merupakan mandatori, bagaimanapun di Malaysia perkara itu akan diwajibkan bermula tahun hadapan.